5 common heart conditions 5 common heart conditions
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Jantung

5 Penyakit Jantung Biasa: Apa yang Anda Perlu Tahu

06 Oktober 2025 · 5 mins read

Topics








Ketahui gejala, punca dan pilihan rawatan bagi penyakit jantung yang lazim, termasuk penyakit arteri koronari (CAD), aritmia, kegagalan jantung, hipertensi dan kecacatan jantung kongenital.
Penyakit jantung kekal sebagai salah satu punca utama kematian di seluruh dunia, dan Malaysia tidak terkecuali. Faktor seperti gaya hidup tidak aktif, tabiat pemakanan yang tidak sihat, merokok dan tekanan telah menyumbang kepada peningkatan kes penyakit berkaitan jantung dalam kalangan rakyat Malaysia. Memahami penyakit jantung yang lazim adalah penting untuk pengesanan awal, rawatan yang berkesan serta langkah pencegahan.

1. Apakah Penyakit Arteri Koronari (CAD)?

Penyakit Arteri Koronari berlaku apabila arteri koronari yang bertanggungjawab membekalkan darah kaya oksigen ke jantung menjadi sempit atau tersumbat akibat pengumpulan plak. Keadaan ini merupakan antara penyakit jantung yang paling lazim di Malaysia dan boleh menyebabkan komplikasi serius seperti serangan jantung.

Gejala CAD

  • Sakit dada, rasa ketat atau ketidakselesaan pada dada
  • Sesak nafas
  • Sakit, kebas atau rasa sejuk pada anggota badan akibat saluran darah yang sempit
  • Ketidakselesaan pada leher, rahang, tekak, bahagian atas abdomen atau belakang
  • Berpeluh, pening dan loya

Punca dan Faktor Risiko

  • Kolesterol tinggi: Paras kolesterol LDL yang tinggi boleh menyebabkan pengumpulan plak dalam arteri.
  • Hipertensi: Tekanan darah tinggi boleh merosakkan dinding arteri dan menghalang aliran darah ke jantung.
  • Gaya hidup tidak sihat: Pemakanan tinggi lemak trans, kurang aktiviti fizikal dan tabiat merokok meningkatkan risiko CAD.

Pilihan Rawatan

  • Ubat-ubatan: Ubat seperti antiplatelet, beta blocker dan statin digunakan untuk mengawal gejala, menurunkan paras kolesterol serta mencegah pembentukan darah beku.
  • Prosedur pembedahan:
    • Angioplasti dan pemasangan stent: Prosedur invasif minimum untuk membuka arteri yang tersumbat dan mengekalkan aliran darah.
    • Pembedahan Pintasan Arteri Koronari (CABG): Pembedahan untuk memintas arteri yang tersumbat dan memulihkan aliran darah.
  • Perubahan gaya hidup: Mengamalkan diet yang menyihatkan jantung, bersenam secara berkala, mengurus tekanan dan berhenti merokok.

2. Apakah Aritmia?

Aritmia merujuk kepada degupan jantung yang tidak teratur atau abnormal. Walaupun sesetengah episod berlaku seketika dan hanya menyebabkan gangguan yang minimum, ada juga yang boleh menjejaskan fungsi jantung dengan ketara.

Jenis-jenis Aritmia

  • Fibrilasi atrium (AFib): Degupan jantung yang tidak teratur dan bergetar, yang meningkatkan risiko pembekuan darah, strok dan kegagalan jantung.
  • Bradikardia: Degupan jantung yang lebih perlahan daripada normal, yang sering menyebabkan pening dan keletihan.
  • Takikardia: Kadar denyutan jantung semasa rehat melebihi 100 denyutan seminit.

Gejala

  • Sensasi berdebar atau berdenyut kuat di dada
  • Pening atau rasa ringan kepala
  • Ketidakselesaan ringan pada dada

Pilihan Rawatan

  • Ubat-ubatan: Ubat antiaritmia, beta blocker, penyekat saluran kalsium dan antikoagulan digunakan untuk mengawal gejala serta mencegah komplikasi
  • Intervensi tanpa pembedahan: Kardioversi elektrik dan ablasi kateter untuk menetapkan semula atau membetulkan laluan elektrik jantung.
  • Implantasi perentak jantung: Digunakan dalam kes yang lebih serius untuk mengawal degupan jantung.
  • Perubahan gaya hidup: Mengelakkan pencetus seperti kafein, alkohol dan tekanan, di samping mengamalkan gaya hidup yang menyihatkan jantung.

3. Apakah Kegagalan Jantung?

Kegagalan jantung ialah keadaan kronik di mana jantung tidak mampu mengepam darah dan oksigen yang mencukupi untuk memenuhi keperluan badan. Seiring dengan masa, jantung cuba menyesuaikan diri dengan membesar, meningkatkan jisim otot dan mengepam dengan lebih cepat. Walau bagaimanapun, mekanisme ini boleh memburukkan gejala seperti keletihan dan kesukaran bernafas.

Kegagalan jantung boleh menjejaskan bahagian kiri, kanan atau kedua-dua bahagian jantung, dengan bahagian kiri biasanya terjejas terlebih dahulu. Pemeriksaan kesihatan secara berkala amat penting kerana ramai individu tidak menyedari keadaan ini selama bertahun-tahun akibat tindak balas penyesuaian oleh tubuh.

4. Mengapa Hipertensi Digelar "Pembunuh Senyap"?

Hipertensi,atau tekanan darah tinggi, sering tidak disedari sehingga komplikasi berlaku. Keadaan ini semakin menjadi kebimbangan di Malaysia, dengan tekanan, pemakanan yang tidak sihat dan kurang bersenam sebagai antara faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini. Hipertensi yang tidak terkawal boleh menyebabkan komplikasi serius seperti strok, serangan jantung dan kegagalan buah pinggang. Pemantauan tekanan darah secara berkala amat penting untuk pengesanan awal dan pengurusan yang berkesan.

5. Apakah Kecacatan Jantung Kongenital?

Kecacatan jantung kongenital ialah kelainan struktur jantung yang wujud sejak lahir dan boleh melibatkan dinding jantung, injap atau saluran darah. Keadaan ini boleh menjejaskan aliran darah dan penghantaran oksigen dalam badan, dengan tahap keterukan yang berbeza daripada ringan hingga serius.

Jenis-jenis Kecacatan Jantung Kongenital yang Lazim

  • Kecacatan Septum Atrium (ASD): Lubang pada dinding yang memisahkan ruang atas jantung.
  • Kecacatan Septum Ventrikel (VSD): Lubang pada dinding yang memisahkan ruang bawah jantung.
  • Koarktasi Aorta: Penyempitan pada aorta yang menyebabkan jantung perlu bekerja lebih kuat.
  • Tetralogi Fallot: Gabungan empat kecacatan jantung yang menyebabkan darah kurang oksigen mengalir ke seluruh badan.
  • Kecacatan Saluran Atrioventrikular Lengkap (CAVC): ALubang besar yang menjejaskan keempat-empat ruang jantung dan menyebabkan percampuran ketara antara darah kaya oksigen dan darah kurang oksigen.
  • Kecacatan Ventrikel Tunggal: Keadaan di mana satu ventrikel tidak berkembang sepenuhnya, sekali gus menjejaskan peredaran darah.

Rawatan

Pengurusan kecacatan jantung kongenital biasanya melibatkan penggunaan ubat-ubatan, intervensi pembedahan atau gabungan kedua-duanya, bergantung kepada tahap keterukan keadaan. Pengesanan awal dan rawatan yang tepat pada masanya dapat meningkatkan hasil rawatan serta kualiti hidup pesakit.

Soalan Lazim Mengenai Penyakit Jantung

Apakah itu pemulihan jantung?

Pemulihan jantung ialah program yang dipantau oleh profesional kesihatan bagi membantu individu pulih daripada penyakit jantung melalui senaman, pendidikan kesihatan dan kaunseling gaya hidup.

Berapa kerap saya perlu berjumpa pakar kardiologi?

Bagi individu berumur 40 tahun ke atas atau yang mempunyai sejarah keluarga penyakit jantung, saringan tahunan adalah disarankan. Individu yang mempunyai faktor risiko seperti hipertensi atau diabetes mungkin memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap.

Buat Janji Temu di Hospital-hospital Pantai

Pemeriksaan jantung secara berkala penting untuk memahami dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular anda. Di Hospital-hospital Pantai, pasukan pakar jantung kami berdedikasi untuk memberikan nasihat pakar serta rawatan yang diperibadikan. Layari laman web kami untuk menempah janji temu atau muat turun aplikasi MyHealth360 melalui Google Play Store atau Apple App Store. 

Hospital-hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan

Click to know more!
aad blue heart