Diabetes Melitus Gestasi (GDM): Simptom, Diagnosis dan Rawatan

Diabetes melitus adalah keadaan di mana paras gula darah adalah tinggi secara luar biasa kerana badan tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau tidak boleh menggunakan insulin yang dihasilkan.

Apa itu diabetes melitus gestasi (GDM)?

Diabetes gestasi adalah keadaan yang dicirikan oleh paras gula darah yang meningkat, khususnya semasa mengandung dan biasanya akan hilang selepas bersalin. Walaupun ia boleh berlaku pada bila-bila masa sewaktu hamil, diabetes gestasi lebih kerap muncul dalam trimester kedua atau ketiga.

Apakah faktor-faktor risiko diabetes gestasi?

Faktor-faktor risiko diabetes gestasi dalam sesetengah wanita mungkin termasuk perkara berikut:

  • Berusia lebih 40 tahun.
  • Obesiti.
  • Sejarah melahirkan bayi dengan berat lahir 4.5 kg atau lebih berat.
  • Sejarah diabetes gestasi semasa mengandung sebelum ini.
  • Sejarah keluarga mengalami diabetes.
  • Sindrom Ovari Polisistik (PCOS).
  • Pernah menjalani pembedahan pintasan gastrik atau pembedahan pengurangan berat badan yang lain.

Apakah simptom-simptom diabetes gestasi?

Diabetes gestasi biasanya tidak bersimptom. Kebanyakan kes ditemui semasa saringan untuk diabetes gestasi.

Namun, sesetengah wanita mungkin mengalami simptom jika paras gula darah mereka meningkat (hiperglisemia):

  • Bertambah haus.
  • Kerap kencing (lebih kerap daripada biasa).
  • Mulut kering.
  • Keletihan.
  • Gatal-gatal pada genital.

Harap maklum bahawa sesetengah simptom ini adalah biasa semasa hamil dan tidak semestinya menandakan diabetes gestasi. Jika anda ada kebimbangan mengenai sebarang simptom yang disebut di atas, anda dinasihatkan berjumpa doktor anda.

Bagaimana diabetes gestasi menjejaskan kehamilan?

Kebanyakan wanita yang mengalami diabetes gestasi akan melalui kehamilan yang normal dan melahirkan bayi yang sihat. Bagaimanapun, beberapa komplikasi mungkin berlaku, seperti:

  • Bayi yang lebih besar daripada biasa: Meningkatkan kemungkinan bersalin melalui pembedahan Caesarean.
  • Polihidramnios: Mungkin menyebabkan kelahiran pramatang.
  • Kelahiran pramatang: Melahirkan bayi sebelum melengkapkan 37 minggu kehamilan.
  • Praeklampsia: Keadaan yang menyebabkan tekanan darah tinggi semasa hamil dan boleh menyebabkan komplikasi jika tidak ditangani awal.
  • Bayi mungkin mengalami paras gula rendah atau mendapat jaundis (kekuningan pada kulit dan mata) selepas lahir, yang mungkin memerlukan rawatan ubat di hospital.
  • Kelahiran mati (bayi mati sebelum dilahirkan): Komplikasi yang semakin jarang berlaku dalam wanita yang mengalami diabetes gestasi disebabkan gula darah dikawal dengan berkesan dan kedua-dua ibu dan bayi diawasi dengan teliti sepanjang kehamilan.

Ibu yang mengalami diabetes gestasi juga berisiko lebih tinggi mendapat diabetes jenis 2 pada waktu kemudian.

Bagaimana diabetes gestasi didiagnosis?

Ujian untuk diabetes gestasi biasanya dibuat antara minggu kehamilan yang ke-24 dan ke-28. Bagaimanapun, jika anda mempunyai faktor risiko diabetes gestasi, ujian mungkin dibuat seawal janji temu pranatal pertama anda.

Ujian untuk diabetes gestasi boleh dilakukan dalam dua cara:

Ujian dua bahagian:

  • Pada hari ujian saringan pertama, anda boleh kekalkan diet dan pengambilan cecair tetap anda. Anda akan diberikan 50 g larutan glukosa, biasanya dalam bentuk minuman oren atau kola, yang patut diminum dalam beberapa minit.
  • Selepas satu jam, paras gula darah anda akan diukur. Jika gula darah anda berada dalam julat normal, tiada lagi ujian yang perlu dibuat.
  • Biasanya, paras gula darah anda dianggap tinggi jika ia melebihi 130 hingga 140 mg/dL (7.2 hingga 7.7 mmol/L). Bacaan yang amat tinggi (≥200 mg/dL [11.1 mmol/L]) menandakan diabetes gestasi.
  • Jika keputusan saringan pertama anda adalah tinggi tetapi tidak terlampau tinggi, anda perlu menjalani ujian susulan oral yang dipanggil ujian toleransi glukosa (GTT). Ini memerlukan anda mengukur paras gula darah berpuasa anda pada waktu pagi dan kemudian selepas satu, dua dan tiga jam mengambil 100 g larutan glukosa (dua kali ganda jumlah dalam ujian satu jam), yang juga biasanya adalah minuman oren atau kola.
  • Jangan bataskan diet anda dalam hari-hari sebelum menjalani GTT, kerana mengurangkan makanan boleh menghasilkan keputusan tinggi yang palsu.
  • Diabetes gestasi didiagnosis jika dua atau lebih banyak nilai gula darah semasa GTT didapati meningkat. Namun, sesetengah doktor mungkin akan mencadangkan rawatan walaupun hanya sekali mendapat keputusan tinggi, terutamanya jika terdapat tanda-tanda diabetes gestasi yang lain, seperti janin yang besar daripada biasa atau cecair amnion yang berlebihan.

Ujian satu bahagian:

  • Sesetengah doktor menggunakan GTT oral jenis lain. Ujian ini akan mengukur paras gula darah berpuasa anda pada waktu pagi dan kemudiannya satu dan dua jam selepas meminum 75 g larutan glukosa, bisanya dalam bentuk minuman oren atau kola yang dirumus khas.
  • Diabetes gestasi didiagnosis jika satu atau lebih banyak nilai gula darah didapati meningkat.

Bagaimana diabetes gestasi dirawat?

Jika anda didiagnosis dengan diabetes gestasi, diet anda perlu diubah, dan anda perlu mengawasi paras gula darah anda. Dalam keadaan tertentu, anda juga mungkin perlu belajar cara untuk menyuntik insulin atau mengambil pil untuk menurunkan paras gula darah anda.

  1. Makan secara betul

    Rawatan yang pertama untuk diabetes gestasi adalah makan secara betul. Garis panduan umum di bawah akan membantu anda sehingga anda menerima pelan makanan peribadi anda.

    • Teruskan mengamal diet kehamilan yang sihat: Kekalkan komitmen anda untuk mengamal diet yang berkhasiat semasa mengandung.
    • Hidangan seimbang, secara kerap: Makan tiga hidangan kecil dan gabungkan tiga sehingga empat snek sihat ke dalam rutin makan harian anda. Cuba untuk makan setiap dua hingga tiga jam untuk membahagikan pengambilan makanan anda secara sama rata sepanjang hari. Melangkau waktu makan tidak disarankan, dan mengawasi snek sebelum tidur boleh mengawal paras gula darah berpuasa anda.
    • Hadkan pengambilan gula anda: Elakkan makanan bergula dan minuman manis. Gunakan pemanis alternatif secara sederhana.
    • Gabungkan protein dengan sedikit lemak tepu: Masukkan sumber protein dengan kandungan lemak tepu rendah, seperti daging lembu, babi, ayam, dan ikan tanpa lemak. Berhati-hati dengan jenis dan jumlah ikan yang diambil kerana kebimbangan terhadap merkuri yang terkandung. Di samping itu, makanan lain yang kaya dengan protein seperti keju, telur, kacang, bijian, dan mentega kacang juga bermanfaat untuk kedua-dua anda dan bayi anda.
    • Gabungkan karbohidrat: Ambil karbohidrat dalam catuan sederhana.
    • Hadkan memakan buah-buahan: Makan sepotong kecil buah atau kira-kira 1 cawan pada satu masa.
    • Masukkan pelbagai sayur-sayuran: Salad, sayur hijau (seperti bayam, kai lan, dan kubis), brokoli, kacang hijau, lobak merah, tomato, cendawan, dan sayur-sayuran lain yang anda suka makan.
    • Pilih lemak yang sihat: Minyak zaitun atau minyak canola boleh digunakan semasa memasak dan menyediakan hidangan anda.
  2. Mengawasi gula darah

    Sebaik-baiknya, anda patut memeriksa gula darah anda 4 kali sehari:

    • Sebelum makan pada waktu pagi.
    • Satu atau dua jam selepas sarapan pagi.
    • Satu atau dua jam selepas makan tengah hari.
    • Satu atau dua jam selepas makan malam.
  3. Bersenam

    • Meskipun bersenam bukan komponen wajib dalam rawatan diabetes gestasi, ia boleh membantu menguruskan paras gula darah.
    • Jika anda mempunyai rutin senaman sebelum didiagnosis dengan diabetes gestasi, biasanya cadangan akan dibuat untuk anda teruskan bersenam.
    • Jika anda tidak mempunyai rutin senaman sebelumnya, anda dinasihatkan berjumpa dengan doktor atau jururawat untuk menentukan jika senaman sesuai dilakukan semasa kehamilan anda.
    • Dalam kebanyakan kes, wanita tanpa komplikasi perubatan atau kehamilan boleh melakukan senaman sederhana sepanjang kehamilan mereka.
  4. Insulin

    • Kira-kira 15% wanita dengan diabetes gestasi akan memerlukan insulin. Ubat ini membantu menurunkan paras gula darah, seterusnya menurunkan risiko komplikasi berkaitan dengan diabetes gestasi.
    • Insulin diberikan melalui suntikan, dan anda mungkin memerlukan satu atau dua suntikan bergantung pada dos anda.
  5. Ubat oral anti-hiperglisemik

    • Bagi wanita yang enggan atau tidak boleh mengambil insulin, ubat oral anti-hiperglisemik boleh dipertimbangkan, dengan syarat mereka benar-benar memahami maklumat terhad yang ada mengenai risiko jangka panjang dan manfaat ubat-ubat ini.

Aturkan janji temu di Hospital Pantai

Setiap kehamilan adalah unik. Menjalani pemeriksaan pranatal secara kerap dan berkomunikasi secara terbuka dengan doktor anda adalah penting untuk memantau kesihatan anda dan menangani sebarang kebimbangan sepanjang kehamilan.

Pasukan pakar Obstetrik dan Ginekologi yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding dan menyediakan penjagaan pesakit serta bantuan yang terbaik. Hubungi kami untuk menempah janji temu hari ini jika anda mempunyai sebarang soalan mengenai diabetes gestasi semasa hamil. 

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience