men-health-conditions-banner-desktop men-health-conditions-banner-mobile
Penjagaan Pencegahan
Kesihatan Lelaki

Masalah Kesihatan yang Perlu Disedari oleh Lelaki

09 November 2023 · 10 mins read

Topics








Ketahui lebih lanjut tentang masalah kesihatan lelaki yang perlu disedari oleh setiap lelaki.

Menurut data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jangka hayat kaum lelaki secara puratanya, adalah kira-kira lima tahun lebih pendek daripada wanita. Ini menunjukkan bahawa kaum lelaki perlu mengambil berat tentang kesihatan mereka.

Artikel ini akan meliputi pelbagai masalah kesihatan yang menjejaskan kaum lelaki, supaya mereka dapat memahami kesan yang berpotensi kepada kesihatan mereka dan cara-cara untuk mengekalkan kesejahteraan mereka.

Disfungsi Erektil (ED)

Masalah disfungsi erektil (ED) menyukarkan kaum lelaki untuk mendapat atau mengekalkan ereksi secukupnya bagi melakukan hubungan seksual. Ada banyak dan pelbagai punca baginya, yang termasuk masalah yang melibatkan salur darah anda, masalah neurologi, masalah kesihatan mental, dan kecederaan.

Faktor-faktor risiko Disfungsi Erektil (ED)

Disfungsi erektil juga adalah simptom yang berkaitan dengan pelbagai penyakit dan masalah perubatan. Berikut adalah faktor-faktor risiko disfungsi erektil:

  • Masalah prostat
  • Diabetes jenis 2
  • Hipogonadisme yang berkaitan dengan masalah endokrinologi
  • Hipertensi (tekanan darah tinggi)
  • Penyakit vaskular dan pembedahan vaskular
  • Kolesterol darah tinggi
  • HDL paras rendah (lipoprotein berketumpatan tinggi)
  • Gangguan tidur kronik (apnea tidur obstruktif, insomnia)
  • Masalah neurogenik
  • Kemurungan
  • Minum alkohol
  • Kegagalan ginjal dan dialisis
  • Merokok, yang memburukkan kesan-kesan faktor risiko lain, seperti penyakit vaskular dan hipertensi

Nampaknya, umur adalah faktor risiko tidak langsung utama yang berkaitan dengan kemungkinan faktor risiko langsung meningkat, dan beberapa daripadanya ada disebut di atas.

Simptom-simptom Disfungsi Erektil (ED)

Simptom-simptom disfungsi erektil termasuk sering:

  • Sukar untuk mendapat ereksi.
  • Sukar untuk mengekalkan ereksi.
  • Keinginan seksual menurun.

Pilihan rawatan bagi Disfungsi Erektil (ED)

Langkah pertama adalah mengenal pasti punca disfungsi erektil, dan selepas itu, doktor anda akan membantu menentukan pilihan rawatan yang terbaik untuk anda.

Berikut adalah pilihan rawatan yang boleh diambil, dan sesetengah rawatan boleh terus dimulakan oleh anda dengan mengubah gaya hidup anda.

  • Melakukan aktiviti kardiovaskular lasak selama 45 minit, tiga kali seminggu boleh membantu pesakit ED ringan. Contoh-contoh senaman kardiovaskular termasuk berjalan laju, berjoging, berenang, berbasikal, dan melompat tali.
  • Berhenti merokok boleh menambah baik keadaan ED ringan selepas beberapa bulan. 
  • Ubat-ubat yang berfungsi untuk meningkatkan aliran darah ke penis:
  • Terapi gelombang kejutan berintensiti rendah (LiSWT) adalah rawatan bukan invasif yang meningkatkan aliran darah ke penis menggunakan gelombang bunyi.
  • Peranti pencerutan vakum (pam zakar).
  • Terapi penggantian testosteron.

Hiperplasia Prostat Benigna (BPH) / Prostat Membesar

Hiperplasia Prostat Benigna (BPH), atau lebih dikenali sebagai prostat membesar, adalah pembesaran kelenjar prostat yang tidak berkanser. Penyakit urologi biasa ini lebih kerap dialami oleh lelaki berumur lebih 50 tahun. 

Faktor-faktor risiko Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)

Berikut adalah faktor-faktor risiko yang meningkatkan risiko mendapat Hiperplasia Prostat Benigna (BPH):

  • Berumur: Risiko prostat membesar dan simptom-simptom baginya akan meningkat sebaik sahaja anda mencapai umur 40 tahun, berbanding individu lebih muda di bawah 40 tahun.
  • Sejarah keluarga: Kemungkinan anda mengalami masalah prostat meningkat jika anda mempunyai saudara-mara yang mempunyai masalah prostat. 
  • Diabetes dan penyakit jantung: Menurut kajian, diabetes dan penyakit jantung boleh meningkatkan risiko mendapat BPH.
  • Gaya hidup: Obesiti meningkatkan risiko mendapat BPH, tetapi bersenam boleh membantu menurunkan risiko itu.

Simptom-simptom Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)

Anda mungkin mengalami Hiperplasia Prostat Benigna (BPH) jika anda menunjukkan mana-mana simptom ini:

  • Perlu menekan dan mencuba lebih kuat untuk mula kencing.
  • Sukar memulakan dan mengekalkan pancutan urin.
  • Pundi anda tidak rasa benar-benar kosong selepas kencing.
  • Tidak dapat kencing secara tiba-tiba (penahanan urin akut).
  • Gesaan untuk kencing secara tiba-tiba.
  • Kencing lebih kerap daripada biasa terutama pada waktu malam.
  • Kebocoran urin.
  • Darah didapati dalam urin.

Pilihan rawatan untuk Hiperplasia Prostat Benigna (BPH)

  • Terapi Wap Rezum: Rawatan alternatif untuk pembedahan, yang bersifat semula jadi dan selamat. Terapi perolakan wap ini digunakan untuk menghapuskan tisu-tisu prostat yang menghalang. Jumlah wap air akan disesuaikan dengan saiz prostat.
  • Rawatan ubat: Ini termasuk dua kategori ubat, iaitu, ubat yang mengendurkan prostat untuk mengurangkan sumbatan pada bukaan pundi, atau ubat untuk menyekat pengeluaran hormon lelaki (dht) yang menyumbang kepada pembesaran prostat.
  • Wap laser: Rawatan ini disediakan untuk pesakit dengan kelenjar prostat yang lebih kecil, di mana tenaga laser akan dihantar melalui uretra kepada kelenjar prostat untuk menghapuskan tisu-tisu prostat yang membesar.
  • Rawatan pembedahan: Bahagian prostat yang membesar dan menekan pada uretra akan dibuang melalui pembedahan.

 

Kanser Prostat

Kanser prostat tumbuh di dalam prostat, iaitu kelenjar kecil berupa walnut yang membentuk sebahagian daripada sistem pembiakan lelaki. Ia lebih kerap menyerang lelaki, khususnya mereka yang berumur lebih 50 tahun.

Faktor-faktor risiko kanser prostat

Kanser prostat lebih berkemungkinan berlaku pada individu yang mempunyai faktor-faktor risiko berikut:

  • Usia lanjut
  • Sejarah keluarga: Saudara-mara yang didiagnosis dengan kanser prostat atau kanser payudara, gen kanser payudara yang diwarisi – BRCA1, BRCA2
  • Obesiti

Simptom-simptom kanser prostat

Lelaki dengan kanser prostat peringkat awal biasanya tidak menunjukkan simptom. Namun, kanser prostat peringkat lanjut boleh menyebabkan simptom-simptom seperti:

  • Kesukaran kencing.
  • Keraguan urinari (pancutan urin lemah, sukar mengekalkan pancutan).
  • Kerap kencing.
  • Darah dalam urin (hematuria).
  • Disfungsi erektil.
  • Darah dalam semen.
  • Sakit semasa ejakulasi.
  • Sakit tulang.

Pilihan rawatan bagi kanser prostat

Pilihan rawatan untuk kanser prostat ditentukan oleh kadar penyebaran dan pertumbuhan kanser serta kesihatan umum dan keutamaan pesakit.

  • Pembedahan: Prostatektomi radikal adalah rawatan pembedahan yang membuang prostat menggunakan kaedah laparoskopik, robotik atau pembedahan terbuka tradisional.
  • Terapi radiasi: Terapi radiasi pancaran luaran secara langsung menghantar pancaran X-ray yang kuat kepada tumor dari luar badan. Brakiterapi menggunakan benih radioaktif untuk menghantar radiasi dari dalam, bagi membunuh sel-sel kanser sambil melindungi tisu sihat di sekelilingnya.
  • Terapi hormon: Terapi hormon menghalang pengeluaran testosteron badan. Dengan menyekat pengeluaran testosteron, pertumbuhan sel-sel kanser akan dihalang. Ubat hormon seperti agonis dan antagonis hormon pelepas hormon peluteinan (LHRH) dan hormon pelepas gonadotropin (GnRH) boleh menghentikan badan daripada menghasilkan testosteron.
  • Kemoterapi: Kemoterapi menyampaikan ubat secara intravena, secara oral (sebagai tablet), atau kedua-duanya, untuk membunuh sel-sel kanser. Kaedah ini boleh digunakan untuk merawat kanser prostat yang telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Kanser prostat memang boleh dirawat. Oleh itu, pengesanan awal kanser prostat adalah penting untuk mendapat hasil yang lebih baik. Ujian antigen khusus prostat (PSA) dan pemeriksaan rektum digital boleh digunakan untuk mendiagnosis kanser prostat lebih awal. Namun, harap maklum bahawa ujian ini mungkin tidak tepat sepenuhnya kerana beberapa faktor boleh mempengaruhi keputusannya.

Oleh itu, lelaki yang berisiko sederhana atau tinggi dinasihatkan berbincang dengan doktor mereka tentang saringan kanser prostat.

Kanser Testis

Kanser testis, yang tumbuh di dalam testikel biasanya menyerang lelaki antara umur 15 dan 40 tahun. Namun, lelaki boleh mendapat kanser testis pada sebarang umur.

Kanser testis biasanya terjadi apabila tumor malignan yang mengandungi sel-sel kanser, berkembang di dalam tisu-tisu testis. Sel-sel ini tumbuh tanpa kawalan dan boleh merebak ke seluruh badan melalui aliran darah atau sistem limfa.

Faktor-faktor risiko kanser testis

Lelaki yang berisiko mengalami kanser testis termasuk mereka yang:

  • Mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser testis.
  • Mempunyai testis tak turun (kriptorkidisme).
  • Mempunyai testis yang tidak berkembang secara normal kerana masalah seperti sindrom Klinefelter.
  • Mempunyai sejarah mengalami kanser testis.

Simptom-simptom kanser testis

Berikut adalah simptom-simptom yang berkaitan dengan kanser testis:

  • Benjolan di skrotum ataupun testis.
  • Pengumpulan cecair dalam skrotum secara mendadak atau tiba-tiba.
  • Skrotum atau testis menjadi bengkak.
  • Skrotum tiba-tiba berasa berat.
  • Sakit pada skrotum atau testis.
  • Testis mengecut.
  • Sakit di kawasan groin atau bawah abdomen.
  • Rasa nyeri dalam tisu dada.
  • Perbezaan rupa antara kedua-dua belah testis.

Jika anda menjumpai benjolan, anda dinasihatkan berjumpa doktor untuk menolak kemungkinan ketumbuhan berkanser pada peringkat paling awal. Dapatkan nasihat doktor juga jika terdapat kesakitan atau bengkak pada testis atau groin.

Pilihan rawatan bagi kanser testis

Pilihan rawatan untuk kanser testis ditentukan oleh peringkat dan jenis kanser serta kesihatan dan keutamaan pesakit. Pilihan rawatan bagi kanser testis termasuk:

  • Orkiektomi inguinal radikal: Prosedur pembedahan ini akan membuang testis bertumor dan boleh digunakan untuk merawat kedua-dua tumor seminoma dan bukan seminoma.
  • Pembedahan nodus limfa retroperitoneum (RPLND): Pembedahan ini dilakukan untuk membuang nodus limfa dan salur darah besar di belakang abdomen.
  • Terapi radiasi: Dos sinaran yang tinggi digunakan untuk memusnahkan sel-sel kanser.
  • Kemoterapi: Menggunakan ubat tertentu (cth., bleomycin, cisplatin dan etoposide) untuk membunuh sel-sel kanser. Kemoterapi bermanfaat untuk tumor seminoma dan bukan seminoma.

Penyakit kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular adalah sekumpulan penyakit yang menjejaskan jantung dan salur darah anda. Penyakit kardiovaskular boleh menjejaskan satu atau pelbagai bahagian jantung dan/atau salur darah anda. Seorang individu mungkin mengalami simptom (mengalami penyakit secara fizikal) atau tidak bersimptom (tidak berasa apa-apa langsung).

Masalah jantung atau salur darah dikategorikan di bawah penyakit kardiovaskular, termasuk:

  • Penyempitan salur darah dalam jantung anda, organ lain, atau di seluruh badan anda.
  • Masalah jantung dan salur darah yang dikesan semasa lahir.
  • Injap jantung yang tidak berfungsi dengan betul.
  • Rentak jantung tidak tetap.

Faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular

Berikut adalah faktor-faktor risiko yang meningkatkan risiko mendapat penyakit kardiovaskular:

  • Diabetes melitus adalah penyakit biasa di mana gula darah anda terlampau tinggi. 
  • Hipertensi, yang juga dikenali sebagai tekanan darah tinggi, tidak menunjukkan sebarang simptom dan boleh menjadi berbahaya jika tidak dirawat.
  • Hiperkolesterolemia, yang lebih dikenali sebagai kolesterol tinggi, berlaku apabila terlalu banyak bahan berlemak yang dipanggil kolesterol terdapat dalam darah anda. 
  • Berat badan berlebihan dan obesiti adalah pengumpulan lemak secara abnormal atau melampau, yang membahayakan kesihatan.

Simptom-simptom penyakit kardiovaskular

Simptom-simptom penyakit kardiovaskular mungkin berbeza bergantung pada puncanya. Orang dewasa yang berumur dan wanita mungkin mengalami simptom ringan. Namun, kemungkinan mereka mendapat penyakit kardiovaskular yang serius tetap ada.

Simptom-simptom masalah jantung atau salur darah tersumbat di seluruh badan anda disenaraikan di bawah.

Simptom-simptom masalah jantung

  • Sakit dada (angina).
  • Dada rasa sesak, berat, atau tidak selesa, yang sesetengah individu menggambarkan seperti "dada dililit tali pinggang", atau "dada dihimpit."
  • Sesak nafas (dispnea).
  • Pening atau pengsan.
  • Kelesuan atau keletihan.

Simptom-simptom salur darah tersumbat di seluruh badan anda

  • Kaki sakit atau kejang semasa berjalan.
  • Kudis kaki yang tidak hilang.
  • Kulit dingin atau merah pada kaki.
  • Bengkak pada kaki.
  • Kekebasan pada muka atau anggota badan. Ini mungkin dialami pada sebelah badan anda sahaja.
  • Sukar untuk bercakap, melihat atau berjalan.

Pilihan rawatan bagi penyakit kardiovaskular

Pelbagai rawatan ada disediakan, yang bergantung pada simptom dan jenis penyakit kardiovaskular yang dihidapi. Rawatan bagi penyakit kardiovaskular termasuk:

  • Perubahan gaya hidup: Mengubah diet, meningkatkan aktiviti aerobik, dan berhenti merokok atau mengambil produk tembakau (termasuk menghisap vape) adalah beberapa contoh.
  • Perubatan: Doktor anda mungkin mempreskripsikan ubat untuk menguruskan dan mengawal penyakit kardiovaskular. Ubat yang dipreskripsikan untuk anda bergantung pada jenis penyakit kardiovaskular yang dihidapi.
  • Prosedur atau pembedahan: Jika ubat sahaja tidak mencukupi, doktor anda mungkin mencadangkan prosedur ataupun pembedahan untuk merawat penyakit kardiovaskular anda. Prosedur dan pembedahan yang mungkin dicadangkan termasuk memasukkan sten di dalam arteri jantung atau kaki anda, pembedahan jantung invasif minimum, pembedahan jantung terbuka, ablasi, atau kardioversi.
  • Pemulihan jantung: Program senaman diawasi yang boleh membantu menguatkan jantung anda.
  • Pengawasan aktif: Tanpa sebarang ubat atau prosedur/pembedahan, anda mungkin perlu diawasi dengan teliti lama-kelamaan. 

Kesihatan Mental

Kesihatan mental merangkumi kesejahteraan emosi, psikologi, dan sosial kita. Pemikiran, perasaan, dan tindakan kita kesemuanya dipengaruhi olehnya. Bagaimana kita menguruskan tekanan, bergaul dengan orang, dan membuat keputusan yang baik akan ditentukan oleh kesihatan mental kita. 

Gangguan mental menjejaskan kaum lelaki dan juga wanita. Meskipun sesetengah gangguan mental kurang berlaku pada lelaki berbanding wanita, ada beberapa gangguan yang didiagnosis pada kadar yang serupa untuk kedua-dua lelaki dan wanita, atau pada kadar yang lebih tinggi untuk lelaki, seperti gangguan kurang tumpuan/hiperaktif (ADHD).

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), kemungkinan kaum lelaki meninggal dunia dengan membunuh diri adalah lebih tinggi berbanding wanita. Ini sebabnya kesihatan mental kaum lelaki adalah penting dan tidak patut diabaikan.

Faktor-faktor risiko kesihatan mental

Ada kajian yang membincangkan faktor-faktor risiko yang boleh menyebabkan kesihatan mental lelaki merosot, meskipun ada juga faktor lain yang boleh menjejaskan kesihatan mental lelaki. 

  • Isu bekerja dan pekerjaan: Pengangguran boleh menjadi punca tekanan kronik, dan kehilangan kerja atau ditamatkan kerja secara tiba-tiba boleh menjadi punca tekanan akut. Beberapa kajian menunjukkan yang pengangguran lebih kerap menjejaskan kesejahteraan mental kaum lelaki berbanding wanita.
  • Isu keluarga dan perceraian: Keluarga adalah satu lagi aspek utama dalam kehidupan kaum lelaki yang mempunyai tujuan dan makna penting untuk mereka. Ada bukti yang mencadangkan bahawa kedua-dua perceraian dan perpisahan merupakan faktor risiko tinggi untuk penyakit mental dan membunuh diri dalam lelaki. 
  • Zaman kanak-kanak yang buruk: Penderaan kanak-kanak kerap berlaku dalam kalangan anak lelaki dan anak perempuan; tetapi sesetengah jenis penderaan lebih kerap berlaku pada anak lelaki berbanding anak perempuan (begitu juga sebaliknya), seperti penderaan fizikal. Anak lelaki yang didera lebih cenderung untuk menunjukkan sikap yang lebih susah untuk dikelaskan secara psikiatri. Contohnya: delinkuensi, kelakuan yang mengganggu, berhenti sekolah, minum mengikut nafsu, dan suka mengambil risiko. Kelakuan ini biasanya dikaitkan dengan masalah peribadi dan bukan masalah kesihatan mental, yang menyebabkan tindakan menghukum sering diambil berbanding pendekatan psikiatri.
  • Perubahan lain dalam hidup: Seperti yang disebut tadi, perceraian dan kehilangan kerja adalah dua faktor risiko besar yang meningkatkan risiko masalah kesihatan mental dalam lelaki. Ramai lelaki yang bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan realiti baharu ini selepas melalui perubahan tersebut. Ada bukti yang menunjukkan bahawa perubahan lain dalam hidup boleh meningkatkan risiko penyakit mental dalam lelaki dan juga wanita. Menurut hasil kajian, perubahan ini termasuk kematian dan apabila mula-mula kehilangan upaya.

Menguruskan kesihatan mental

Perasaan takut, sedih, dan tidak berdaya disebabkan kesihatan mental anda adalah perkara normal yang akan dilalui. Bagaimanapun, anda berkuasa untuk menjaga kesihatan mental dan kesejahteraan anda. Berikut adalah beberapa cara yang boleh digunakan untuk menjaga dan menguruskan kesihatan mental anda:

  • Bercakap dengan orang yang anda percayai: Bercakap dengan orang yang tersayang, atau orang yang dipercayai – kawan, ahli keluarga, atau rakan sekerja – boleh membantu. Bercakap tentang masalah anda dengan orang yang mengambil berat tentang anda boleh membantu anda rasa lebih tenang. Anda boleh menghubungi mereka yang tersayang secara maya melalui telefon atau panggilan video, atau teks, jika anda tinggal jauh daripada mereka.
  • Menjaga kesihatan fizikal anda: Kesihatan mental dan kesejahteraan anda akan bertambah baik jika anda menjaga kesihatan fizikal anda. Aktifkan diri anda dengan meluangkan 30 minit setiap hari untuk berlari, berjalan, melakukan senaman yoga, menari, berbasikal, atau berkebun. Diet seimbang yang sihat, dan rehat yang mencukupi juga penting untuk badan dan minda yang sihat.
  • Lakukan aktiviti yang anda suka: Penting untuk anda terus lakukan aktiviti yang anda suka dan menggembirakan anda, seperti memasak untuk diri anda atau mereka yang tersayang, meluangkan masa dengan haiwan kesayangan anda, bersiar-siar di taman, membaca buku, atau menonton filem atau siri TV. Melakukan aktiviti rutin yang menggembirakan anda boleh membantu mengekalkan kesihatan mental dengan baik.
  • Jauhi bahan berbahaya: Jangan sekali-kali mengambil bahan berbahaya seperti dadah, kava, alkohol, atau tembakau untuk menguruskan perasaan anda. Anda mungkin rasa lega seketika selepas mengambilnya, tetapi menyalahgunakan bahan secara kerap boleh membuat anda rasa lebih teruk dalam jangka panjang. Bahan berbahaya ini boleh memudaratkan anda dan mereka di sekeliling anda dengan membawa penyakit atau kecederaan.
  • Dapatkan bantuan profesional: Jika anda rasa terbeban oleh tekanan yang dihadapi, dapatkan bantuan profesional dengan menelefon talian bantuan kesihatan mental tempatan anda atau hubungi kaunselor atau doktor anda. Ingat yang anda tidak keseorangan, dan ada cara-cara yang boleh diambil untuk menyokong kesejahteraan emosi anda.

Aturkan janji temu di Hospital Pantai

Di Hospital Pantai, kami menawarkan pelbagai program saringan kesihatan yang disesuaikan untuk setiap individu menurut status kesihatan dan keperluan mereka. Pasukan penjagaan kesihatan profesional kami sedia untuk membantu dan mengesyorkan atau menyediakan pakej saringan yang sesuai dengan umur, jantina, latar belakang keluarga dan sejarah perubatan anda.

Untuk membuat janji temu, sila hubungi Pusat Saringan Kesihatan di Hospital Pantai berdekatan anda.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Artikel Dicadangkan