
Hospital Pantai Ayer Keroh terus meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan melalui naik taraf fasiliti hospital bagi memastikan pesakit menerima rawatan berkualiti dalam suasana yang selesa.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Yew Aik berkata, hospital yang beroperasi sejak 1986 itu kini memperkenalkan ruang menunggu khas untuk pesakit antarabangsa yang menanti laporan perubatan atau pengangkutan.
“Ruang menunggu baharu ini menyediakan suasana ceria dan mesra, selain berperanan sebagai pusat sokongan untuk pesakit luar negara.
“Hospital juga merancang pembinaan taman terbuka sebagai ruang rehat, khususnya buat warga emas bagi mewujudkan persekitaran yang lebih tenang dan kondusif,” katanya pada Program Jamuan Durian bersama rakan strategik di hospital berkenaan, baru-baru ini.
Program tersebut bertujuan mengeratkan kerjasama serta berkongsi perkembangan terkini hospital dalam usaha memperkasa kualiti penjagaan pesakit dan mempromosikan perkhidmatan yang ditawarkan.
Yew Aik berkata, Hospital Pantai Ayer Keroh turut mengetengahkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar menerusi beberapa projek yang akan dilaksanakan.
“Antaranya, hospital merancang pemasangan panel solar di bumbung tempat letak kereta bertingkat, yang mampu menjana tenaga elektrik setara dengan keperluan purata 114 buah rumah secara serentak.
“Inisiatif ini selari dengan misi kami untuk mewujudkan persekitaran hospital yang lestari, selesa dan selamat,” katanya.
Untuk artikel penuh, klik sini:
https://www.sinarharian.com.my/article/738195/edisi/melaka-ns/pantai-hospital-ayer-keroh-tingkat-perkhidmatan-demi-pelanggan