Seriawan Mulut pada Bayi

Apa Itu Seriawan Mulut?

Seriawan oral atau seriawan mulut adalah penyakit biasa dan tidak berbahaya yang kerap dialami oleh bayi. Ia merupakan jangkitan kulat yang berpunca akibat pertumbuhan yis Candida albicans secara berlebihan. Candida terdapat secara semula jadi dalam rongga mulut kebanyakan bayi dan biasanya tidak menyebabkan masalah.

Tetapi, bayi mungkin mengalami pertumbuhan Candida secara berlebihan dalam mulut mereka kerana sistem imun yang belum berkembang, dan mereka lebih mudah dijangkiti. Selain itu, pengambilan antibiotik oleh bayi boleh juga menyumbang kepada penyakit ini.

Apakah Simptom-simptom Seriawan Mulut pada Bayi?

Bayi dengan seriawan mulut mempunyai luka berwarna krim atau tompok pada bibir, lidah, lelangit dan dalam pipi yang kelihatan seperti keju kotej dan tidak boleh dihilangkan. Sesetengah bayi mungkin rasa tidak selesa dan cerewet semasa makan atau menghisap puting. 

Sesetengah bayi mungkin juga kerap mendapat ruam lampin yang dikenali sebagai "dermatitis lampin", akibat jangkitan yis yang sama itu.

Adakah Seriawan Mulut Berjangkit?

Ya, seriawan mulut pada bayi boleh berjangkit. Jangkitan ini boleh disebarkan daripada bayi kepada orang lain melalui sentuhan terus. 

Bayi yang minum susu ibu berpotensi untuk menyebarkan jangkitan seriawan daripada mulut mereka kepada puting ibu, yang boleh menjadi amat tidak selesa. Simptom-simptom mungkin termasuk puting rasa sakit membakar, puting merekah dan sakit, atau dalam sesetengah kes, puting menjadi merah dan berkilat, yang perlu dirawat oleh doktor anda. 

Kebersihan diri adalah penting, seperti kerap membasuh tangan dan berjaga-jaga untuk mengelakkan penyebaran jangkitan, khususnya jika bayi mengalami seriawan mulut.

Bagaimana Seriawan Mulut Didiagnosis?

Diagnosis sering dibuat berdasarkan pemeriksaan fizikal dan sejarah perubatan bayi. Doktor akan memeriksa mulut bayi untuk tanda-tanda seriawan mulut, yang termasuk tompok putih pada lidah, dalam pipi, lelangit dan bibir.

Kadang-kadang, doktor mungkin melakukan ujian tambahan atau ujian kultur untuk mengesahkan diagnosis. Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes, penampilan tompok putih dan simptom-simptom yang berkaitan adalah memadai untuk membuat diagnosis.

Bagaimana Seriawan Mulut Dirawat?

Dalam kebanyakan kes, khususnya bagi simptom yang ringan, tiada rawatan spesifik yang diperlukan untuk seriawan mulut pada bayi. 

Jika bayi masih mengalami seriawan mulut yang tidak bertambah baik dalam masa beberapa hari, doktor mungkin memberi rawatan antikulat dalam bentuk gel atau cecair. Sesetengah bayi mungkin juga memerlukan krim antikulat untuk merawat kawasan lampin. 

Jika anda sedang memberi susu badan, anda mungkin diberikan rawatan antikulat dalam bentuk tablet.

Bagaimana Cara untuk Mencegah Seriawan Mulut pada Bayi?

Pencegahan seriawan mulut termasuk mengamalkan kebersihan diri dan mengurangkan faktor risiko.

  • Puting dan botol susu bayi perlu disterilkan dalam air panas dan sabun setiap kali selepas diguna bagi mencegah jangkitan semula.
  • Selepas memberi susu, bersihkan payudara dengan air biasa, lap kering dengan lembut, dan sapukan rawatan yang diberikan jika seriawan masih berlaku.
  • Untuk mencegah jangkitan semula, pakai tuala yang berasingan untuk anda dan bayi anda.
  • Jaga kebersihan tangan dengan membasuh tangan dengan sabun dan air sebelum dan selepas melayan bayi anda.

Adakah Saya Masih Boleh Memberi Susu Badan Jika Bayi Saya Mengalami Seriawan Mulut?

Ya. Dalam kebanyakan kes, memberi susu badan boleh diteruskan dengan langkah berjaga-jaga yang betul. Bagaimanapun, puting yang merah dan bengkak mungkin akan menyakitkan pemberian atau pengeluaran susu.

Aturkan Janji Temu di Hospital Pantai

Pengesanan awal dan intervensi adalah penting untuk menguruskan seriawan mulut dengan berkesan. Pasukan pakar Pediatrik yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding dan menyediakan penjagaan serta bantuan pemeriksaan, diagnosis dan rawatan yang terbaik.

Hubungi kami untuk mengaturkan janji temu hari ini jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau pertanyaan mengenai seriawan mulut pada bayi. 

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience