eating-habits-banner-desktop eating-habits-banner-mobile
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Kanak-kanak

Cara Memupuk Tabiat Pemakanan Sihat Pada Kanak-kanak

09 November 2023 · 5 mins read

Topics






Memupuk tabiat pemakanan yang sihat pada kanak-kanak boleh memberikan mereka kesihatan fizikal dan mental yang baik sepanjang hayat. Baca selanjutnya untuk petua yang baik.

Kita semua memerlukan makanan untuk terus hidup. Akan tetapi, jenis makanan yang kita makan menentukan kualiti hidup yang kita jalani. Oleh itu, tabiat pemakanan yang sihat harus bermula sejak zaman kanak-kanak lagi.

Pemakanan yang betul memainkan peranan penting dalam pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Mengajar anak-anak anda tentang tabiat pemakanan yang sihat dari usia muda menyediakan mereka untuk pilihan yang sihat sepanjang hayat.

Dalam dunia hari ini, makanan segera dan diproses mudah didapati, maka lebih penting untuk mengajar kanak-kanak tentang kepentingan mengambil makanan seimbang dengan semua nutrien yang diperlukan.

Apakah cabaran pemakanan yang paling biasa dihadapi dengan kanak-kanak?

Cabaran pemakanan yang paling biasa termasuk:

  1. Makan yang disekat atau selektif.

    Pemakanan disekat atau selektif adalah keadaan di mana kanak-kanak mengelakkan makanan dengan ciri sensori tertentu seperti bau, rasa, tekstur, warna, dll. Ini boleh menyebabkan kekurangan nutrisi, penurunan berat badan dan masalah kesihatan lain pada sesetengah kanak-kanak.

  2. Tabiat pemakanan yang tidak sihat dan makan berlebihan.

    Masalah ini biasa dihadapi oleh ibu bapa. Kanak-kanak mungkin menunjukkan minat yang kuat untuk makanan ringan atau hanya makan berlebihan sepanjang masa. Akibatnya, kanak-kanak mungkin enggan makan buah-buahan dan sayur-sayuran dan cenderung memilih makanan rapu.

Apakah faedah pemakanan sihat untuk kanak-kanak?

Kelebihan tabiat pemakanan sihat untuk kanak-kanak:

  • Menyokong perkembangan otak.
  • Menyokong pertumbuhan yang sihat.
  • Meningkatkan imuniti.
  • Menguatkan tulang.
  • Menyokong otot.
  • Memperbaiki fungsi sistem penghadaman.
  • Menjaga kesihatan kulit, gigi dan mata.
  • Mengekalkan berat badan yang sihat.

Mengapakah penting untuk mengajar kanak-kanak tentang pemakanan sihat?

Penting untuk mengajar mereka tentang pemakanan yang sihat untuk beberapa sebab termasuk:

  1. Menggalakkan pengubahsuaian tingkah laku untuk membuat pilihan sihat sepanjang hayat.

    Kajian menunjukkan, lebih daripada 20 pendedahan kepada makanan tertentu diperlukan untuk kanak-kanak menggemarinya. Bermakna, jika anak anda tidak menyukai makanan sihat tertentu, usah berputus asa.

    Setelah diajar, tabiat pemakanan kanak-kanak selalunya kekal sepanjang hayat. Dengan mengajar mereka tentang pemakanan sihat, ibu bapa dan pendidik boleh membantu mereka mewujudkan tingkah laku sepanjang hayat yang akan membentuk gaya hidup yang lebih sihat.

  2. Mewujudkan tabiat pemakanan yang baik dan membina hubungan yang sihat dengan makanan.

    Dalam kebanyakan kes, ibu bapa melabelkan makanan rapu atau tidak sihat sebagai tidak baik dan yang lain sebagai makanan yang baik. Daripada berbuat demikian, menerangkan perbezaan antara makanan yang tidak elok berbanding makanan yang baik boleh membantu kanak-kanak membina hubungan yang sihat dengan makanan. Seterusnya, memberi kesan positif kepada pilihan makanan yang dibuat oleh kanak-kanak kelak.

