Kanser Perut: Simptom, Faktor Risiko, Diagnosis, Rawatan, Pencegahan

Apa itu kanser perut?

Kanser perut adalah pertumbuhan sel abnormal yang bermula di dalam perut. Perut adalah organ berupa pundi yang membentuk komponen penting dalam sistem pencernaan.

Kanser perut, yang juga dipanggil kanser gaster, boleh terbentuk dalam mana-mana bahagian perut. Biasanya, kanser perut akan terbentuk beransur-ansur selama bertahun-tahun. Perubahan pra-kanser akan berlaku dalam lapisan dalaman perut (mukosa) sebelum pembentukan kanser yang sebenar.


Apakah jenis-jenis kanser perut?

  1. Adenokarsinoma
    • Merangkumi kira-kira 90-95% daripada semua kanser perut
    • Bermula di dalam sel pada lapisan perut
    • Dua jenis adenokarsinoma adalah:
      1. Jenis usus: Mempunyai prognosis atau hasil yang lebih baik
      2. Jenis meresap: Merebak lebih pantas dan sukar dirawat
  2. Limfoma
    • Tumor ini mula tumbuh di dalam limfosit (sel sistem imun)
  3. Tumor stroma gastrousus (GIST)
    • Jarang ditemui
    • Biasanya bermula di dalam perut atau usus kecil, tetapi boleh berlaku dalam mana-mana bahagian sistem pencernaan
  4. Tumor neuroendokrin
    • Tumor yang muncul daripada sel-sel sistem neuroendokrin

Apakah simptom bagi kanser perut?

Kanser perut peringkat awal jarang menunjukkan apa-apa simptom dan mungkin sukar untuk dikesan.

Pesakit kanser perut peringkat lanjut akan menunjukkan simptom berikut:

  • Loya
  • Muntah-muntah
  • Najis berdarah
  • Pedih ulu hati
  • Ketakcernaan
  • Hilang selera makan
  • Hilang berat badan tanpa sebab
  • Sakit pada bahagian atas abdomen
  • Gumpalan pada bahagian atas abdomen
  • Disfagia - ketakmampuan menelan
  • Rasa kenyang selepas makan sedikit makanan
  • Letih atau lesu

Jika anda menghidapi penyakit refluks gastroesofagus atau masalah lain, anda mungkin akan kerap mengalami simptom yang serupa dan anda mungkin sudah biasa dengannya. Namun, anda mesti berjumpa doktor jika simptom anda berubah atau bertambah teruk.


Apakah faktor-faktor risiko bagi kanser perut?

Meskipun punca sebenar kanser perut masih belum diketahui, faktor-faktor risiko berikut akan menambah risiko anda untuk mengalaminya.

  • Jangkitan sejenis bakteria, iaitu Helicobacter pylori (H. pylori)
  • Merokok
  • Alkohol
  • Diet yang kaya dengan makanan berjeruk, bersalai atau bergaram
  • Diet yang kekurangan sayur-sayuran, buah-buahan segar, vitamin C dan A
  • Polip perut - ketumbuhan tisu yang abnormal
  • Gastritis atau refluks asid teruk yang berpanjangan
  • Lelaki melebihi umur 50 tahun
  • Sejarah kanser perut dalam keluarga - Jika salah seorang ibu bapa atau adik-beradik anda telah didiagnosis dengan kanser perut, anda berisiko tinggi untuk mendapat kanser perut.
  • Mutasi genetik seperti mutasi HDC-1

Bagaimanakah kanser perut didiagnosis?

Diagnosis akan dibuat berdasarkan pelbagai siasatan. Doktor anda akan bertanya tentang kesihatan umum dan simptom anda, dan mungkin meminta ujian darah dilakukan. Penyiasatan termasuk:

  1. Ujian darah
  2. Ujian darah akan dilakukan untuk mencari anemia akibat pendarahan kanser perut dan darah dalam najis (tinja) yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

  3. Endoskopi bahagian atas
  4. Endoskopi bahagian atas dilakukan untuk memeriksa esofagus, perut, dan duodenum untuk kawasan abnormal. Prosedur ini paling kerap dilakukan jika doktor mengesyaki kewujudan kanser perut.

    Tiub nipis yang berlampu, iaitu endoskop akan dimasukkan ke dalam esofagus melalui mulut dan turun ke tekak. Semasa prosedur ini, biopsi mungkin dibuat dengan mengambil sedikit sampel tisu untuk dihantar ke makmal dan diperiksa. Prosedur ini mengambil masa kira-kira 10 ke 15 minit.

  5. Imbasan tomografi berkomputer (CT)
  6. Imbasan CT menggunakan X-ray bagi mendapatkan imej tisu lembut dalam badan dalam pandangan keratan melintang. Prosedur ini boleh menentukan lokasi kanser dan penyebaran kanser itu ke bahagian badan yang lain, dalam kes metastasis.

  7. Endoskopi ultrabunyi
  8. Prosedur ini dilakukan untuk mengetahui tahap penyebaran kanser di dalam perut.

  9. Imbasan Tomografi Pancaran Positron (PET)
  10. Imbasan PET membantu mengenal pasti tahap penyebaran kanser ke bahagian badan yang lain dengan segera.

  11. Kajian barium
  12. Prosedur ini dilakukan untuk memeriksa esofagus dan perut. Anda akan diminta untuk minum cecair barium dengan perut kosong, dan beberapa gambar (x-ray) akan diambil semasa anda menelan cecair tersebut. Prosedur ini mengambil masa kira-kira 20 minit.

  13. Laparoskopi
  14. Laparoskopi adalah pembedahan kecil, yang mungkin dilakukan jika kanser perut telah ditemui dan belum merebak ke bahagian badan yang lain.

    Ia boleh mengesahkan jika kanser masih berada di dalam perut, yang menandakan pembedahan masih boleh dilakukan untuk membuangnya.


Bagaimanakah kanser perut dirawat?

Pilihan rawatan untuk kanser perut bergantung pada jenis kanser, kedudukan dan saiz tumor, serta peringkat kanser. Terapi utama yang digunakan adalah pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan terapi sasaran.

  1. Pembedahan
    • Jika kanser perut dikesan awal, belum merebak, atau belum merebak jauh, pembedahan mungkin boleh dilakukan untuk membuangnya.
    • Sebahagian perut atau seluruh perut mungkin dibuang melalui pembedahan. Selain itu, bahagian organ lain di sekeliling perut mungkin perlu dibuang.
    • Pembedahan kanser perut boleh mengambil masa yang lama untuk sembuh. Bincang dengan pasukan penjagaan khusus anda tentang faedah dan kesan buruk daripada rawatan ini.
    • Pembedahan mungkin juga dilakukan untuk membuang halangan dalam perut supaya makanan mudah melaluinya.
  2. Kemoterapi
    • Kemoterapi adalah rawatan kanser yang menggunakan ubat-ubatan poten untuk mematikan sel kanser.
    • Kemoterapi boleh dilakukan:
      • Sebelum pembedahan untuk mengecilkan saiz tumor
      • Untuk mematikan baki sel kanser selepas pembedahan
      • Untuk melambatkan kadar penyebaran kanser
      • Bersama dengan radioterapi
  3. Radioterapi
    • Radioterapi menggunakan radiasi bertenaga tinggi untuk mengecutkan tumor dan mematikan sel-sel kanser.
    • Untuk mengurangkan simptom akibat kanser peringkat lanjut.
  4. Terapi sasaran
    • Terapi sasaran merangkumi ubat-ubatan yang diberikan untuk menyekat perkembangan kanser perut peringkat lanjut.
    • Trastuzumab boleh digunakan untuk pesakit yang mempunyai tahap HER2 (sejenis protein) yang tinggi.
  5. Penjagaan paliatif
    • Jika rawatan tidak disyorkan atau kanser langsung tidak boleh dirawat, usaha akan dibuat untuk memaksimumkan kualiti hidup pesakit dengan mengurangkan tanda dan simptom kanser.

Bagaimana cara untuk mencegah kanser perut?

bone cancer 1

Walaupun kanser perut tidak selalunya dapat dicegah, ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko anda mendapat penyakit ini, seperti:

  • Dapatkan rawatan bagi jangkitan H. pilori jika anda diuji positif
  • Jauhi tembakau, termasuk asap rokok sekunder.
  • Makan lebih banyak sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Kurangkan memakan makanan bergoreng dan bergaram
  • Kurangkan pengambilan alkohol
  • Bersenam secara tetap dan mengekalkan gaya hidup aktif.

Apakah prognosis bagi kanser perut?

Prognosis kanser perut bergantung pada peringkat dan keterukan kanser itu. Pesakit kanser perut peringkat awal mempunyai prognosis yang lebih baik berbanding pesakit peringkat lanjut.


Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Pengesanan awal kanser perut akan memudahkannya dirawat dengan rawatan yang berkesan dan sesuai. Pasukan ahli onkologi yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai sebarang faktor risiko dan simptom di atas, atau apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.


Rujukan

  1. Alejandro Recio-Boiles, Hani M. Babiker (5 Dis 2021) Kanser Perut. Tersedia di https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK459142/ [Accessed 9 March 2022]
  2. Robert Sitarz, Małgorzata Skierucha, Jerzy Mielko,Johan A Offerhaus, Ryszard Maciejewski dan Wojciech P Polkowski (20 Ogos 2020) Kanser perut. Tersedia di https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32861308/ [Accessed 9 March 2022]
  3. Elizabeth C Smyth, Magnus Nilsson, Heike I Grabsch, Nicole Ct van Grieken, Florian Lordick (29 Ogos 2020) Kanser Perut. Tersedia di https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/32861308/ [Accessed 9 March 2022]
  4. Apa itu Kanser. Tersedia di https://www.cancer.org/cancer/stomach-cancer/about/what-is-stomach-cancer.html [Accessed 9 March 2022]
  5. Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Kanser. Tersedia di https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cancer [Accessed 9 March 2022]
  6. Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan. Kanser perut. Tersedia di: https://www.nhs.uk/conditions/stomach-cancer/ [Accessed 9 March 2022]
  7. Persatuan Kanser Amerika. Kanser perut. Tersedia di: https://www.cancer.org/cancer/stomach-cancer.html [Accessed 9 March 2022]
Loading...
Thank you for your patience