20234471242391220 20234471242391220
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Kanak-kanak

Bagaimanakah Cara untuk Membina Imuniti dalam Kalangan Kanak-kanak?

20 Disember 2023 · 5 mins read

Topics





Daripada pemakanan seimbang hinggalah menguruskan tekanan dan bersenam setiap hari, ketahui cara untuk menguatkan sistem imun anak anda.

Ibu bapa sering merenung: Bagaimanakah kita boleh memastikan kesejahteraan anak-anak kita dan meningkatkan sistem imun mereka untuk melindungi daripada COVID-19, demam selsema, selesema dan pelbagai penyakit?

Memang ada langkah yang berkesan, tetapi tiada penyelesaian ajaib atau suplemen ajaib. Kunci untuk mengekalkan sistem imun yang sihat terletak pada langkah asas yang diambil untuk mengekalkan kesihatan keseluruhan. Walaupun amalan ini kelihatan biasa saja, keberkesanannya adalah mantap dan boleh dipercayai.

Apakah Itu Imuniti?

Secara ringkasnya, imuniti ialah keupayaan tubuh untuk melawan kuman penyebab penyakit. Tubuh manusia bersentuhan dengan beberapa patogen setiap hari.

Namun, hanya segelintir patogen sahaja yang menyebabkan penyakit. Setiap kali badan bersentuhan dengan virus atau bakteria yang menyebabkan penyakit, antibodi dikeluarkan, lalu melindungi tubuh daripada jangkitan. Mekanisme pertahanan ini dipanggil imuniti.

Mengapa Membina Imuniti Kanak-kanak itu Penting?

Kita hidup dalam dunia di mana populasi mikrob baharu dan variannya semakin bertambah setiap hari. Lihatlah bilangan varian Koronavirus yang telah kita dengar dalam 3 tahun ini! Selain itu, tahap pencemaran yang semakin meningkat menjadi kebimbangan yang besar terhadap kesihatan manusia dan lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak.

Membina imuniti pada kanak-kanak amat penting untuk beberapa sebab:

  • Pencegahan penyakit: Sistem imun yang kuat membantu melindungi kanak-kanak daripada pelbagai jangkitan, virus dan bakteria yang boleh menyebabkan penyakit. Perkara ini amat penting terutamanya di persekitaran seperti sekolah, di mana kanak-kanak berada dalam jarak rapat dan mudah menularkan jangkitan.
  • Pemulihan yang pantas: Sekiranya kanak-kanak jatuh sakit, sistem imun yang kuat membolehkan pemulihan yang lebih cepat. Sistem imun yang berfungsi dengan baik boleh mengenal pasti dan memerangi patogen dengan lebih cekap, mengurangkan tahap keterukan dan tempoh penyakit.
  • Kesihatan jangka panjang: Membentuk sistem imun yang kuat semasa zaman kanak-kanak menetapkan asas untuk kesihatan jangka panjang yang lebih baik. Kanak-kanak yang mempunyai sistem imun yang sihat kurang berkemungkinan dijangkiti penyakit kronik pada kemudian hari.
  • Kesejahteraan yang menyeluruh: Imuniti yang baik adalah komponen utama bagi kesejahteraan yang menyeluruh. Imuniti memastikan mekanisme pertahanan badan berfungsi secara optimum, menyumbang kepada tahap tenaga, mood dan kualiti hidup yang lebih baik.

Bagaimanakah Cara untuk Membina Imuniti Kanak-kanak?

Berikut ialah beberapa tips untuk membentuk imuniti dalam si kecil anda:

  1. Memakan diet yang seimbang

    Pemakanan seimbang mengandungi jumlah nutrien sesuai yang diperlukan oleh tubuh agar kekal sihat, dapat membesar dan bebas daripada penyakit. 

    Diet "sihat" untuk kanak-kanak memerlukan corak pemakanan yang seimbang dan berkhasiat yang termasuk hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran yang mencukupi. Kanak-kanak disyorkan untuk mendapat sekurang-kurangnya lima hidangan sehari dengan makanan berwarna-warni dan kaya nutrien ini terdiri daripada separuh daripada setiap pinggan makan.

    Selain itu, diet yang menyeluruh dan mementingkan kesihatan untuk kanak-kanak harus menggabungkan bijirin penuh, sumber protein tanpa lemak dan termasuk pengambilan tenusu atau sumber kalsium alternatif yang mencukupi. Lemak yang sihat seperti yang terdapat dalam minyak sayuran juga dianggap bermanfaat untuk kesejahteraan keseluruhan.

    • Telur: Mengandungi vitamin penting seperti A, B12 dan nutrien seperti selenium dan zink. Telur juga mempunyai jumlah asid lemak Omega-3, mineral, protein dan antioksidan yang baik.
    • Ikan dan daging: Merupakan sumber zink, zat besi dan Vitamin B yang sangat bagus. Ikan berlemak seperti salmon juga mengandungi sejumlah besar asid lemak Omega-3, yang membantu meningkatkan imuniti.
    • Sayur-sayuran: Seperti bayam, kangkung, brokoli, kubis bunga dan kubis membantu meningkatkan imuniti anak anda. Ia mengandungi vitamin penting seperti C, E & K dan mineral. Sayur-sayuran juga merupakan sumber serat yang baik.
    • Buah-buahan sitrus: Seperti oren dan limau gedang sangat bermanfaat dalam meningkatkan imuniti kerana kehadiran Vitamin C dan mineral yang tinggi.
    • Yogurt: Mengandungi probiotik yang membantu meningkatkan kesihatan usus, penghadaman dan kesejahteraan keseluruhan. Selain itu, yogurt mempunyai nutrien penting seperti kalsium dan kalium.
    • Bijian: Seperti bijan, biji chia, biji labu, biji bunga matahari, dll. kaya dengan asid lemak omega-3 berasaskan tumbuhan, serat, lemak sihat dan mikronutrien yang membantu meningkatkan fungsi imun.
    • Buah beri: Kranberi, beri biru, beri hitam dan raspberi padat dengan nutrien dan antioksidan yang kuat. Ia membantu menguatkan sistem imun anak anda dengan melawan tekanan oksidatif.

    Sebaliknya, mengambil kira pilihan makanan tertentu yang boleh menghalang kesihatan kanak-kanak adalah langkah yang penting. Makanan yang diproses, item yang mengandungi gula tambahan dan lemak tidak sihat—lemak tepu khususnya yang biasa didapati dalam produk haiwan—sebaiknya dimakan secara sederhana. Walaupun hidangan seperti biskut atau aiskrim boleh dinikmati sekali-sekala, menekankan pendekatan yang seimbang adalah kuncinya.

  2. Tidur yang baik

    • Satu fakta menarik tentang kekurangan tidur ialah ia boleh mengurangkan keupayaan semula jadi sistem imun untuk melindungi tubuh daripada mikrob berbahaya. 
    • Jumlah tidur yang diperlukan untuk kanak-kanak berbeza-beza berdasarkan umur mereka, antara 12 hingga 16 jam sehari untuk bayi dan 8 hingga 10 jam sehari untuk remaja. Mungkin berbeza pada setiap kanak-kanak kerana ada yang memerlukan lebih banyak tidur daripada yang lain. 
  3. Senaman

    • Senaman yang kerap adalah cara untuk mengekalkan kesihatan yang baik dan mengurangkan kemungkinan penyakit.
    • Kanak-kanak disyorkan untuk melibatkan diri dalam sekurang-kurangnya satu jam aktiviti fizikal setiap hari. Istilah "aktif" bukan hanya merujuk kepada penyertaan dalam sukan terancang atau senaman gim; tetapi boleh merangkumi aktiviti seperti bermain di taman permainan, berenang atau berjalan.
  4. Pengurusan tekanan

    • Kita hidup dalam zaman apabila kanak-kanak tertakluk kepada persaingan dan tekanan yang hebat. Tekanan kronik terhadap kanak-kanak boleh menekan sistem imun, menjadikannya kurang berkesan dalam memerangi jangkitan dan penyakit.
    • Adalah penting untuk memastikan bahawa kanak-kanak mempunyai masa rehat yang khusus untuk bermain dan akses kepada aktiviti dan orang yang membawa kegembiraan kepada mereka.
    • Menghabiskan masa berkualiti bersama sebagai sebuah keluarga adalah penting bagi menyediakan peluang untuk komunikasi terbuka di mana kanak-kanak berasa selesa membincangkan sebarang kebimbangan.
    • Jika anda bimbang tentang kesihatan emosi kanak-kanak, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor. 
  5. Kebersihan

    • Keadaan kebersihan yang tidak baik di persekitaran seseorang meningkatkan risiko jangkitan, bermakna sistem imun perlu bekerja dengan lebih keras setiap hari.
    • Kekalkan persekitaran yang bersih dan sangat baik di rumah anda untuk merendahkan risiko dijangkiti jangkitan.
  6. Vaksinasi

    • Vaksinasi memainkan peranan penting untuk melindungi anda daripada pelbagai penyakit.
    • Kerap bertemu dengan doktor anda memastikan bahawa anak anda menerima vaksin yang disyorkan, memberikan perlindungan penting terhadap penyakit yang boleh dicegah.

Atur Janji Temu di Hospital Pantai

Ingat, perubahan kecil boleh meningkatkan kesejahteraan keseluruhan anak anda dengan ketara.

Pasukan pakar kanak-kanak yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding bagi memberikan penjagaan dan bantuan yang terbaik. Hubungi kami untuk mengatur janji temu hari ini jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang pembesaran dan perkembangan anak anda.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan