Topics
1. Kerosakan Hati yang Serius
Salah satu organ utama yang terjejas oleh leptospirosis ialah hati. Jangkitan tersebut boleh menyebabkan jaundis, iaitu satu keadaan yang ditandai dengan kulit dan bahagian putih mata menjadi kuning. Dalam kes-kes yang serius, ia boleh melarat kepada kegagalan hati, di mana keupayaan hati untuk menyahtoksin badan dan menghasilkan protein penting melemah. Komplikasi seperti gangguan pendarahan dan takungan cecair boleh berlaku.2. Kegagalan Buah Pinggang
Buah pinggang secara khususnya sangat terdedah kepada kesan leptospirosis. Jangkitan ini boleh menyebabkan kecederaan buah pinggang akut yang jika tidak dirawat, boleh mengakibatkan kegagalan buah pinggang. Kegagalan buah pinggang boleh menyebabkan bahan buangan terkumpul di dalam badan sehingga memerlukan dialisis sebagai rawatan. Penglibatan buah pinggang yang serius dikaitkan dengan keadaan yang dipanggil penyakit Weil iaitu bentuk leptospirosis yang serius.3. Paru-paru dan Fungsi Pernafasan
Leptospirosis juga boleh menyebabkan komplikasi pulmonari. Sesetengah orang mungkin mengalami sesak nafas, sakit dada, atau batuk berdarah disebabkan oleh keradangan paru-paru. Keadaan ini dipanggil pendarahan pulmonari dan ia boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera. Keupayaan paru-paru untuk membekalkan oksigen kepada badan boleh terjejas dengan ketara dalam kes-kes yang serius.
4. Masalah Jantung dan Isu Kardiovaskular
Leptospirosis boleh menjejaskan jantung selain daripada organ dalaman seperti buah pinggang dan hati. Dalam kes-kes tertentu, jangkitan ini boleh menyebabkan otot jantung menjadi radang, yang membawa kepada miokarditis. Keadaan ini boleh mengganggu keupayaan jantung untuk mengepam darah dengan berkesan yang menyebabkan degupan jantung tidak teratur atau malah kegagalan jantung dalam kes-kes yang ekstrem.5. Sistem Saraf Pusat
Selain itu, leptospirosis juga boleh menyebabkan kesan neurologi, terutamanya apabila ia menjejaskan sistem saraf pusat (CNS). Dalam kes-kes yang serius, ia boleh mengakibatkan meningitis atau ensefalitis iaitu keadaan yang ditandai dengan keradangan otak dan tisu di sekelilingnya. Gejala seperti kekeliruan, sakit kepala, dan sawan mungkin berlaku. Jika dibiarkan tanpa rawatan, komplikasi ini boleh menyebabkan kerosakan sistem saraf yang kekal.6. Masalah Gastrointestinal
Gejala gastrointestinal kerap dilihat dalam kalangan penghidap leptospirosis. Gejala-gejala tersebut mungkin termasuk loya, muntah, sakit perut, dan cirit-birit. Dalam kes yang lebih serius, ia boleh menyebabkan pendarahan gastrointestinal. Gejala-gejala ini biasanya merupakan antara tanda awal jangkitan dan boleh berlaku bersama keadaan khusus organ lain seperti jaundis dan kegagalan buah pinggang.Soalan Lazim
1. Bagaimanakah cara mencegah leptospirosis di tempat yang mudah berlaku wabak?
Pencegahan leptospirosis termasuklah menjauhkan diri daripada air atau tanah yang berpotensi dicemari dengan air kencing haiwan, terutamanya di tempat-tempat yang mudah dilanda banjir atau mempunyai sistem sanitasi yang buruk. Memakai kelengkapan pelindung seperti but dan sarung tangan semasa bekerja di persekitaran yang berisiko, serta memastikan air minuman bersih melalui pendidihan atau penapisan merupakan langkah pencegahan yang penting. Memastikan haiwan peliharaan dan ternakan anda divaksin juga dapat mengurangkan risiko penularan.
2. Apakah tanda-tanda awal leptospirosis sebelum kerosakan organ berlaku?
Tanda-tanda awal leptospirosis biasanya menyerupai selesema dan mungkin termasuk gejala seperti demam, menggigil, sakit otot, sakit kepala, dan kelesuan. Tanda-tanda awal ini boleh muncul dalam tempoh 2 hingga 14 hari selepas pendedahan dan kadangkala boleh sembuh dengan sendirinya. Walau bagaimanapun, tanpa diagnosis dan rawatan segera, jangkitan boleh melarat dan mula menjejaskan pelbagai organ yang berbeza.
3. Adakah leptospirosis berjangkit sesama manusia?
Penularan leptospirosis daripada seseorang ke seseorang yang lain adalah sangat jarang berlaku tetapi boleh terjadi melalui sentuhan langsung dengan air kencing atau cecair badan orang yang dijangkiti (tidak termasuk air liur). Sebaliknya, penyakit ini lebih kerap merebak melalui sentuhan dengan persekitaran yang dicemari oleh air kencing haiwan yang dijangkiti.
4. Bagaimanakah sistem imun melawan leptospirosis?
Sistem imun memainkan peranan penting dalam memerangi bakteria Leptospira. Sebaik sahaja bakteria memasuki badan, sistem imun menghasilkan antibodi untuk mengesan dan memusnahkannya. Walau bagaimanapun, tahap keterukan jangkitan biasanya bergantung pada tindak balas imun individu dan kesihatan am mereka. Terdapat kebarangkalian yang lebih tinggi untuk bakteria tersebut merebak kepada individu yang mempunyai sistem imun yang lemah sehingga menyebabkan kerosakan organ yang serius.
Jadualkan Janji Temu di Hospital Pantai
Jika anda rasa anda sedang mengalami gejala leptospirosis, dapatkan rawatan perubatan dengan segera. Diagnosis awal dan rawatan dengan antibiotik boleh mengurangkan risiko komplikasi secara ketara. Di Hospital Pantai, pasukan perubatan pakar kami menyediakan penjagaan menyeluruh dan pelan rawatan peribadi untuk menguruskan leptospirosis serta kesannya.
Jika anda mempunyai kebimbangan mengenai leptospirosis atau memerlukan bantuan, sila hubungi Hospital Pantai yang berdekatan dengan membuat janji temu melalui laman web kami, atau muat turun aplikasi MyHealth360 kami daripada Google Play Store atau Apple App Store.
Hospital-hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

