Pantai Hospital Melaka raikan Tahun Baharu Cina & iftar Ramadan, hargai rakan strategik dalam komuniti kesihatan

发表于: 16/03/2026

MUSIM perayaan sering menjadi waktu terbaik untuk mengeratkan hubungan, bukan sekadar bersama keluarga dan sahabat, malah dengan rakan strategik yang memainkan peranan penting dalam perjalanan sesebuah organisasi.

Semangat inilah yang diterjemahkan oleh Pantai Hospital Melaka apabila menganjurkan dua majlis istimewa bersempena Tahun Baharu Cina dan juga iftar Ramadan baru-baru ini.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu menghimpunkan rakan kongsi strategik, perunding perubatan serta pelbagai pihak berkepentingan yang selama ini menyokong usaha hospital berkenaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat di Melaka.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Kevin Khoo Teck Joon, majlis tersebut bukan sekadar acara sosial, sebaliknya menjadi platform untuk menghargai kepercayaan serta kerjasama erat yang telah terjalin sekian lama.

“Perhimpunan sempena musim perayaan ini memberi peluang kepada kami untuk merakamkan penghargaan kepada rakan-rakan yang sentiasa menyokong dan bekerjasama dengan hospital ini.

"Kepercayaan dan kerjasama mereka membolehkan kami memperluaskan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti untuk lebih ramai masyarakat di Melaka,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa komitmen terhadap peningkatan kualiti perkhidmatan sentiasa menjadi keutamaan hospital tersebut.

“Dalam bidang penjagaan kesihatan, kita tidak boleh kekal di takuk lama. Kami perlu sentiasa berkembang, berinovasi dan memastikan pesakit sentiasa menjadi keutamaan,” jelasnya lagi.

Selari dengan usaha meningkatkan pengalaman pesakit, hospital berkenaan turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang memberi kemudahan tambahan kepada orang ramai.

Antaranya termasuk pengenalan Sunday Clinic and Services, satu langkah yang memberi lebih fleksibiliti kepada pesakit yang mungkin sukar mendapatkan rawatan pada hari bekerja.

Inisiatif tersebut dilihat mampu membantu golongan profesional, keluarga serta individu yang mempunyai jadual padat untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu menunggu lama.

Selain itu, hospital tersebut juga terus melangkah ke hadapan dengan penggunaan teknologi pembedahan moden seperti sistem pembedahan robotik Da Vinci Xi Surgical System dan CORI Surgical System.

Penggunaan teknologi ini membantu meningkatkan ketepatan prosedur pembedahan selain memberikan pengalaman pemulihan yang lebih baik kepada pesakit.

Dengan bantuan teknologi robotik, pakar bedah mampu melakukan prosedur dengan lebih tepat dan kurang invasif, sekali gus membantu pesakit pulih dengan lebih cepat.

Menurut Dr Kevin, gabungan inovasi teknologi serta peningkatan kemudahan ini mencerminkan komitmen hospital tersebut dalam menyediakan penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses dan berpusatkan pesakit.

Dalam usaha memberikan pengalaman lebih selesa kepada pesakit dan pelawat, hospital itu juga baru-baru ini melakukan beberapa kerja naik taraf kemudahan utama.

Antara ruang yang diberi sentuhan baharu ialah lobi utama, kawasan drop-off serta taman teres hospital.

Penambahbaikan ini bukan sahaja meningkatkan keselesaan pengunjung, malah memudahkan pergerakan pesakit di sekitar fasiliti hospital.

Jaringan kerjasama

Langkah tersebut dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan hospital untuk memastikan setiap individu yang datang mendapatkan rawatan menikmati persekitaran yang lebih mesra, selesa dan mudah diakses.

Dr Kevin turut menegaskan bahawa majlis perayaan yang dianjurkan itu mencerminkan penghargaan mendalam hospital terhadap jaringan kerjasama yang luas.

Jaringan tersebut merangkumi pelbagai pihak termasuk ejen insurans, doktor perubatan am, rakan antarabangsa dan korporat, rakan media, perunding perubatan, selain agensi kerajaan tempatan serta badan penguat kuasa.

Kesemua pihak ini memainkan peranan penting dalam memastikan sistem penjagaan kesihatan dapat berfungsi dengan lebih efektif dan menyeluruh.

Menurut beliau, hubungan kerjasama yang kukuh antara hospital dan rakan strategik menjadi asas kepada peningkatan kualiti rawatan serta pengalaman pesakit.

“Di Pantai Hospital Melaka, kami amat menghargai kepercayaan dan sokongan daripada rakan kongsi serta para perunding. Bersama-sama, kami akan terus mempertingkatkan pengalaman pesakit dan mengukuhkan perkhidmatan kesihatan dalam komuniti,” katanya.

Walaupun majlis tersebut berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemeriahan, mesej yang dibawa sebenarnya jauh lebih besar.

Ia mencerminkan bagaimana semangat kerjasama dan penghargaan mampu menjadi asas kepada pembangunan sektor kesihatan yang lebih baik.

Dalam dunia perubatan yang sentiasa berkembang, hubungan erat antara hospital, pakar perubatan dan rakan strategik bukan sahaja membantu meningkatkan kualiti rawatan, malah memastikan masyarakat mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan yang lebih moden, efisien dan berfokus kepada keperluan pesakit.

Bagi Pantai Hospital Melaka, sambutan perayaan ini bukan sekadar tradisi tahunan, sebaliknya simbol komitmen berterusan untuk membina ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih kukuh demi kesejahteraan komuniti.

Untuk artikel penuh, klik sini:

https://sinarplus.sinarharian.com.my/article/185350/fyi/pantai-hospital-melaka-raikan-tahun-baharu-cina-iftar-ramadan-hargai-rakan-strategik-dalam-komuniti-kesihatan/news


Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!
aad blue heart