Fibroid Rahim: Simptom, Diagnosis, Rawatan

Apa itu fibroid rahim?

Fibroid rahim, yang dikenali sebagai leiomioma, adalah ketumbuhan bukan berkanser di dalam atau pada rahim wanita. Ia mungkin muncul dalam saiz yang amat kecil (saiz kacang pea) atau kadang-kadang sebesar limau gedang.

Ovari menghasilkan estrogen, iaitu hormon reproduktif wanita. Fibroid biasanya terbentuk semasa tahun-tahun reproduktif wanita, dari umur kira-kira 16 hingga 50 tahun, apabila paras estrogen sedang memuncak.

Ketumbuhan ini biasanya akan mengecut apabila paras estrogen menurun, seperti selepas menopaus, iaitu apabila kitaran haid wanita berakhir.

Apakah jenis-jenis fibroid rahim?

Fibroid boleh muncul di mana-mana sahaja dalam rahim dalam pelbagai saiz berlainan, iaitu daripada saiz sekecil kacang pea kepada saiz sebesar tembikai. Ia boleh dikategorikan kepada tiga jenis utama:

  1. Fibroid intramural: Jenis fibroid rahim yang paling biasa dialami, dan tumbuh di dalam dinding otot rahim.
  2. Fibroid subserosal: Fibroid ini tumbuh di dinding luar rahim, dan meliputi kawasan pelvis, dan kadang-kadang boleh menjadi agak besar.
  3. Fibroid submukosa: Fibroid ini tumbuh di dalam lapisan otot di bawah lapisan dalam rahim, dan boleh meliputi rongga rahim.

Selain itu, sesetengah fibroid subserosal dan submukosa boleh disambungkan kepada rahim oleh setangkai tisu yang kecil, dan ini dirujuk sebagai fibroid bertangkai.

Apakah faktor-faktor risiko fibroid rahim?

Punca yang tepat bagi fibroid rahim tidak diketahui sepenuhnya. Namun beberapa faktor risiko boleh meningkatkan risiko mendapat fibroid rahim.

  • Haid pertama awal: Dialami sebelum umur 10 tahun.
  • Faktor endokrin: Terdedah kepada dietilstilbestrol semasa hamil.
  • Obesiti: Mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti boleh meningkatkan risiko mendapat fibroid.
  • Diet: Memakan daging lembu atau daging lain secara berlebihan.
  • Alkohol: Meminum bir ada dikaitkan dengan kemungkinan lebih tinggi untuk mendapat fibroid.
  • Genetik: Ada bukti yang mencadangkan bahawa kewujudan gen-gen rentan spesifik boleh menyumbang kepada pembentukan fibroid.

Apakah simptom-simptom fibroid rahim?

Ramai wanita yang mengalami fibroid rahim tidak bersimptom (tidak mempunyai simptom), meskipun simptom-simptom tertentu mungkin dialami, seperti:

  • Pendarahan haid yang banyak atau berpanjangan
  • Haid yang sakit
  • Sakit semasa melakukan hubungan seksual
  • Kerap kencing
  • Sembelit

Fibroid lebih cenderung untuk menunjukkan simptom jika ia bersaiz besar, jika terdapat berbilang fibroid, atau jika ia terletak di kawasan spesifik dalam rahim. Simptom-simptom berkaitan dengan fibroid akan bertambah baik apabila seseorang itu mencapai menopaus, dan tidak lagi mengalami haid.

Bagaimana fibroid rahim didiagnosis?

Doktor akan terlebih dahulu bertanya tentang kesihatan umum anda dan simptom sebelum menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh. Diagnosis dibuat berdasarkan simptom yang anda laporkan, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan.

  • Ultrabunyi: Ujian yang paling biasa digunakan untuk mendiagnosis fibroid rahim. Prosedur pengimejan bukan invasif ini menggunakan jarum yang mengeluarkan gelombang bunyi berfrekuensi tinggi untuk menggambarkan dalaman badan secara visual.
  • Histeroskopi: Prosedur ini dijalankan dengan memasukkan kamera kecil ke dalam rahim melalui serviks untuk mencari fibroid.
  • Pengimejan resonans magnetik (MRI): Ini adalah teknik pengimejan yang paling berkesan untuk menggambarkan saiz dan lokasi semua mioma rahim dengan tepat. Ia juga boleh membezakan antara pelbagai masalah rahim seperti leiomioma, adenomiosis, dan adenomioma, untuk memberikan maklumat diagnostik yang penting.

Bagaimana fibroid rahim dirawat?

Fibroid tidak perlu dirawat jika anda tidak bersimptom (tidak mengalami sebarang simptom) atau jika anda hanya mengalami simptom ringan yang tidak mengganggu aktiviti harian anda dengan ketara.

Bagaimanapun, jika fibroid masih tumbuh, doktor anda mungkin mencadangkan beberapa pilihan rawatan berikut.

Perubatan untuk simptom-simptom

  • Ubat antifibrinolitik seperti tablet asid Tranexamic: Ubat ini membantu darah untuk membeku supaya dapat mengurangkan kehilangan darah. Anda dinasihatkan untuk tidak mengambil ubat antifibrinolitik bersama dengan ubat kawalan kelahiran hormon tanpa kebenaran doktor anda atau jururawat. Menggabungkan ubat-ubat ini boleh menambah risiko darah beku, strok, dan serangan jantung.
  • Ubat antiradang bukan steroid (NSAID): Ibuprofen boleh juga diambil dari hari pertama haid sehingga pendarahan berhenti atau berkurangan ke paras yang boleh diuruskan. Ubat ini berfungsi untuk menurunkan pengeluaran bahan seperti hormon yang dipanggil prostaglandin, yang menyumbang kepada pendarahan yang banyak.
  • Sistem evonorgestrel dalam rahim (LNG-IUS): Alat kecil yang diletakkan dalam rahim bagi melepaskan hormon progestogen levonorgestrel perlahan-lahan, untuk menghalang lapisan rahim bertumbuh dengan pantas.
  • Kawalan kelahiran hormon: Merangkumi pilihan seperti pil kawalan kelahiran, tampalan kulit, gelang faraj, suntikan kontraseptif, alat dalam rahim (IUD), dan implan. Kaedah-kaedah ini berkesan untuk mengurangkan pendarahan haid, melegakan kekejangan, dan mengawal sakit haid. Selain itu, ia juga boleh membantu membetulkan masalah anemia yang menyumbang kepada pendarahan haid yang banyak. Harap maklum bahawa selepas mula mengambil kawalan kelahiran hormon, pendarahan haid akan mengambil masa sehingga tiga bulan untuk bertambah baik.
  • Analog hormon pelepas Gonadotropin: Ia boleh menyebabkan ovari berhenti mengeluarkan estrogen dan progesteron buat sementara waktu. Pengurangan pengeluaran hormon ini boleh membantu mengurangkan pendarahan haid yang banyak.

Pembedahan

Pembedahan mungkin dicadangkan jika simptom-simptom anda adalah teruk dan ubat tidak berkesan. Prosedur pembedahan utama yang digunakan untuk merawat fibroid termasuk: 

  • Histerektomi: Prosedur untuk membuang rahim. Ia mungkin dicadangkan jika saiz fibroid anda besar atau anda mengalami pendarahan yang teruk dan tidak mahu hamil lagi.
  • Miomektomi: Prosedur pembedahan miomektomi dilakukan untuk membuang fibroid daripada dinding rahim. Ia biasanya dianggap sebagai alternatif untuk histerektomi, khususnya jika anda ingin mengekalkan kesuburan anda supaya boleh hamil pada masa akan datang.

Prosedur bukan pembedahan

Prosedur bukan pembedahan turut disediakan untuk merawat fibroid. Ini termasuk:

  • Embolisasi arteri rahim (UAE): Prosedur untuk menyekat bekalan darah ke fibroid.
  • Ablasi endometrium: Prosedur yang boleh menghapuskan lapisan rahim, tetapi tidak akan mengecutkan fibroid. Ia boleh membantu mengurangkan pendarahan haid yang banyak disebabkan fibroid.

Apa yang akan berlaku jika fibroid tidak dirawat?

Meskipun kebanyakan fibroid rahim tidak menyebabkan masalah kesihatan yang teruk, penting untuk anda dapatkan rawatan perubatan jika anda mengesyaki anda mengalami masalah fibroid rahim atau mengalami simptom-simptom.

Kemungkinan komplikasi berlaku bergantung pada pelbagai faktor, termasuk lokasi dan saiz fibroid. Fibroid yang besar boleh menyebabkan ketidaksuburan.

Fibroid boleh menyebabkan komplikasi semasa hamil, seperti bersalin awal, kelahiran awal, dan kedudukan fetus tidak normal. Ia juga boleh meningkatkan risiko keguguran.

Ketahui lanjut: Fibroid vs Sista (Cyst): Bagaimana Ia Berbeza?

Aturkan janji temu di Hospital Pantai

Membincangkan pilihan rawatan yang terbaik dengan penyedia penjagaan kesihatan anda adalah penting bagi menentukan rawatan yang paling sesuai untuk anda.

Pasukan pakar Obstetrik dan Ginekologi yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding dan menyediakan penjagaan serta bantuan yang terbaik. Hubungi kami untuk menempah janji temu hari ini jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau soalan mengenai kesihatan reproduktif anda.

Untuk membuat janji temu saringan kesihatan, sila hubungi Pusat Saringan Kesihatan di Hospital Pantai berdekatan anda.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience