Kanser Kulit: Jenis, Simptom, Diagnosis, Rawatan

Kanser kulit berlaku apabila sel-sel kulit mula bertumbuh dengan pantas dan membiak tanpa kawalan. Kulit yang terdedah kepada matahari paling cenderung untuk mendapat kanser kulit. Bagaimanapun, kanser ini boleh juga berlaku pada bahagian kulit yang jarang terdedah kepada cahaya matahari.

Menurut Laporan Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, 2.6% daripada semua kes kanser yang dilaporkan merupakan kanser kulit.


Apakah jenis-jenis kanser kulit?

Kulit - organ tubuh yang paling besar - merangkumi tiga lapisan asas. Lapisan-lapisan ini adalah epidermis, dermis dan hipodermis. Epidermis (lapisan atas atau luar) dan dermis (lapisan bawah atau dalam) adalah lapisan yang utama.

Tiga jenis kanser kulit yang utama:

1. Karsinoma sel skuamus (SCC)

  • Bermula dalam sel yang membentuk lapisan terluar epidermis

2. Karsinoma sel basal (BCC)

  • Bermula dalam sel yang melapisi dasar epidermis

3. Melanoma (Melanoma malignan)

  • Bermula dalam melanosit yang berfungsi untuk menghasilkan melanin pigmen
  • Jenis kanser kulit ini adalah yang paling teruk

Apakah simptom bagi kanser kulit?

Perubahan pada kulit adalah penunjuk yang paling umum bagi kanser kulit. Ini boleh termasuk ketumbuhan baharu, luka yang susah sembuh, atau perubahan pada tahi lalat.

Simptom bagi kanser kulit berbeza menurut jenis kanser itu.

1. Karsinoma sel skuamus (SCC)

  • Mempunyai ciri gumpalan merah jambu yang padat dengan permukaan kasar atau berkerak.
  • Gumpalan itu mungkin berdarah dan menyakitkan, dan boleh menjadi ulser.

2. Karsinoma sel basal (BCC)

  • Biasanya muncul sebagai bintil kecil berwarna merah jambu, atau putih mutiara, yang jernih atau melekit. Ia mungkin juga muncul sebagai tompokan merah yang bersisik.
  • Pigmen perang atau hitam mungkin juga terdapat pada tompok itu.
  • Ketumbuhan itu mungkin berdarah, berkerak, atau membentuk ulser yang tidak menyakitkan.

3. Melanoma (Melanoma malignan)

  • Ia boleh berlaku di mana sahaja pada kulit, meskipun cenderung untuk berlaku di kaki pada wanita dan di dada dan bahagian belakang pada lelaki. Leher dan pipi juga adalah lokasi utama.
  • Kulit yang berpigmen mengurangkan risiko mendapat melanoma pada kawasan yang lebih umum ini. Namun, sesiapa sahaja boleh mendapat melanoma di tapak kaki, tapak tangan dan di bawah kuku mereka.
  • Tanda-tanda amaran bagi melanoma termasuk:
    • Asimetri - Tompok-tompok yang tidak serupa pada kulit
    • Sempadan - Sisi yang tidak sekata, bergerigi, kabur, atau bertakuk
    • Warna - Warna yang tidak konsisten
    • Diameter - Diameter tompok melebihi 6mm
    • Berkembang - Warna, saiz atau bentuk tompok berubah-ubah

Bincang dengan doktor jika anda perhatikan sebarang tanda melanoma, ketumbuhan baharu, luka yang tidak sembuh-sembuh, atau perubahan pada ketumbuhan yang sedia ada.


Apakah faktor-faktor risiko bagi kanser kulit?

Berikut adalah beberapa faktor risiko bagi kanser kulit:

  • Pendedahan berlebihan kepada radiasi UV
  • Tahi lalat atau jagat
  • Rambut perang, kulit berjagat, atau mata berwarna cerah
  • Sejarah kanser kulit dalam keluarga
  • Pernah menghidapi kanser kulit
  • Sistem imun yang lemah
  • Menghidapi penyakit yang melemahkan sistem imun anda
  • Kaum lelaki yang berumur lebih daripada 50 tahun

Bagaimanakah kanser kulit didiagnosis?

Diagnosis akan dibuat berdasarkan pelbagai siasatan. Doktor anda akan menilai sejarah perubatan dan simptom anda sebelum melakukan pemeriksaan fizikal. Anda mungkin dirujuk kepada pakar dermatologi untuk siasatan lanjut.

  1. Biopsi: Jika doktor anda mengesyaki kanser kulit, biopsi mungkin dilakukan. Biopsi adalah suatu teknik untuk mengeluarkan sampel sel yang abnormal.
  2. Imbasan Tomografi Berkomputer (CT): Imbasan CT menggunakan X-ray dan komputer bagi menghasilkan imej dalaman badan yang lebih terperinci. Ujian ini juga memeriksa nodus limfa yang membesar dan tompok yang meragukan pada organ lain.
  3. Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI): MRI membantu menilai jika kanser telah merebak kepada otak dan saraf tunjang.
  4. Imbasan tomografi pancaran positron (PET):Imbasan PET boleh membantu menentukan jika kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain dengan segera.
  5. Ujian darah

Bagaimanakah kanser kulit dirawat?

Rawatan bagi kanser kulit bergantung pada jenis kanser dan peringkat kanser. Rawatan utama termasuk pembedahan, kemoterapi dan radioterapi.

Berikut adalah beberapa pilihan rawatan:

1. Pembedahan

  • Eksisi Besar: Bahagian yang terjejas akan dikebaskan dengan anestesia setempat, dan bahagian tumor akan dibuang melalui pembedahan. Kulit yang tinggal akan dijahit kembali.
  • Pembedahan Mohs: Lapisan nipis kulit akan dibuang perlahan-lahan bersama tumor. Lapisan demi lapisan akan dibuang sehingga tanda-tanda kanser tidak kelihatan.
  • Kuretaj dan elektrodesikasi:Bahagian berkanser dibuang dengan teliti menggunakan pengikis. Bahagian yang terjejas kemudiannya dirawat dengan elektrod untuk mematikan sebarang baki sel kanser.

2. Imunoterapi

  • Sekumpulan ubat-ubatan digunakan bagi merangsang sistem imun supaya menyasarkan dan mematikan sel-sel kanser.
  • Terapi ini boleh digunakan berasingan atau bersama dengan kemoterapi.
  • Imunoterapi diberikan menerusi vena di dalam dada atau lengan anda.
  • Contoh: perencat PD-1, perencat PD-L1, perencat CTLA-4, perencat LAG-3

3. Terapi sasaran

  • Terapi sasaran merangkumi ubat-ubatan yang diberikan untuk menyekat perkembangan kanser kulit peringkat lanjut.
  • Ia digunakan untuk merawat kanser kulit yang disebabkan mutasi genetik spesifik (BRAF, C-KIT)
  • Contoh: Perencat BRAF, perencat MEK

4. Kemoterapi

  • Kemoterapi adalah rawatan kanser yang menggunakan ubat-ubatan poten untuk mematikan sel kanser.

5. Radioterapi

  • Radioterapi menggunakan radiasi bertenaga tinggi untuk mengecutkan tumor dan mematikan sel-sel kanser.
  • Radioterapi digunakan:
    1. Untuk mengurangkan simptom akibat kanser peringkat lanjut
    2. Sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz tumor
    3. Untuk mematikan baki sel kanser selepas pembedahan
    4. Untuk melambatkan kadar penyebaran kanser
    5. Pada peringkat awal melanoma apabila pembedahan mustahil dilakukan

Bagaimana cara untuk mencegah kanser kulit?

Untuk mengurangkan risiko kanser kulit, anda perlu menjauhi pendedahan kepada cahaya matahari atau sebarang sumber radiasi ultraungu (UV) untuk jangka yang panjang.

Antara cara-cara berkesan untuk mengurangkan risiko kanser kulit adalah:

  • Elakkan lampu ultralembayung dan katil penyamakan
  • Elakkan pendedahan terus kepada cahaya matahari dari 9 PG. hingga 3 PTG.
  • Pakai salap bibir dan pelindung suria dengan kandungan SPF 30 atau lebih tinggi, sekurang-kurangnya setengah jam sebelum terdedah kepada sinaran matahari
  • Pakai topi berpinggir lebar semasa beraktiviti di luar
  • Elakkan berjemur di bawah cahaya matahari
  • Pakai pakaian yang menutupi tangan dan kaki anda

Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Kami telah menerangkan beberapa simptom utama bagi kanser kulit dalam rencana ini. Jika anda mengalami mana-mana simptom yang disebut, dapatkan rawatan perubatan dengan segera bagi mengelakkan sebarang komplikasi pada masa akan datang.

Pengesanan awal kanser kulit akan memudahkannya dirawat dengan rawatan yang berkesan dan sesuai. Pasukan ahli onkologi yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.


Rujukan

  1. Eleni Linos, Kenneth A. Katz dan Graham A. Colditz (1 Okt 2017) Kanser Kulit - Pentingnya Pencegahan. Tersedia di https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5489348/ [Accessed 5 Mar 2022]
  2. Zoe Apalla, Dorothée Nashan, Richard B. Weller dan Xavier Castellsagué (7 Jan 2017) Kanser Kulit: Epidemiologi, Beban Penyakit, Patofisiologi, Diagnosis, dan Pendekatan Terapeutik. Tersedia di https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5289116/ [Accessed 5 Mar 2022]
  3. Deborah N Dorrell, Lindsay C Strowd (4 Jan 2001) Teknologi Mengesan Kanser Kulit. Tersedia di https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31466592/ [Accessed 5 Mar 2022]
  4. Data dan Statistik bagi kanser kulit. Tersedia di https://gis.cdc.gov/Cancer/USCS/#/AtAGlance/ [Accessed 5 Mar 2022]
  5. Jenis kanser kulit yang berlainan. Tersedia di https://www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/radiation-ultraviolet-(uv)-radiation-and-skin-cancer [Accessed 5 Mar 2022]
  6. Persatuan Kanser Amerika. Apa itu kanser kulit Melanoma? Tersedia di https://www.cancer.org/cancer/melanoma-skin-cancer/about/what-is-melanoma.html [Accessed 24 June 2022]
  7. Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan. Kanser kulit (bukan melanoma). Tersedia di https://www.nhs.uk/conditions/non-melanoma-skin-cancer/ [Accessed on 24 June 2022]
Loading...
Thank you for your patience