Onkologi Pediatrik 101

Menurut CDC, kira-kira 15,000 kanak-kanak dan remaja berumur 20 tahun ke bawah telah didiagnosis dengan kanser pada 2021 di USA. Dalam kalangan remaja yang berumur 15-19 tahun, kira-kira 5,090 orang telah didiagnosis dengan kanser. Di Malaysia, kejadian kanser pediatrik adalah kira-kira 77.4 per satu juta kanak-kanak di bawah usia 15 tahun. (Sumber:Pertubuhan Hematologi dan Onkologi Pediatrik Malaysia

Sebagai satu kumpulan penyakit, setiap jenis kanser mempunyai nama, ciri-ciri, rawatan, respons kepada rawatan dan kadar hidup yang tersendiri.

Untuk memahami kanser dengan lebih baik, kita harus memahami tentang sel. Pada dasarnya, sel merupakan blok pembinaan asas yang membentuk semua tisu dan organ di dalam badan. Setiap sel memiliki nukleus (pusat kawalan) yang memberitahunya apa yang perlu dibuat. Apabila kanser berlaku, ini biasanya menandakan masalah di pusat kawalan, kerana kawalannya terhadap sel kanser telah hilang.

Contohnya, sel-sel kanser akan terus membahagi, dan kekal hidup lebih lama daripada yang sepatutnya. Sel kanser akan mengambil tempat sel normal, dan membentuk gumpalan padat yang dipanggil tumor.


Apa itu onkologi pediatrik?

Onkologi pediatrik adalah disiplin perubatan yang tertumpu pada penyelidikan dan rawatan pelbagai kanser kanak-kanak dan kanser orang muda.

Statistik kanser pediatrik

  • Setiap tahun, kanser menjangkiti kira-kira 400,000 kanak-kanak dan remaja antara 0-19 tahun di seluruh dunia.
  • Kanser kanak-kanak yang paling umum di dunia adalah leukemia, kanser otak, limfoma dan tumor pejal, seperti neuroblastoma dan tumor Wilms.
  • Di negara-negara berpendapatan tinggi, lebih daripada 80% kanak-kanak yang menghidapi kanser dapat disembuhkan. Namun, di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah, kurang daripada 30% dapat disembuhkan.
  • Kebanyakan kematian kanser kanak-kanak di negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah berlaku kerana tidak didiagnosis, didiagnosis lambat, tidak mengambil rawatan, dan relaps.

(Sumber: WHO


Apakah yang dilakukan oleh ahli onkologi pediatrik?

Ahli onkologi pediatrik adalah doktor pakar yang mendiagnosis dan merawat kanser kanak-kanak dan remaja. Ahli onkologi pediatrik biasanya juga mengkhusus dalam hematologi dan oleh itu, dirujuk sebagai ahli onkologi/hematologi pediatrik.

Dalam sesetengah kes, ahli onkologi pediatrik akan terus merawat pesakit kanser sehingga mereka mencapai umur 20-an. Selain menyediakan rawatan, ahli onkologi pediatrik memiliki pengetahuan khusus untuk membantu kanak-kanak memahami, mengurus, dan mengharungi diagnosis kanser mereka.


Apakah jenis-jenis kanser kanak-kanak?

Leukemia

Leukemia adalah kanser sumsum tulang dan darah. Kanser ini paling ketara dalam kalangan kanak-kanak dan membentuk kira-kira 28% daripada semua kanser pediatrik di seluruh dunia. (Sumber: Cancer.org

Leukemia limfositik akut dan leukemia mieloid adalah jenis leukemia yang paling biasa dalam kalangan kanak-kanak. Leukemia ini boleh menyebabkan sakit tulang dan sendi, kelemahan, kelesuan, kulit pucat, demam, pendarahan atau lebam, dan kehilangan berat badan.

Malangnya, leukemia akut tumbuh dengan cepat, jadi ia perlu dirawat (biasanya dengan kemoterapi) sebaik sahaja ia dikesan.

Tumor otak dan saraf tunjang

Tumor otak dan saraf tunjang membentuk kira-kira 26% daripada kes kanser kanak-kanak di seluruh dunia.(Sumber: Cancer.org) Ada pelbagai jenis tumor otak dan saraf tunjang, dan rawatannya adalah berbeza.

Biasanya, kebanyakan tumor kanak-kanak bermula di bahagian bawah otak, seperti serebelum atau batang otak.

Ini boleh menyebabkan sakit kepala, muntah-muntah, loya, penglihatan kabur atau berganda, pening, dan sawan. Berbanding dengan tumor otak, tumor saraf tunjang amat jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan orang dewasa.

Neuroblastoma

Kanser ini membentuk 6% daripada isu onkologi pediatrik (Sumber: Cancer.org) dan cenderung bermula dalam sel-sel saraf di dalam embrio atau fetus yang sedang membesar. Namun, neuroblastoma amat jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang melebihi 10 tahun.

Selain itu, kanser ini biasanya bermula sebagai bengkak di dalam perut (abdomen). Ini pula menyebabkan simptom lain, seperti sakit tulang dan demam.

Tumor Wilms

Tumor Wilms (juga dirujuk sebagai nefroblastoma) biasanya bermula di dalam satu, atau (jarang) kedua-dua buah pinggang. Tumor ini membentuk 5% daripada kanser kanak-kanak di seluruh dunia (Sumber: Cancer.org

Ia kerap dijumpai pada kanak-kanak berumur 3 ke 4 tahun, dalam bentuk bengkak atau benjolan di abdomen. Ada kalanya kanak-kanak mungkin mengalami demam, sakit, loya, ataupun tiada selera makan.

Limfoma

Limfoma berasal daripada sel-sel sistem imun yang dipanggil limfosit. Kanser ini sering bermula dalam nodus limfa atau tisu limfa yang lain, seperti tonsil atau timus. Dalam sesetengah kes, ia turut menjangkiti sumsum tulang.

Limfoma bukan Hodgkin membentuk 5% dan limfoma Hodgkin membentuk 3% daripada kes kanser kanak-kanak di seluruh dunia. (Sumber:Cancer.org

Simptomnya biasanya bergantung pada lokasi asal kanser itu. Simptom umum termasuk hilang berat badan tanpa sebab, demam, berpeluh, kelesuan, dan benjolan (nodus limfa bengkak) di bawah kulit leher, ketiak, atau groin.

Rabdomiosarkoma

Rabdomiosarkoma membentuk 3% daripada kanser kanak-kanak di seluruh dunia. (Sumber: Cancer.org) Ia bermula di dalam sel-sel badan yang kemudiannya berkembang menjadi otot sekeletal. Kanser ini boleh bermula di mana-mana bahagian badan, termasuk abdomen, kepala dan leher, groin, pelvis, tangan atau kaki.

Simptom biasa termasuk sakit atau benjolan pada mana-mana bahagian badan.

Kanser tulang

Kebanyakan kanser tulang primer menjangkiti kanak-kanak lebih tua dan remaja, tetapi boleh juga berlaku pada mana-mana peringkat umur. Kanser ini membentuk kira-kira 3% daripada kanser kanak-kanak (Sumber: Cancer.org), dan mempunyai dua jenis, iaitu:

Osteosarkoma biasanya menjangkiti kawasan di mana tulang tumbuh dengan cepat, seperti hujung tulang kaki atau tangan. Ia menyebabkan sakit tulang yang bertambah teruk pada waktu malam atau semasa beraktiviti. Ia juga boleh menyebabkan bengkak di kawasan sekitar tulang itu.

Sarkoma Ewing biasanya berlaku pada remaja, dan ia bermula pada tulang pelvis (pinggul), dinding dada (seperti rusuk atau tulang bahu), atau di tengah tulang kaki. Simptomnya termasuk sakit tulang dan bengkak.

Retinoblastoma

Retinoblastoma adalah kanser mata, yang membentuk 2% daripada kanser kanak-kanak (Sumber: Cancer.org) Kanser ini biasanya berlaku pada kanak-kanak berumur kira-kira 2 tahun, dan jarang dijumpai pada kanak-kanak melebihi 6 tahun.

Retinoblastoma boleh dikesan apabila anda menyuluh cahaya pada mata kanak-kanak, dan pupil kelihatan putih atau merah jambu, dan bukannya merah seperti normal.


Apakah punca bagi kanser kanak-kanak?

Lain dengan kanser orang dewasa, kebanyakan kanser pediatrik tidak mempunyai punca yang jelas. Kajian dan penyelidikan masih terus dijalankan untuk mengenal pasti punca kanser kanak-kanak. Namun, tidak banyak kanser kanak-kanak yang disebabkan oleh faktor persekitaran atau gaya hidup.

Jadi, usaha mencegah kanser kanak-kanak harus tertumpu pada kelakuan yang boleh membantu menghindari kanser yang boleh dielakkan sebagai orang dewasa. Namun, sesetengah teori merujuk kepada fakta bahawa ada kanser kanak-kanak yang bersifat keturunan. Tetapi perkara ini memang jarang berlaku.

Umumnya, kanser kanak-kanak jarang sekali berlaku berbanding dengan kanser orang dewasa. Lagipun, kanser orang dewasa biasanya berlaku di lokasi yang berbeza - kulit, paru-paru, payudara, prostat, dan kolon.

Bagi kanak-kanak pula, kanser biasanya menjejaskan darah dan sumsum tulang, otak, tisu limfa, sistem saraf, otot, buah pinggang dan tulang. Selain itu, kanser kanak-kanak biasanya bertindak balas kepada rawatan dengan lebih baik berbanding dengan kanser orang dewasa.


Bagaimanakah kanser pediatrik didiagnosis?

Kaedah diagnosis pertama bagi kanser pediatrik adalah pemeriksaan fizikal. Kemudian, ujian-ujian berikut akan dijalankan dan digunakan bagi menyokong sebarang diagnosis:

  • Ujian darah
  • Sampel sumsum tulang
  • Sampel cecair saraf tunjang
  • Biopsi tumor
  • Imbasan:
    • Ultrabunyi
    • Imbasan CT/Imbasan tomografi berkomputer (CT atau CAT)
    • Imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI)
    • Tomografi pancaran positron (PET) atau imbasan PET-CT

Apakah pilihan rawatan bagi kanser pediatrik?

Ada beberapa cara yang berlainan untuk merawat kanser. Seperti yang disebut pada permulaan rencana ini, sel-sel kanser cenderung tumbuh tanpa kawalan. Ini bermakna setiap jenis kanser akan dirawat secara berlainan, bergantung pada rawatan yang dianggap paling berkesan untuk mematikan jenis sel kanser yang spesifik.

Dalam sesetengah keadaan, beberapa kaedah rawatan kanser mungkin digunakan untuk jenis kanser yang spesifik.

Kemoterapi

Kemoterapi akan menghentikan pertumbuhan atau mematikan sel-sel kanser. Setiap kaedah kemoterapi yang berbeza dilakukan untuk menghentikan pertumbuhan sel atau mematikan sel kanser dengan cara yang berbeza. Namun, apabila kemoterapi menghapuskan sel-sel kanser, biasanya sel-sel yang sihat akan terhapus juga.

Ubat kemoterapi selalunya akan diberikan menerusi mulut, ke dalam saluran darah, otot, atau cecair saraf tunjang. Oleh itu, ubat kemoterapi akan mencapai setiap bahagian badan anak anda, dan bukan sekadar sel kanser sahaja.

Kanak-kanak juga mungkin menunjukkan kesan sampingan yang berbeza, bergantung pada jenis ubat yang diambil. Ahli onkologi mungkin mencadangkan ubat/rawatan untuk melegakan kesan sampingan anak anda. Malangnya, dalam keadaan tertentu, kemoterapi boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami kesan sampingan jangka panjang.

Terapi radiasi

Terapi radiasi menggunakan x-ray bertenaga tinggi untuk membunuh sel yang tumbuh dengan cepat, seperti sel kanser. Bagaimanapun, sama seperti kemoterapi, terapi radiasi boleh memusnahkan sel-sel sihat juga.

Namun, bukan seperti kemoterapi, terapi radiasi tidak merosakkan sel di dalam seluruh badan, tetapi hanya di kawasan badan yang diberikan radiasi. Contohnya, jika anak anda perlu diberikan rawatan radiasi, bahagian tubuh yang harus dirawat akan diukur dan ditandakan dengan tepat terlebih dahulu. Proses ini dipanggil simulasi.

Pembedahan

Pelbagai pembedahan berlainan digunakan untuk merawat kanser.

Pembedahan primer: Pembedahan ini akan membuang semua, atau sebahagian besar tumor pada waktu diagnosis. Namun, kadang kala tumor tidak dapat segera dibuang dengan selamat disebabkan saiz atau lokasinya. Dalam keadaan sebegini, kemoterapi atau terapi radiasi mungkin diberikan sebelum pembedahan untuk mengecutkan tumor itu dan memudahkan pembuangannya.

Pembedahan tinjauan semula: Pembedahan jenis ini dilakukan setelah rawatan kemoterapi, radiasi, ataupun pembedahan primer. Pakar bedah akan memeriksa keberkesanan hasil rawatan yang lain dalam mematikan sel kanser, dan kemudiannya akan membuang sebarang sisa tumor.


Bolehkan kanser pediatrik disembuhkan?

Biasanya, pesakit kanser pediatrik akan diberikan penjagaan paliatif.

Penjagaan paliatif akan membantu melegakan simptom-simptom kanser, bagi meningkatkan kualiti hidup anak itu. Meskipun bukan semua kanser kanak-kanak boleh disembuhkan, masih ada cara untuk meringankan derita setiap pesakit.

Penjagaan paliatif pediatrik adalah komponen penting dalam penjagaan komprehensif, dan ia akan bermula dari waktu penyakit didiagnosis, dan sepanjang rawatan dan penjagaan. Penjagaan paliatif akan tetap diberikan sama ada anak itu menerima atau tidak menerima rawatan penyembuhan.


Kadar hidup bagi kanser pediatrik

Kadar hidup bagi kanser pediatrik di negara berpendapatan tinggi adalah kira-kira 80%, dan sekitar 30% di negara berpendapatan rendah. Ini disebabkan kemajuan dalam percubaan klinikal dan kepakaran dalam penjagaan perubatan di pusat-pusat kanser pediatrik.

Selain itu, dengan adanya teknik ujian baharu bagi menentukan jenis kanser dan rawatan yang terkini, kemungkinan kanser pediatrik disembuhkan adalah lebih baik sekarang ini. Namun, penting untuk segera menilaikan jenis kanser yang wujud secara menyeluruh. Ini kerana jenis kanser yang berbeza memerlukan rawatan yang berbeza.


Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Menerima diagnosis kanser boleh membebankan anda dan memilih rawatan yang sesuai juga boleh menjadi sukar. Pasukan pakar kesihatan yang prihatin dan merangkumi pelbagai disiplin di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Rujukan:

  1. Apa itu onkologi pediatrik, Tersedia di https://www.webmd.com/cancer/pediatric-oncology-overview [Accessed 18 Feb 2022]
  2. WHO- Kanser Kanak-Kanak, Tersedia di https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cancer-in-children#:~:text=The%20likelihood%20of%20surviving%20a,cured%20%5B2%2C3%5D [Accessed 18 Feb 2022]
  3. Apa itu onkologi pediatrik, Tersedia di https://rockymountainhospitalforchildren.com/health-education/what-is-pediatric-oncology.dot [Accessed 19 Feb 2022]
  4. Institut Kanser Kebangsaan, Tersedia di https://www.cancer.gov/publications/dictionaries/cancer-terms/def/pediatric-cancer#:~:text=The%20most%20common%20types%20of,Also%20called%20childhood%20cancer [Accessed 19 Feb 2022]
  5. Kanser kanak-kanak, WHO, Tersedia di https://www.who.int/news-room/fact-sheets/detail/cancer-in-children [Accessed 19 Feb 2022]
  6. Jenis kanser yang tumbuh dalam kanak-kanak, Tersedia di https://www.cancer.org/cancer/cancer-in-children/types-of-childhood-cancers.html [Accessed 20 Feb 2022]
  7. Jenis kanser kanak-kanak dan remaja, Tersedia https://www.healthychildren.org/English/health-issues/conditions/cancer/Pages/Childhood-Cancer.aspx [Accessed 20 Feb 2022]
Loading...
Thank you for your patience