Kanser Pundi Kencing: Gejala, Diagnosis dan Rawatan

Apakah Kanser Pundi Kencing?

Pundi kencing ialah organ seperti belon berotot yang terletak di dalam pelvis. Anggota ini mengumpul air kencing dari buah pinggang dan menyimpannya.

Kanser pundi kencing adalah kanser yang paling biasa melibatkan sistem kencing. Lazimnya, kanser pundi kencing bermula di urotelium, yang merupakan lapisan paling dalam di dalam pundi kencing. Apabila sel-sel dalam lapisan membelah secara tidak terkawal dan menghasilkan tisu tambahan, pertumbuhan tidak normal ini dipanggil tumor.

Apabila kanser pundi kencing dihadkan hanya pada lapisan dinding pundi kencing, ia dipanggil kanser pundi kencing superfisial.

Jika kanser pundi kencing menyerang dinding otot dan merebak ke nodus limfa, hati atau paru-paru, ia dipanggil kanser pundi kencing invasif.

Terdapat tiga jenis kanser pundi kencing:

  • Adenokarsinoma
  • Karsinoma sel skuamus
  • Sel peralihan atau karsinoma urotelium

Apakah Punca dan Faktor Risiko Kanser Pundi kencing?

Punca sebenar kanser pundi kencing tidak diketahui. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai faktor risiko yang dikaitkan dengan kanser pundi kencing:

  • Umur: Kebanyakan kes kanser pundi kencing berlaku pada orang yang berumur lebih dari 70 tahun.
  • Jantina dan sejarah keluarga: Menjadi lelaki dan mempunyai sejarah keluarga kanser pundi kencing.
  • Diet: Diet tinggi lemak tepu dan pengambilan berterusan herba dan ubat penahan sakit tertentu.
  • Jangkitan: Jangkitan pundi kencing kronik dan jangkitan parasit tertentu seperti Schistosoma haematobium yang ditemui di negara membangun.
  • Merokok: Merokok bertanggungjawab untuk lebih daripada 50% kes kanser pundi kencing.
  • Pendedahan kimia: Pendedahan berulang kepada bahan kimia tertentu di tempat kerja, termasuk pendedahan kepada pewarna rambut dan pewarna anilin yang digunakan dalam industri tekstil dan getah.

Apakah Simptom Kanser Pundi Kencing?

Berikut adalah simptom yang boleh dikaitkan dengan kanser pundi kencing:

  • Urin berdarah
  • Hilang selera makan dan hilang berat badan
  • Membuang air kecil lebih kerap daripada biasa
  • Sakit semasa kencing
  • Gesaan untuk membuang air kecil meskipun pundi kencing tidak penuh
  • Sakit pada sebelah bahagian pinggang
  • Aliran urin lemah
  • Lesu dan lemah

Bagaimanakah Kanser Pundi Kencing Didiagnos?

Doktor akan terlebih dahulu bertanya tentang kesihatan umum anda dan simptom sebelum menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh. Diagnosis dibuat berdasarkan simptom yang anda laporkan, pemeriksaan fizikal dan penyiasatan.

Beberapa teknik biasa yang mungkin digunakan oleh doktor anda untuk mendiagnosis kanser pundi kencing termasuk:

  • Sistoskopi: Sistoskopi ialah prosedur yang melibatkan penggunaan kanta pada tiub yang nipis dan panjang untuk membolehkan pemeriksaan ke atas uretra dan pundi kencing dengan lebih jelas dan terperinci.
  • Biopsi: Semasa sistoskopi, doktor akan mengumpul sampel sel daripada pundi kencing untuk ujian. Prosedur ini dikenali sebagai reseksi transuretral tumor pundi kencing (TURBT), yang juga boleh berfungsi sebagai langkah terapeutik untuk menguruskan kanser pundi kencing.
  • Sitologi air kencing: Sampel air kencing dikumpulkan untuk dianalisis bagi mengesan kehadiran sel kanser.
  • Ujian pengimejan seperti imbasan tomografi berkomputer (CT).

Bagaimanakah Kanser Pundi Kencing Dirawat?

Terdapat pilihan rawatan berbeza yang tersedia untuk kanser pundi kencing, bergantung pada gred kanser dan sejauh mana kanser telah menyerang dinding pundi kencing.

Rawatan yang disyorkan bergantung pada kesihatan umum anda. Doktor anda akan menilai keadaan anda dan mencadangkan pelan rawatan individu yang terdiri daripada satu atau gabungan kaedah rawatan.

Jika kanser pundi kencing masih di peringkat awal (superfisial), rawatan termasuk:

  • Susulan selepas rawatan kerana kanser pundi kencing superfisial cenderung untuk berulang.
  • Kemoterapi intravesikal, yang boleh digunakan secara bersendirian atau selepas TURBT, dengan ubat kemoterapi disuntik terus ke dalam pundi kencing melalui kateter.
  • Reseksi transuretral tumor pundi kencing (TURBT) ialah pembedahan invasif minimum menggunakan instrumen resektoskop yang dimasukkan ke dalam pundi kencing melalui uretra untuk membuang tumor atau membakar sel-sel kanser pundi kencing menggunakan arus elektrik.

Jika kanser pundi kencing telah mencapai peringkat lanjutan (invasif), pilihan rawatan berikut mungkin disyorkan:

  • Terapi biologi yang menggunakan bakteria Bcg hidup dilemahkan, untuk mencetuskan tindak balas imun terhadap sel-sel kanser pundi kencing. Bakteria disuntik terus ke dalam pundi kencing menggunakan kateter.
  • Ubat kemoterapi disuntik secara intravena untuk membunuh sel kanser. Ubat ini juga boleh diberikan secara oral.
  • Radioterapi digunakan untuk membunuh sel-sel kanser menggunakan sinaran yang bertenaga tinggi, dan juga untuk melegakan gejala yang disebabkan oleh kanser pundi kencing.
  • Sistektomi radikal, iaitu pembedahan yang membuang seluruh pundi kencing, nodus limfa di sekeliling dan mana-mana organ jiran yang telah menjadi kanser. Dalam prosedur ini, sebahagian usus akan digunakan untuk mencipta laluan baharu bagi mengeluarkan urin. Urin akan dilencongkan ke bukaan di luar badan dan pesakit perlu memakai beg yang bersambung kepada bukaan ini untuk mengumpulkan dan mengeluarkan urin. Beg ini dinamakan beg ostomi.

Atur Janji Temu di Hospital Pantai

Pengesanan awal kanser pundi kencing akan memudahkannya dirawat dengan rawatan yang berkesan dan sesuai. Pasukan doktor onkologi dan pakar pelbagai disiplin yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk rundingan bagi memberikan penjagaan dan bantuan terbaik kepada pesakit melalui saringan, diagnosis dan rawatan.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser pundi kencing.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience