Apakah Pembedahan Pintasan Arteri Koronari (CABG)?

Pembedahan Pintasan Arteri Koronari (CABG) ialah prosedur yang bertujuan untuk meningkatkan aliran darah ke jantung bagi pesakit yang mengalami penyakit arteri koronari (CAD)yang teruk. Keadaan ini berlaku apabila arteri koronari menjadi sempit atau tersumbat akibat pengumpulan mendapan lemak (plak), sekali gus mengurangkan bekalan darah yang kaya dengan oksigen ke otot jantung. Jika tidak dirawat, keadaan ini boleh menyebabkan sakit dada (angina), serangan jantung atau kerosakan jantung jangka panjang. Bagi individu yang mengalami penyumbatan arteri yang ketara, pakar kardiologi di Malaysia mungkin akan menyarankan pembedahan CABG sebagai salah satu pilihan rawatan. Artikel ini menerangkan bila pembedahan CABG diperlukan, manfaatnya, serta apa yang boleh dijangkakan oleh pesakit daripada prosedur ini.

Bilakah Pembedahan CABG Diperlukan?

Pembedahan CABG biasanya disarankan apabila rawatan lain seperti ubat-ubatan atau angioplasti tidak lagi berkesan. Berikut ialah antara sebab yang paling lazim mengapa pembedahan CABG diperlukan:

Keadaan

Mengapa Pembedahan CABG Mungkin Diperlukan

Penyakit Arteri Koronari yang Teruk

Apabila arteri koronari menjadi sangat sempit atau tersumbat, CABG sering diperlukan untuk memulihkan aliran darah yang mencukupi ke jantung serta mencegah komplikasi seperti serangan jantung.

Penyumbatan Berbilang Arteri

Jika beberapa arteri koronari tersumbat, terutamanya di bahagian yang kritikal, CABG sering menjadi pilihan rawatan bagi memintas penyumbatan tersebut dan mengekalkan fungsi jantung.

Pesakit Berisiko Tinggi

Individu yang mempunyai sejarah serangan jantung atau CAD yang ketara mungkin menjalani pembedahan CABG untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup dan mengurangkan risiko kejadian jantung yang lain.

Pesakit Diabetes

Individu yang menghidap diabetes mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penyumbatan arteri koronari yang teruk. CABG boleh membantu meningkatkan aliran darah dan mengurangkan komplikasi berkaitan jantung.

Penyakit Arteri Koronari Utama Kiri yang Teruk

Penyumbatan pada arteri koronari utama kiri boleh menjejaskan fungsi jantung dengan ketara. CABG membantu mencegah akibat yang mengancam nyawa dengan memastikan bekalan darah yang mencukupi ke jantung.

Bagaimanakah Pembedahan CABG Memberi Manfaat kepada Pesakit?

Pembedahan CABG menawarkan beberapa manfaat kepada pesakit yang mengalami penyakit arteri koronari yang teruk:

  • Meningkatkan Aliran Darah:

    Prosedur ini memulihkan peredaran darah yang baik, sekali gus mengurangkan risiko serangan jantung dan komplikasi lain.
  • Melegakan Gejala:

    Pesakit sering mengalami kelegaan yang ketara daripada gejala seperti sakit dada, sesak nafas dan keletihan.
  • Meningkatkan Kualiti Hidup:

    Ramai pesakit dapat kembali melakukan aktiviti harian dengan lebih bertenaga serta mengalami kurang ketidakselesaan berkaitan jantung.
  • Penyelesaian Jangka Panjang:

    Walaupun CABG tidak menyembuhkan penyakit arteri koronari, ia merupakan pendekatan jangka panjang untuk menguruskan kesihatan jantung dan mencegah komplikasi lanjut.

Soalan Lazim (FAQ)

  1. Berapa lama tempoh pemulihan selepas pembedahan CABG?


    Tempoh pemulihan biasanya mengambil masa antara 6 hingga 12 minggu, di mana pesakit akan secara beransur-ansur kembali melakukan aktiviti harian di bawah pemantauan dan nasihat perubatan.
  2. Adakah perubahan gaya hidup diperlukan selepas pembedahan?


    Ya, pesakit disarankan untuk mengamalkan gaya hidup yang menyihatkan jantung, termasuk pemakanan seimbang, senaman secara berkala, pengurusan tekanan serta mengelakkan tabiat merokok.
  3. Apakah risiko pembedahan CABG?


    Walaupun komplikasi jarang berlaku, risiko yang berpotensi termasuk jangkitan, pendarahan, strok atau gangguan irama jantung. Penjagaan selepas pembedahan yang baik dapat membantu mengurangkan risiko ini.
  4. Bolehkah pembedahan CABG dilakukan semula jika perlu?


    Dalam sesetengah kes, pembedahan CABG mungkin perlu dilakukan semula. Namun, perkara ini bergantung pada keadaan kesihatan keseluruhan pesakit serta perkembangan penyakit jantung yang dialami.
  5. Adakah pembedahan CABG dilindungi oleh insurans kesihatan di Malaysia?


    Kebanyakan pelan insurans kesihatan melindungi kos pembedahan CABG, namun butiran perlindungan mungkin berbeza. Pesakit disarankan untuk mengesahkan manfaat perlindungan dengan penyedia insurans mereka.

Jadualkan Janji Temu di Hospital Pantai

Penyakit arteri koronari ialah keadaan serius yang memerlukan perhatian perubatan segera. Jika anda atau orang tersayang mengalami gejala seperti sakit dada yang berterusan, sesak nafas atau keletihan yang melampau, adalah penting untuk mendapatkan pemeriksaan daripada pakar kardiologi secepat mungkin.

Di Hospital-hospital Pantai, pasukan pakar kardiologi kami yang berpengalaman dalam mendiagnosis dan merawat pelbagai penyakit jantung, termasuk yang memerlukan pembedahan CABG. Untuk mengetahui lebih lanjut atau membuat janji temu, sila layari laman web kami atau muat turun aplikasi MyHealth360 daripada Google Play Store atau Apple App Store.

Loading...
Thank you for your patience
Click to know more!
aad blue heart