Topics
1. Pengesanan Awal Kanser Payudara Meningkatkan Kadar Kelangsungan Hidup
Menjalani saringan kanser payudara pada peringkat awal amat penting untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup bagi individu yang didiagnosis dengan kanser payudara. Pelbagai pilihan rawatan mempunyai kadar kejayaan yang lebih tinggi jika kanser dikesan pada peringkat awal, iaitu ketika ia masih setempat. Apabila kanser dikesan lebih awal, peluang untuk terus hidup meningkat dengan ketara kerana penyakit tersebut belum merebak ke bahagian badan yang lain. Kanser payudara pada peringkat awal juga lebih berkemungkinan memberi tindak balas yang baik terhadap rawatan seperti pembedahan dan terapi radiasi. Program saringan di negara yang mempunyai tahap kesedaran yang tinggi tentang kanser payudara serta akses yang mudah kepada perkhidmatan perubatan secara konsisten menunjukkan penurunan kadar kematian berkaitan kanser payudara.
Apabila sel kanser yang berpotensi dapat dikenal pasti pada peringkat awal, pesakit boleh menerima rawatan yang kurang invasif. Ini membantu mengurangkan komplikasi, memberikan prognosis yang lebih baik, dan meningkatkan kualiti hidup. Oleh sebab itu, saringan berkala disarankan bagi wanita berusia 40 tahun ke atas atau mereka yang mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara.
2. Saringan Awal Kanser Payudara Membolehkan Rawatan yang Kurang Agresif
Satu lagi sebab penting untuk mengesan kanser payudara pada peringkat awal ialah ia membuka peluang kepada pilihan rawatan yang kurang agresif. Jika kanser dikesan lebih awal, tumor biasanya lebih kecil, masih setempat, dan kurang berkemungkinan merebak ke kelenjar limfa atau organ lain. Dalam keadaan ini, pesakit mungkin tidak perlu menjalani mastektomi (pembuangan keseluruhan payudara). Sebaliknya, kanser boleh dirawat melalui rawatan yang lebih bersasar seperti lumpektomi, iaitu pembedahan yang hanya membuang tisu kanser, atau terapi radiasi setempat yang mungkin mencukupi untuk merawat kanser tersebut.
Memilih pendekatan rawatan yang kurang agresif bukan sahaja dapat mengurangkan beban kepada pesakit, malah dapat mempercepatkan tempoh pemulihan serta meningkatkan hasil rawatan secara keseluruhan. Kajian menunjukkan bahawa kanser payudara pada peringkat awal biasanya boleh dirawat secara berkesan serta mempunyai kesan sampingan yang lebih sedikit, sekali gus membantu meningkatkan kualiti hidup pesakit.
3. Pilihan Saringan Kanser Payudara Mudah Didapati di Malaysia
Saringan kanser payudara kini mudah didapati di Malaysia, sekali gus memberi peluang kepada wanita untuk mengesan kemungkinan tanda kanser payudara pada peringkat awal. Mamogram merupakan kaedah saringan kanser payudara yang paling biasa dan sering disarankan. Ia ialah pemeriksaan sinar-X pada tisu payudara. Mamografi merupakan alat yang dipercayai untuk mengesan tumor yang masih belum dapat dirasai, termasuk dalam kalangan wanita yang mempunyai tisu payudara yang padat.
Selain itu, ultrabunyi dan pengimejan resonans magnetik (MRI) juga digunakan sebagai kaedah saringan tambahan atau dalam kes apabila keputusan mamogram menunjukkan sesuatu yang tidak normal. Teknologi ini menghasilkan imej beresolusi tinggi yang dapat memberikan maklumat lanjut tentang ciri-ciri kawasan mencurigakan yang dikesan semasa saringan. Di Hospital-hospital Pantai, pesakit mempunyai akses kepada teknologi pengimejan terkini bagi memastikan keputusan saringan yang berkualiti tinggi dan tepat.
4. Saringan Kanser Payudara Membantu Membuat Keputusan Kesihatan yang Lebih Baik
Saringan kanser payudara bukan sahaja membantu mengesan kanser, malah memberi kuasa kepada wanita untuk membuat keputusan yang terbaik bagi kesihatan mereka berdasarkan pengetahuan dan kesedaran. Saringan secara berkala juga memberikan maklumat penting tentang kesihatan payudara, sekali gus membantu wanita memahami sebarang perubahan yang mungkin berlaku dari semasa ke semasa. Bagi wanita yang mempunyai risiko lebih tinggi akibat sejarah keluarga, faktor genetik atau faktor lain, saringan awal kanser payudara memberi peluang untuk mengambil langkah pencegahan sebelum kanser menjadi lebih serius.
Sebagai contoh, bagi keadaan payudara jinak seperti perubahan fibrokistik atau tumor, saringan berkala membolehkan pemantauan berterusan serta pengesanan awal jika berlaku sebarang perubahan. Selain itu, keputusan saringan awal juga boleh mempengaruhi perubahan gaya hidup, seperti mengamalkan pemakanan yang lebih sihat, bersenam secara berkala, dan mengawal berat badan bagi mengurangkan risiko kanser payudara pada masa hadapan. Di Hospital-hospital Pantai, pesakit akan menerima nasihat dan panduan yang disesuaikan dengan keadaan mereka berdasarkan keputusan saringan, sekali gus membantu mereka mengambil langkah pertama ke arah mengekalkan kesihatan yang baik.
5. Saringan Kanser Payudara Membantu Mengesan Keabnormalan Bukan Kanser pada Peringkat Awal
Salah satu manfaat utama saringan kanser payudara ialah keupayaannya untuk mengesan keabnormalan bukan kanser seperti ketulan jinak atau sista. Ramai wanita mungkin berasa bimbang apabila menerima keputusan seperti ini, namun penting untuk difahami bahawa keadaan jinak adalah perkara yang biasa berlaku dan boleh dirawat. Pengesanan keabnormalan ini melalui saringan awal membolehkan doktor membezakan antara keadaan yang bersifat kanser dan bukan kanser, sekali gus mengurangkan kebimbangan yang tidak perlu dalam kalangan pesakit.
Dalam banyak kes, keadaan bukan kanser hanya memerlukan pemantauan berkala atau rawatan kecil. Dengan mengesan keadaan ini pada peringkat awal, pasukan perubatan di Hospital-hospital Pantai dapat memastikan pesakit dipantau dengan rapi dan menerima rawatan yang diperlukan bagi mengelakkan berlakunya komplikasi.
Soalan Lazim (FAQ)
1. Bilakah saya perlu mula menjalani saringan kanser payudara secara berkala?
Walaupun garis panduan mungkin berbeza, kebiasaannya disarankan untuk mula menjalani saringan tahunan apabila berumur 40 tahun. Namun, individu yang mempunyai sejarah keluarga berisiko tinggi disarankan untuk memulakan saringan lebih awal.
2. Adakah saringan kanser payudara menyakitkan?
Mamogram mungkin menyebabkan sedikit ketidakselesaan akibat pemampatan, namun prosedur ini biasanya cepat dan boleh diterima dengan baik.
3. Apakah yang tidak boleh dilakukan sebelum menjalani mamogram?
Bagi mengelakkan gangguan pada imej pemeriksaan, anda tidak digalakkan memakai deodoran, losen atau bedak di bawah ketiak atau pada bahagian dada sebelum menjalani mamogram.
4. Berapa kerap saya perlu menjalani saringan jika pernah mengalami keabnormalan payudara sebelum ini?
Doktor akan menentukan kekerapan saringan berdasarkan sejarah perubatan dan keputusan pemeriksaan anda sebelum ini.
Jadualkan Janji Temu di Hospital Pantai
Di Hospital-hospital Pantai, pakar onkologi dan pakar kesihatan payudara yang berpengalaman komited menyediakan perkhidmatan saringan yang menyeluruh, daripada mamogram hingga teknik pengimejan lanjutan. Jika anda bimbang tentang kesihatan payudara anda atau menyedari perubahan yang luar biasa seperti ketulan, ketidakselesaan, atau perubahan pada bentuk payudara, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan perubatan dengan segera. Pengesanan awal kanser payudara amat penting untuk memastikan hasil rawatan yang terbaik. Sila hubungi Hospital Pantai yang terdekat dengan membuat janji temu melalui laman web kami, atau memuat turun aplikasi MyHealth360 daripada Google Play Store atau Apple App Store.
Hospital-hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

