Gastroenterologi

Gastroenterologi adalah bidang perubatan yang mencegah, mendiagnosis dan merawat penyakit berkaitan dengan saluran pencernaan yang merangkumi organ seperti pundi hempedu, pankreas, esofagus, perut, usus kecil, kolon dan hati.

Apakah masalah dan gejala gastroenterologi?

1 Kanser kolorektum

Kanser kolorektum, yang turut dikenali sebagai kanser kolon atau kanser rektum, adalah sejenis kanser yang bermula di dalam kolon atau rektum. Kanser akan terjadi apabila sel-sel di dalam badan mula tumbuh dengan cepat dan di luar kawalan.

Majoriti kanser kolon akan bermula sebagai polip prakanser yang kecil. Meskipun pesakit tidak menunjukkan gejala pada peringkat ini, lama-kelamaan polip ini boleh menjadi kanser. Prognosis akan bergantung pada saiz dan tahap peringkat kanser. Kanser kolon peringkat awal mungkin tidak menunjukkan gejala.

Gejala kanser kolorektum termasuk:

  • Sakit atau kekejangan gastrousus
  • Kembung perut
  • Perubahan tabiat usus (cirit-birit atau sembelit)
  • Najis berdarah
  • Hilang berat badan
  • Hilang selera makan
  • Loya dan muntah
  • Lesu
2 Divertikulitis

Divertikula adalah poket kecil dalam lapisan usus yang akan membesar bila usia meningkat. Divertikula yang dijangkiti akan menghasilkan penyakit divertikulitis. Kekurangan serat diet menambahkan risiko mendapat divertikulitis.

Gejalanya termasuk:

  • Sakit abdomen yang teruk
  • Demam
  • Loya
  • Lesu
  • Najis berdarah
3 Penyakit refluks gastroesofagus (GERD)

Penyakit refluks gastroesofagus adalah keadaan refluks asid yang kerap berulang, di mana asid perut mengalir atas ke arah tekak disebabkan kelonggaran tidak normal pada gegelang otot sfinkter esofagus bawah, yang menyambungkan bahagian bawah esofagus kepada perut.

Tanda dan gejala GERD yang biasa termasuk:

  • Pedih ulu hati (rasa terbakar dalam dada), biasanya selepas makan
  • Rasa masam dalam mulut

Gejala GERD boleh dikurangkan dengan:

  • Tidak baring sejurus selepas makan
  • Tidur dengan kepala ditinggikan
  • Mengelakkan "makanan pencetus" yang didapati menyebabkan gejala GERD
  • Memakan hidangan yang lebih kecil
  • Mengekalkan berat badan yang sihat
  • Mengelakkan merokok dan mengambil alkohol
  • Tidak memakai tali pinggang atau seluar yang mencerut perut
4 Penyakit radang usus (IBD)

Dua punca utama bagi penyakit radang usus (IBD) adalah: kolitis berulser dan penyakit Crohn.

Kolitis berulser menjejaskan lapisan paling dalam pada usus besar dan rektum, dan menyebabkan radang serta ulser (kudis) kronik.

Tidak seperti kolitis berulser, penyakit Crohn menyerang kawasan saluran pencernaan yang berlainan, biasanya di bahagian bawah usus kecil (ileum). Penyakit Crohn juga boleh menjejaskan seluruh dinding usus, dan merebak ke kawasan kolon yang sihat.

IBD boleh dikaitkan dengan:

  • Sistem imun terlampau aktif, yang menyebabkan keradangan
  • Dicetuskan oleh bakteria atau virus
  • Faktor persekitaran yang mencetus respons imun
  • Faktor genetik

Gejalanya termasuk:

  • Pendarahan rektum berjeda
  • Sakit abdomen
  • Cirit-birit
  • Hilang berat badan
  • Lesu
5 Hemoroid

Hemoroid, atau buasir, berlaku apabila vena membengkak dalam dubur dan rektum bawah. Ia biasanya berlaku kerana meneran semasa membuang air besar. Hemoroid adalah penyakit yang amat biasa.

Gejalanya termasuk:

  • Pendarahan yang tidak sakit semasa membuang air besar
  • Rasa gatal, sakit atau tidak selesa di sekitar dubur
  • Benjolan pada dubur, yang mungkin terasa sensitif atau sakit
6 Sindrom Rengsa Usus (IBS)

Sindrom rengsa usus adalah gangguan gastrousus kronik yang menjejaskan usus besar. Gejalanya termasuk:

  • Sakit abdomen yang dilegakan dengan membuang air besar
  • Cirit-birit dan sembelit berjeda
  • Perubahan dalam kekerapan membuang air besar atau ketekalan najis
  • Kembung perut
  • Hilang selera makan

Diagnosis dan pemeriksaan untuk masalah gastroenterologi

Kebanyakan masalah gastrousus mempunyai gejala yang serupa. Diagnosis bermula dengan pakar gastroenterologi bertanyakan pesakit tentang sejarah perubatan dan keluarga mereka diikuti dengan pemeriksaan fizikal.

Doktor anda juga mungkin akan menjalankan ujian makmal tambahan dan pemeriksaan pengimejan seperti berikut:

1 Ujian darah

Ujian darah seperti kiraan darah, ujian fungsi hati dan ujian enzim pankreas boleh membantu mendiagnosis keadaan seperti jangkitan bakteria atau parasit, penyakit seliak, tidak tahan kepada laktosa atau punca cirit-birit. Ujian darah juga boleh mengecualikan penyakit serius yang lain.

2 Analisis najis

Analisis najis dalam ujian seperti ujian darah okulta najis yang digunakan dalam saringan kanser kolorektum boleh menilaikan kesihatan usus dengan menganalisis perubahan dalam warna, ketekalan, pH, serta kewujudan mukus, darah, sel darah putih, cecair hempedu, lemak dan gula. Memahami profil ini boleh membantu mengesahkan masalah ketakcernaan, sembelit, cirit-birit, malserapan dan jangkitan.

3 Endoskopi

Endoskopi memeriksa perut atau saluran pencernaan secara teliti menggunakan instrumen yang kelihatan seperti tiub panjang dengan kamera di hujungnya yang dipanggil endoskop. Semasa endoskopi, sampel biopsi juga mungkin diambil untuk diperiksa di bawah mikroskop bagi mengesan sel kanser.

4 Kolonoskopi

Prosedur kolonoskopi dilakukan untuk mengesan polip dan ketumbuhan lain yang tidak normal. Kamera ditempatkan pada hujung tiub fleksibel yang dimasukkan melalui dubur, untuk memeriksa usus besar dan sebahagian usus kecil.

5 Ultrabunyi Abdomen

Ultrabunyi abdomen menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej dinamik bagi organ seperti hati, pankreas dan pundi hempedu.

6 Imbasan CT dan MRI

Tomografi Berkomputer (CT) dan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) menyediakan pandangan organ abdomen dalam keratan lintang, untuk membantu doktor melihat struktur dalaman badan.


Apakah pilihan rawatan untuk masalah gastroenterologi?

Matlamat rawatan adalah untuk membantu anda kembali menjalankan aktiviti harian anda. Pilihan rawatan seperti yang disenaraikan di bawah oleh pasukan perubatan anda bergantung terutamanya pada masalah dan sejarah kesihatan individu.

1 Kanser kolorektum

Pembedahan untuk membuang kanser adalah kaedah rawatan utama bagi kanser kolorektum. Doktor anda mungkin juga menggunakan kemoterapi dan terapi radiasi sebelum dan/atau selepas pembedahan.

2 Penyakit refluks gastroesofagus

Doktor anda mungkin akan mempreskripsikan ubat untuk meneutralkan, mengurangkan dan menyekat pengeluaran asid perut.

Jika pembedahan diperlukan, prosedur seperti di bawah mungkin akan dicadangkan:

Fundoplikasi (bahagian atas perut dibalut sekeliling sfinkter esofagus bawah, untuk mengetatkan otot dan mencegah refluks)

Memasukkan peranti LINX (manik magnetik dibalut sekeliling perut atas untuk membenarkan magnet menarik tutup temuan tetapi masih cukup besar untuk membenarkan makanan melaluinya)

3 Penyakit radang usus (IBD)

Doktor anda akan merawat radang pencetus gejala menggunakan ubat untuk mengurangkan radang, menahan sistem imun yang menyebabkan radang dan antibiotik bagi merawat sebarang jangkitan. Bergantung pada keadaan anda, ubat untuk melegakan sakit dan tahan cirit-birit mungkin juga diberikan.

Bagi kes yang teruk, pesakit mungkin perlu diberikan makanan melalui tiub atau nutrien disuntik ke dalam vena untuk merehatkan usus supaya radang dapat dikurangkan.

Pembedahan mungkin juga diperlukan untuk membuang bahagian usus yang berpenyakit bagi kes yang teruk.

4 Hemoroid

Hemoroid berkembang dalam empat peringkat. Bagi hemoroid peringkat 1 dan 2, mengubah gaya hidup dan rawatan perubatan mungkin sudah mencukupi. Rawatan termasuk memakan makanan serat tinggi, menggunakan rawatan topikal, berendam dalam air suam dan menjaga kebersihan kawasan dubur. Gejala hemoroid biasanya hilang dalam seminggu.

Bagi hemoroid berdarah atau yang sakit, doktor anda mungkin akan melakukan prosedur mengikat dengan meletakkan satu atau dua gelang getah kecil mengelilingi tapak hemoroid untuk memutuskan peredarannya. Pilihan lain termasuk suntikan (skleroterapi) atau penggumpalan melalui inframerah atau laser, untuk mengecilkan saiz hemoroid.

Jika pembedahan diperlukan, dua pilihan akan diberi:

  • Hemoroidektomi, iaitu cara yang paling berkesan dan lengkap untuk merawat hemoroid teruk atau berulang
  • Hemoroidektomi berikat atau hemoroidopeksi berikat, iaitu prosedur yang menyekat aliran darah ke tisu hemoroid dan biasanya digunakan untuk hemoroid dalaman. Meskipun sakitnya berkurangan, prosedur ini berisiko lebih tinggi untuk penyakit tersebut berulang berbanding hemoroidektomi
5 Divertikulitis

Divertikulitis dirawat dengan mengubah diet, memberikan antibiotik dan pembedahan juga mungkin diperlukan.

Jangkitan divertikulitis ringan boleh dirawat dengan berehat, diet cecair, antibiotik dan pelembut najis.

Jika jangkitan itu teruk, anda mungkin akan diberikan antibiotik, pemakanan melalui vena dan pembedahan juga mungkin diperlukan.

6 Sindrom Rengsa Usus (IBS)

Doktor mungkin akan mencadangkan perubahan diet, dan meninggalkan makanan yang menyebabkan kembung seperti kubis, brokoli dan kubis bunga, gluten dan karbohidrat tertentu seperti fruktosa, fruktan dan laktosa.

Bergantung pada gejala anda, tambahan serat, laksatif dan ubat tahan cirit-birit mungkin juga diberikan.

Doktor juga mungkin akan mencadangkan ubat preskripsi untuk:

  • Doktor juga mungkin akan mencadangkan ubat preskripsi untuk:
  • Mengurangkan pertumbuhan bakteria dan cirit-birit
  • Menambahkan rembesan cecair dalam usus kecil untuk membantu membuang air besar.

Jika anda menghadapi masalah gastrousus, kakitangan kami yang berkemahiran dan berdedikasi boleh menyediakan rawatan yang terkini supaya anda dapat kembali melakukan aktiviti harian anda, dan meningkatkan kualiti kehidupan anda.


Bagaimana cara menjaga kesihatan usus?

Saluran gastrousus menjalankan fungsi penting untuk mengekalkan kesihatan dan kesejahteraan kita secara keseluruhan, bermula dengan makanan dan air kita. Proses pencernaan membantu proses binaan yang diperlukan untuk kita hidup, berfungsi dan kekal sihat.

Berikut adalah beberapa faktor penting bagi mengekalkan kesihatan sistem gastrousus:

  • Makan secara sihat
  • Ambil masa untuk mengunyah makanan betul-betul
  • Kekal aktif
  • Uruskan stres
  • Jalani saringan kesihatan rutin yang dicadangkan
  • Hidratkan badan anda
  • Kekalkan jadual tidur yang sihat
  • Makan serat diet yang mencukupi dalam diet anda
  • Pertimbangkan pengambilan suplemen probiotik

Bila perlu berjumpa dengan Pakar Gastroenterologi?

Pakar Gastroenterologi adalah doktor yang mengkhusus dalam mendiagnosis dan merawat masalah berkaitan dengan saluran gastrousus (GI). Mereka juga dilatih untuk merawat penyakit yang berkaitan dengan hati, pankreas, pundi hempedu dan duktus hempedu. Pakar Gastroenterologi bekerja terutamanya di hospital dan klinik.

Anda mungkin perlu berjumpa Pakar Gastroenterologi jika:

  • Anda mengalami sakit abdomen yang berpanjangan
  • Anda kerap mengalami isu pencernaan, seperti cirit-birit atau sembelit
  • Anda mengalami najis berdarah tanpa sebab
  • Anda menghadapi kesukaran menelan
  • Anda sentiasa mengalami pedih ulu hati atau refluks asid
  • Anda mengalami kembung perut

Jika anda berumur 50 tahun ke atas, anda mungkin perlu menjalani pemeriksaan dengan Pakar Gastroenterologi secara tetap untuk penjagaan pencegahan kanser kolorektum. Ini penting terutamanya jika anda ada sejarah keluarga yang mengalami penyakit ini.

Risiko mendapat kanser kolorektum akan bertambah jika anda mempunyai faktor risiko gaya hidup seperti di bawah:

  • Kurang melakukan aktiviti fizikal rutin
  • Kurang memakan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Mengamalkan diet yang rendah serat dan tinggi lemak, atau banyak daging proses.
  • Berat badan berlebihan dan obesiti
  • Mengambil alkohol
  • Menggunakan tembakau

Jika anda mempunyai faktor risiko untuk masalah hepatologi seperti yang berikut, anda patut juga berjumpa Pakar Hepatologi untuk pemeriksaan dan rawatan.

  • Hepatitis viral
  • Sirosis hati
  • Hati berlemak
  • Penyakit hati disebabkan alkohol

Jika anda atau orang yang tersayang mempunyai masalah kesihatan berkaitan dengan gastrousus, pasukan Pakar Gastroenterologi dan Pakar Hepatologi pelbagai disiplin di Hospital Pantai bersedia untuk berunding dan merawat sebarang masalah gastroenterologi.

Di Hospital Pantai, kami menyediakan perkhidmatan diagnostik dan saringan yang diperlukan dalam persekitaran yang moden dan selesa. Ujian anda akan disemak oleh doktor yang akan menerangkan dan mencadangkan pilihan rawatan berdasarkan penyakit, gaya hidup dan faktor risiko anda.

*Maklumat pada halaman ini tidak menunjukkan senarai lengkap kesemua prosedur diagnostik dan rawatan yang disediakan oleh Hospital Pantai. Maklumat yang diberikan adalah sekadar rujukan sahaja dan bukannya nasihat perubatan.

Sebelum menjalani sebarang rawatan, sila berunding dengan pakar penjagaan kesihatan yang berkelayakan di Hospital Pantai yang terdekat bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.

Ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Gastroenterologi kami di Hospital Pantai yang terdekat

Pengkhukusan Kami

Muat lagi
Loading...
Thank you for your patience