Spina Bifida: Apa yang Anda Perlu Tahu

Apa Itu Spina Bifida?

Spina bifida adalah penyakit kongenital yang menyebabkan pertumbuhan spina tidak lengkap. Ia adalah kecacatan tiub saraf di mana sebahagian tiub saraf tidak tumbuh atau tutup dengan betul dan menyebabkan kecacatan vertebra (tulang spina) dan saraf tunjang. Anak itu mungkin dilahirkan dengan sebahagian saraf tunjangnya terdedah di belakang melalui bukaan dalam spina.

Apakah Jenis-jenis Spina Bifida?

  1. Spina bifida okulta

    • Spina bifida okulta, yang sering dipanggil spina bifida tersembunyi, adalah jenis spina bifida yang paling ringan dan biasa.
    • Pada kebanyakan masa, jurang dalam spina adalah kecil, dan mungkin tidak mengganggu fungsi spina.
    • Ramai individu mungkin tidak menyedari kehadiran spina bifida okulta melainkan ia dikesan secara tidak sengaja semasa menjalani X-ray untuk tujuan yang tidak berkaitan.
  2. Meningosele

    • Jenis spina bifida serius.
    • Membran yang meliputi saraf tunjang yang dipanggil meninges, akan tersembul melalui bukaan spina.
    • Ini membentuk kantung yang mengandungi cecair spina di belakang.
    • Dalam kebanyakan kes, saraf tunjang dan saraf biasanya tidak terjejas atau hanya terkesan sedikit. Kantung ini biasanya diliputi oleh kulit dan mungkin perlu dibedah.
  3. Mielomeningosele

    • Jenis spina bifida yang paling serius.
    • Saraf tunjang tidak membentuk dengan betul, dan sebahagian saraf tunjang dan saraf tersembul melalui bukaan pada spina dalam kantung. Dalam sesetengah kes, kantung diliputi oleh kulit. Bagaimanapun, dalam kes-kes lain, saraf dan tisu mungkin terdedah.
    • Bukaan boleh ditutup melalui pembedahan semasa bayi berada dalam uterus atau tidak lama selepas dilahirkan.

Apakah Punca Spina Bifida?

Meskipun punca sebenar spina bifida tidak diketahui sepenuhnya, beberapa faktor boleh meningkatkan risiko bayi mendapat penyakit ini.

  • Pengambilan asid folik (vitamin B9) yang tidak mencukupi sebelum hamil dan semasa kehamilan. Wanita harus mengambil 400 mcg asid folik setiap hari semasa hamil.
  • Sejarah keluarga mengalami spina bifida.
  • Ubat-ubat seperti asid valproik dan carbamazepine semasa hamil.

Bagaimana Spina Bifida Didiagnosis?

Diagnosis pranatal

Ujian yang akan dijalankan termasuk:

  • Ujian darah: Pada minggu 16 hingga 18 kehamilan (trimester kedua), serum alfa fetoprotein ibu (MSAFP) akan diperiksa dengan mengambil sampel darah ibu. Ujian ini mengukur paras alfa fetoprotein (AFP), yang dihasilkan secara semula jadi oleh fetus dan plasenta.
  • Ultrabunyi: Teknik pengimejan yang menggunakan gelombang bunyi frekuensi tinggi untuk menghasilkan imej visual bayi yang sedang membesar dalam rahim. Kaedah ini amat tepat untuk mengenal pasti kecacatan kelahiran tertentu, termasuk spina bifida, semasa hamil.
  • Amniosentesis: sampel cecair amnion di sekeliling fetus akan diambil dan dianalisis untuk paras protein yang boleh menandakan kehadiran kecacatan tiub saraf atau penyakit genetik.

Individu yang memilih untuk meneruskan kehamilan patut menjangkakan lebih banyak janji temu sebelum bersalin berbanding ibu hamil yang lain.

Selepas bersalin

Kecacatan tiub saraf tertutup sering dikenal pasti pada kelahiran dengan memerhatikan gumpalan lemak yang tidak normal, gumpalan rambut, atau lekuk kecil atau tanda lahir pada kulit, di lokasi kecacatan spina.

Spina bifida okulta biasanya dikesan secara tidak sengaja semasa X-ray dijalankan untuk tujuan yang lain.

Bagaimana Spina Bifida Dirawat?

Rawatan bergantung pada jenis spina bifida.

Pembedahan pranatal (pembedahan fetus)

  • Dijalankan dalam trimester kedua kehamilan.
  • Bukaan dalam spina akan dibetulkan sebelum bayi dilahirkan.
  • Pembedahan fetus boleh mengurangkan masalah saraf dan otot selepas lahir, tetapi ia berisiko untuk kedua-dua ibu dan bayi. Selain itu, bayi mungkin perlu menjalani pembedahan lanjut selepas dilahirkan.

Selepas bersalin

  • Pembedahan dilakukan tidak lama selepas kelahiran, untuk menutup bukaan spina dan menangani isu hidrosefalus. Tujuan utama pembedahan awal adalah untuk mengurangkan risiko jangkitan dan kerosakan lanjut pada saraf tunjang yang terdedah dan saraf.
  • Perkhidmatan yang berhasrat untuk meningkatkan kefungsian harian dan mendorong keupayaan berdikari, seperti fisioterapi dan terapi cara kerja.
  • Alat bantuan seperti kerusi roda atau alat bantu berjalan.
  • Rawatan untuk menangani isu berkaitan dengan fungsi usus dan urin.

Bagaimana Cara untuk Mencegah Spina Bifida?

Ibu yang hamil perlu mengutamakan diet yang seimbang dan berkhasiat, termasuk mengambil asid folik yang mencukupi, untuk mencegah spina bifida dalam anak kandungan mereka.

Selain itu, penjagaan pranatal awal dan perundingan dengan doktor penting untuk menangani dan menguruskan perkara yang menyumbang kepada pembentukan spina bifida semasa hamil.

Aturkan Janji Temu di Hospital Pantai

Mengesan penyakit spina bifida awal akan memudahkannya dirawat dengan rawatan yang berkesan dan sesuai. Pasukan pakar Pediatrik yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding dan menyediakan penjagaan serta bantuan pemeriksaan, diagnosis dan rawatan yang terbaik.

Hubungi kami untuk mengaturkan janji temu hari ini jika anda mempunyai sebarang kebimbangan atau pertanyaan mengenai spina bifida.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience