
NEGARA kita kini sedang mengalami cuaca panas.
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan fenomena itu akan berlarutan sehingga April ini.
Menurut Pakar Geriatrik dan Perubatan Dalaman di Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr Tay Hui Sian, situasi tersebut adalah tidak selamat terutamanya kepada warga emas atau mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
Ujar pakar tersebut, seseorang berisiko mendapat penyakit berkaitan haba dan boleh mengakibatkan kesihatan yang teruk.
Dr Hui Sian memberitahu, situasi oedema haba iaitu bengkak pada buku lali dan kaki juga boleh tercetus apabila badan menjadi panas.
Bukan itu sahaja, ruam seperti gugusan merah jerawat atau lepuh kecil yang mengakibatkan kerengsaan kulit juga boleh terjadi.
Ia lazimnya dialami pada leher, bahagian dada atas, pangkal paha, di bawah payudara dan lipatan siku.
Kulit juga mungkin berasa gatal-gatal atau kesemutan mencucuk.Kata beliau, keletihan haba adalah amaran bahawa badan tidak lagi dapat menyejukkan diri.
Ujar beliau, walaupun suhu badan mungkin kekal normal namun kulit badan akan terasa sejuk, pucat dan lembap.
Selain mengalami pernafasan yang laju, kadar nadi seseorang juga akan menjadi cepat dan lemah.
Suhu badan meningkat
Justeru, pakar tersebut mencadangkan supaya mereka yang terkesan supaya berehat di tempat yang sejuk dan dapatkan banyak cecair.
“Jika anda tidak pulih dalam tempoh singkat, segera dapatkan rawatan bagi mengelakkan terkena strok haba.
“Ia adalah kecemasan perubatan dan penyakit berkaitan haba paling serius yang mana suhu badan meningkat melebihi 40 darjah Celsius,” jelas beliau.
Ia berlaku apabila tubuh tidak dapat mengawal suhu badan yang meningkat dengan cepat.
Mengulas lanjut, kata Dr Hui Sian, strok haba boleh menyebabkan kematian atau hilang upaya kekal jika rawatan kecemasan tidak diberikan.
Simptom awal yang boleh dilihat adalah banyak berpeluh, dahaga dan keletihan, kulit panas, kering dan memerah, nadi yang kuat dan cepat.
Gejala tersebut akan diikuti dengan peningkatan suhu badan, sesak nafas, sakit kepala, pening, loya, muntah dan kekejangan otot pada anggota bawah badan.
Sesetengah warga emas mungkin mengalami tanda seperti kekeliruan, pengsan atau koma sebelum mereka menyedari gejala awal strok haba.
Ia didorong oleh faktor berikut:
Tambah pakar berkenaan, penyakit yang berkaitan dengan haba boleh diramal dan boleh dicegah.
“Apabila seseorang mengalami mana-mana gejala ini, mereka hendaklah mendapatkan bantuan perubatan dan segera berpindah ke tempat yang lebih sejuk seperti di bawah teduhan atau di dalam rumah.
“Mereka juga harus mengambil tindakan untuk menurunkan suhu badan dengan pakaian longgar dan nipis, mandi dengan air sejuk, dan guna kipas atau penyaman udara,” katanya.
Meneruskan hujahnya, Dr Hui Sian juga menasihati pesakit untuk mendapatkan konsultasi daripada doktor berkenaan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan seseorang menjadi terlalu panas atau mendapat penyakit yang berkaitan dengan haba.
“Paling penting, sekiranya menjaga kanak-kanak atau orang tua, bantu mereka mengelakkan diri daripada panas.
“Jangan tinggalkan sesiapa di dalam kenderaan jika ia diletakkan di bawah matahari,” katanya.
Setiap individu juga boleh mengambil langkah untuk memantau rakan sekerja supaya berada dalam keadaan selamat.
Tegas beliau, penyakit yang disebabkan oleh haba boleh menyebabkan seseorang menjadi keliru atau tidak sedarkan diri.
“Jika anda berumur 65 tahun ke atas, hubungi rakan atau saudara untuk memeriksa keadaan anda dua kali sehari.
“Lakukan perkara sama jika mengenali seseorang dalam kumpulan umur ini,” katanya.
Untuk maklumat lebih lanjut tentang Dr. Tay Hui Sian, klik sini.