Tersilap tafsir sakit kepala | Pantai Hospital Melaka

Tersilap tafsir sakit kepala

Diterbitkan pada: 17/05/2026

PENTING untuk kenal pasti jenis sakit kepala bagi elak rawatan tidak tepat dan komplikasi berpanjangan.

Hampir semua individu pernah mengalami sakit kepala. Ada yang ringan dan sementara, namun tidak kurang juga yang berlarutan sehingga menjejaskan kualiti hidup harian.

Namun begitu, tidak semua sakit kepala adalah migrain. Dalam amalan klinikal, terdapat keadaan yang kerap disalah tafsir sebagai migrain, khususnya 'sinus headache' dan 'Sluder's neuralgia'.

Kesilapan ini boleh menyebabkan pesakit menerima rawatan yang kurang tepat, seterusnya melambatkan pemulihan sebenar.

Sebagai Pakar Perunding Robotic ENT, Head & Neck, saya sering melihat pesakit yang lama dirawat sebagai migrain, tetapi sebenarnya mengalami keadaan lain yang berkaitan dengan sinus atau saraf di kawasan hidung, yang boleh mempunyai gejala yang hampir serupa.

'Sinus headache' biasanya berpunca daripada keradangan sinus atau sinusitis, sama ada akut atau kronik. Ia sering disalah anggap sebagai migrain kerana simptomnya yang hampir serupa.

Antara ciri-cirinya termasuk sakit di kawasan dahi, pipi atau sekitar mata, rasa tekanan pada muka terutama apabila tunduk, hidung tersumbat atau berhingus, deria bau berkurang dan kadangkala disertai demam. Berbeza dengan migrain, sakit sinus biasanya berkait rapat dengan gejala hidung dan bertambah teruk apabila posisi kepala berubah.

Rawatan 'sinus headache' bukan sekadar ubat tahan sakit. Ia mungkin memerlukan dekongestan, semburan hidung, antibiotik jika terdapat jangkitan bakteria serta rawatan lanjut seperti pembedahan sinus endoskopik bagi kes kronik yang tidak respons kepada rawatan konservatif.

'Sluder's neuralgia' pula adalah keadaan yang kurang dikenali, tetapi penting. Ia melibatkan saraf di kawasan 'ganglion sphenopalatine' yang terletak di belakang rongga hidung.

Pesakit biasanya mengadu sakit sebelah muka, sering di sekitar mata atau hidung, yang boleh menjalar ke rahang atas, gigi atau telinga.

Selain itu, terdapat juga gejala seperti hidung berair sebelah atau mata berair. Serangan sakit selalunya berlaku secara episodik.

Keadaan ini sering disalah tafsir sebagai migrain kerana pola sakitnya yang unik. Diagnosis memerlukan penilaian ENT yang teliti termasuk pemeriksaan endoskopi hidung.

Rawatan boleh melibatkan ubat untuk sakit saraf, blok saraf dan dalam kes tertentu, rawatan intervensi.

Migrain pula mempunyai ciri berbeza seperti sakit berdenyut, sensitif kepada cahaya dan bunyi serta loya atau muntah tanpa simptom hidung yang ketara. Oleh itu, membezakan antara migrain, 'sinus headache' dan 'neuralgia' adalah amat penting bagi memastikan rawatan yang tepat diberikan.

Pesakit dinasihatkan mendapatkan pemeriksaan lanjut sekiranya sakit kepala berulang, tidak lega dengan ubat biasa, disertai simptom hidung, berlaku hanya pada sebelah muka atau mengganggu aktiviti harian.

Kesimpulannya, sakit kepala bukan satu diagnosis, tetapi satu simptom dengan pelbagai punca. Mengenal pasti jenis sakit kepala adalah langkah pertama ke arah rawatan yang tepat. Jangan terus menganggap semua sakit kepala adalah migrain kerana puncanya mungkin datang daripada sinus atau saraf yang sering terlepas pandang.

Dapatkan pemeriksaan pakar sekiranya gejala berlarutan bagi memastikan diagnosis dan rawatan yang betul diberikan.

Untuk artikel penuh, klik sini:
https://www.hmetro.com.my/sihat/2026/05/1358776/tersilap-tafsir-sakit-kepala


Doktor Pakar Kami

Muat lagi
Loading...
Thank you for your patience