  3. Menggalakkan kesihatan fizikal.

    Pemakanan yang sihat adalah penting untuk mengekalkan kesihatan yang baik. Kanak-kanak yang mengambil makanan yang seimbang dan berkhasiat dapat membesar dengan sihat. Malah membantu untuk mencegah masalah kesihatan masa depan seperti obesiti, diabetes, dll.

  4. Menyokong kesihatan mental.

    Pemakanan sihat juga boleh memberi kesan positif kepada kesihatan mental kanak-kanak. Sebagai contoh, makanan diet tinggi buah-buahan dan sayur-sayuran telah dikaitkan dengan kadar kemurungan dan kebimbangan yang lebih rendah pada kanak-kanak.

  5. Gred yang lebih baik dalam kelas.

    Beberapa kajian mendapati pemakanan mempengaruhi tingkah laku dan kemahiran kognitif keseluruhan kanak-kanak. Ringkasnya, tabiat mudah seperti mengambil sarapan pagi yang lazat, memakan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi, meningkatkan pengambilan serat, mengurangkan gula dan minum lebih banyak air, boleh memberi impak positif yang besar kepada prestasi akademik kanak-kanak.

Bagaimanakah cara memupuk tabiat pemakanan sihat sejak kecil?

Petua berikut dapat membantu anda mendidik anak anda makan secara sihat.

  1. Mulakan awal.

    Sebarang tabiat yang diperkenalkan pada usia muda bertukar menjadi tabiat sepanjang hayat. Oleh itu, penting untuk mula mengajar tabiat pemakanan sihat kepada anak anda pada awal kehidupan mereka. Mereka dapat memilih makanan dengan bijak dan mengekalkan gaya hidup sihat apabila dewasa.

  2. Libatkan mereka.

    Kanak-kanak akan gembira mendapat makanan yang sihat jika anda melibatkan mereka dalam perancangan makanan, membeli-belah, penyediaan makanan, dll. Anda juga berpeluang untuk mendidik anak-anak anda tentang pemakanan. Ini akan memberikan rasa pencapaian kepada kanak-kanak dan mereka akan lebih cenderung untuk makan makanan yang sihat.

  3. Menawarkan pelbagai pilihan makanan sihat.

    Sediakan anak anda dengan pelbagai makanan berkhasiat, seperti buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh, protein tanpa lemak dan produk tenusu rendah lemak. Ini boleh membantu mereka membentuk minat terhadap makanan sihat yang berbeza dan mengelak daripada menggemari pilihan yang tidak sihat.

    Juga sebagai peluang yang baik untuk menerangkan kepada anak anda tentang faedah setiap makanan dalam pinggan mereka.

  4. Elakkan menggunakan makanan yang tidak sihat sebagai ganjaran.

    Ramai ibu bapa menggunakan makanan yang tidak sihat sebagai ganjaran untuk tingkah laku yang baik. Malah menjadi kebiasaan bagi mereka untuk menahan makanan tertentu sebagai hukuman. Contohnya, ibu bapa mungkin enggan menghidangkan aiskrim jika anak-anak belum membersihkan bilik mereka. Sebaliknya, mereka mungkin memberi mereka snek kerepek sebagai ganjaran untuk membersihkan bilik.

    Ibu bapa perlu sedar bahawa memberi makanan tertentu sebagai ganjaran boleh menjejaskan tabiat pemakanan sihat yang anda cuba kembangkan dalam diri anak anda. Ini juga mungkin menyebabkan gangguan pemakanan ketika masa dewasa kelak, iaitu anak-anak mungkin memberi ganjaran kepada dirinya sendiri dengan makanan rapu atau tidak sihat.

  5. Elakkan memaksa mereka untuk makan.

    Elemen utama untuk menggalakkan diet yang sihat adalah "pilihan". Seperti yang telah kami nyatakan di atas, mendedahkan anak-anak anda kepada pelbagai jenis makanan adalah langkah pertama untuk mereka akhirnya menyukainya.

    Walau bagaimanapun, seperti yang kita tahu, kanak-kanak tidak sama. Sentiasa ada yang cerewet dalam hal makan. Jika begitu, cuba-cuba dengan ramuan sihat yang berbeza dalam makanan yang sama. Pastikan anda mengelak daripada memberi memaksa anak menghabiskan semua makanan terhidang kerana ini boleh menyebabkan masalah tingkah laku jangka panjang.

  6. Jadilah teladan yang baik.

    Memang benar bahawa kanak-kanak sangat dipengaruhi oleh ibu bapa dan persekitaran mereka. Ketika kecil, mereka memerhati ibu bapa dan cuba meniru tingkah laku mereka.

    Akibatnya, kanak-kanak yang ada ibu bapa dengan tabiat pemakanan tidak sihat mungkin mengalami gangguan pemakanan pada kemudian hari. Untuk mengelakkan perkara ini:

    • Pastikan anda makan secara sihat semasa anak-anak anda ada.
    • Baca label makanan dan nutrien supaya anak anda belajar melakukannya juga.
    • Hargai anak anda apabila mereka memilih makanan yang sihat untuk diri mereka sendiri.
  7. Ajar mereka membaca label pemakanan.

    Memahami label pemakanan membantu kanak-kanak mengetahui bahan yang terkandung dalam makanan mereka dan membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat. Tidak seperti orang dewasa, kanak-kanak mungkin tidak dapat mentafsir label pemakanan sepenuhnya. Sebagai ibu bapa atau penjaga, anda boleh membantu dengan meringkaskan senarai dan membantu anak anda mengenal pasti bahan-bahan penting.

  8. Makan berkeluarga secara rutin.

    Dalam kehidupan moden yang sibuk, makan bersama-sama membolehkan anda mengetahui cerita yang dikongsikan oleh anak anda. Ini juga merupakan peluang yang baik untuk anda memperkenalkan anak-anak anda kepada makanan baharu dan menjadi contoh mereka dalam perihal pemakanan sihat.

    Pastikan waktu makan menyeronokkan dan berbual tanpa sebarang bentuk leteran atau pertengkaran. Anda juga boleh meminta anak anda mengundang rakan mereka untuk makan.

  9. Galakkan pengambilan air yang mencukupi.

    Tidak seperti orang dewasa, kanak-kanak lebih aktif secara fizikal. Maksudnya, mereka perlu kekal terhidrat sepanjang hari. Mengajar anak-anak anda kepentingan meminum air boleh mendorong mereka untuk minum lebih banyak. Sama penting untuk mengajar mereka bahawa minuman manis dan soda dan bukan pengganti air yang sihat.

    Berikut adalah beberapa strategi untuk memotivasikan anak anda agar minum lebih banyak air:

    • Semasa makan di luar, pilih air dan bukan minuman berperisa.
    • Bawa botol air apabila keluar, terutamanya di dalam kereta.
    • Beli botol air kecil yang lebih mudah dibawa oleh kanak-kanak.
    • Tambahkan perisa kepada air minuman anak anda, seperti oren, beri dll.

Atur janji temu di Hospital Pantai

Pemakanan yang seimbang dan berkhasiat yang merangkumi pelbagai makanan sihat boleh menggalakkan kesihatan fizikal dan mental, menyokong pertumbuhan dan perkembangan serta mencegah masalah kesihatan yang kronik.

Mengajar kanak-kanak tentang pemakanan sihat adalah langkah penting ke arah gaya hidup sihat dan mencegah isu kesihatan kronik. Dengan memberikan ilmu untuk membuat keputusan termaklum tentang makanan mereka, ibu bapa dan penjaga boleh membantu mereka mewujudkan tabiat pemakanan yang baik yang akan memberi manfaat kepada mereka sepanjang hayat.

Hubungi kami untuk mengatur janji temu dengan Pakar Pediatrik untuk rundingan di Hospital Pantai yang berdekatan dengan anda.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan