Batu Pundi Hempedu (Gallstones)

Pundi hempedu ialah organ yang memainkan peranan penting dalam sistem pencernaan kita. Walau bagaimanapun, kadangkala batu pundi hempedu atau gallstones boleh terbentuk dalam pundi hempedu, yang boleh menyebabkan gejala tidak selesa seperti kolik bilier.

Apakah Batu Pundi Hempedu?

Batu pundi hempedu ialah bahan kecil menyerupai batu yang terbentuk daripada hempedu yang mengeras dan terdapat di dalam pundi hempedu. Pundi hempedu ialah kantung kecil yang menyimpan hempedu, iaitu cecair pencernaan yang dihasilkan oleh hati untuk membantu memecahkan dan mencerna lemak. Ia terdiri daripada kolestrol, air, lemak, garam hempedu dan bilirubin (bahan buangan yang dihasilkan daripada sel darah merah). Batu pundi hempedu terbentuk apabila paras kolesterol, bilirubin atau garam hempedu terlalu tinggi.

Jenis Batu Pundi Hempedu

Batu pundi hempedu boleh terbentuk sebagai satu batu besar, biasanya sebesar bola golf, batu-batu kecil, atau gabungan kedua-duanya. Terdapat dua jenis batu pundi hempedu:

  • Batu kolesterol yang merupakan jenis paling lazim
  • Batu Pigmen yang terbentuk apabila terdapat paras bilirubin yang tinggi dalam badan

Batu campuran boleh berlaku apabila batu kolesterol dan batu pigmen wujud bersama.

Punca: Mengapa Batu Pundi Hempedu Terbentuk?

Batu pundi hempedu terbentuk akibat ketidakseimbangan dalam komponen hempedu. Batu kolesterol terbentuk apabila terdapat paras kolesterol dan bilirubin yang tinggi dalam hempedu, serta paras garam hempedu yang rendah.

Batu pigmen biasanya berlaku pada individu yang mengalami Sirosis Hati, jangkitan pada saluran hempedu dan gangguan darah yang diwarisi secara genetik.

Faktor risiko lain yang boleh mencetuskan pembentukan batu pundi hempedu termasuk:

  • Ubat penurun kolesterol yang menurunkan paras kolesterol dalam darah tetapi boleh meningkatkan rembesan kolesterol ke dalam hempedu
  • Diabetes
  • Paras estrogen yang tinggi
  • Berpuasa
  • Jantina – Wanita berumur antara 20 hingga 60 tahun lebih berisiko mendapat batu pundi hempedu berbanding lelaki
  • Peningkatan usia (melebihi 60 tahun)
  • Obesiti yang boleh menyebabkan kandungan kolesterol yang berlebihan dalam hempedu
  • Penurunan berat badan yang cepat

Kehadiran batu pundi hempedu dipercayai boleh menyebabkan pembentukan lebih banyak batu pundi hempedu.

Gejala

Gejala boleh berbeza bergantung pada saiz, tahap keterukan dan lokasi batu pundi hempedu. Gejalanya termasuk:

  • Kembung perut
  • Sendawa
  • Najis berwarna pucat seperti tanah liat
  • Demam dan menggigil
  • Senak
  • Jaundis (kulit dan mata menjadi kekuningan)
  • Loya dan muntah
  • Sakit yang tajam dan teruk di bahagian atas abdomen.

Gejala ini biasanya lebih ketara selepas mengambil makanan berlemak dan pada waktu malam. Namun begitu, sesetengah individu tidak menunjukkan sebarang tanda mempunyai batu pundi hempedu. Keadaan ini dikenali sebagai batu senyap kerana ia tidak menjejaskan fungsi pundi hempedu, hati atau pankreas.

Rawatan: Bagaimanakah Batu Pundi Hempedu Dibuang?

Rawatan batu pundi hempedu bergantung pada umur dan tahap kesihatan keseluruhan pesakit. Doktor akan menilai keadaan pesakit dan mencadangkan rawatan yang paling sesuai. Penyakit batu pundi hempedu boleh tidak dirawat, atau batu tersebut boleh dibuang melalui kaedah berikut:

  • Kolesistektomi, iaitu pembedahan untuk membuang pundi hempedu
  • Ubat-ubatan untuk melarutkan batu pundi hempedu yang kecil
  • Sfinkterotomi iaitu prosedur yang melibatkan pemotongan sfinkter (otot di antara saluran hempedu utama dan duodenum) bagi membolehkan akses yang lebih baik ke saluran hempedu utama. Saluran hempedu ialah tiub yang membawa hempedu dari hati ke pundi hempedu dan usus.

Komplikasi atau Penyakit Berkaitan

  • Keradangan akut atau kronik pada pundi hempedu (Kolesistitis)
  • Gangren pada pundi hempedu
  • Jangkitan pada saluran hempedu utama (Kolangitis)
  • Keradangan pankreas (Pankreatitis akibat batu hempedu)
Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!
aad blue heart