Kanser Pankreas: Simptom, Punca, Diagnosis, dan Rawatan

Pankreas adalah organ yang terletak di belakang perut. Pankreas terdiri daripada sel-sel eksokrin yang berfungsi untuk mengeluarkan enzim yang membantu memecahkan dan mencernakan makanan. Pankreas juga terdiri daripada sel-sel endokrin penghasil hormon seperti insulin dan glukagon, yang menjaga paras gula dalam darah.

Pada 2011, sebanyak 1,829 kes kanser pankreas telah dilaporkan di Malaysia, dengan kadar jangkaan 2.0 dalam 100,000 bagi lelaki dan 1.5 dalam 100,000 bagi wanita. (Sumber: Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia


Apa itu kanser pankreas?

Kanser pankreas adalah ketumbuhan sel-sel kanser malignan pada tisu pankreas. Kanser pankreas biasanya dikesan pada peringkat lanjut dan mempunyai kadar kematian yang tinggi.


Apakah jenis-jenis kanser pankreas?

Tumor kanser pankreas dikelaskan berdasarkan sel-sel di mana kanser itu bermula. Sel-sel itu boleh menjadi eksokrin atau neuroendokrin (NET).

Adenokarsinoma pankreas adalah jenis kanser pankreas yang paling kerap berlaku, di mana kanser akan bermula di dalam sel-sel duktus yang ada sepanjang lapisan pankreas.


Apakah simptom bagi kanser pankreas?

Kanser pankreas mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom, atau simptomnya sukar dikesan. Antara simptom-simptom yang paling umum adalah:

  • Tidak selesa atau sakit yang konsisten pada abdomen atas
  • Jaundis (kekuningan pada kulit dan bahagian mata putih)
  • Kulit gatal-gatal
  • Warna kulit menjadi lebih gelap
  • Air kencing berwarna gelap
  • Najis berwarna terang
  • Hilang selera makan dan hilang berat badan
  • Loya dan muntah
  • Rasa letih atau tidak berdaya
  • Keadaan diabetes bertambah teruk

Apakah punca bagi kanser pankreas?

Punca kanser pankreas masih belum diketahui, dan dianggap sebagai rumit serta merangkumi pelbagai faktor. Namun, perkara seperti merokok, pankreatitis kronik dan sejarah keluarga telah didapati sebagai penyebab utama.


Apakah faktor-faktor risiko bagi kanser pankreas?

Berikut adalah faktor risiko yang telah dikenal pasti:

  • Merokok
  • Diabetes melitus
  • Obesiti
  • Minum alkohol berlebihan
  • Keradangan kronik pada pankreas atau pankreatitis
  • Faktor genetik dan sejarah kanser pankreas dalam keluarga

Daripada faktor-faktor ini, gabungan merokok, diabetes dan diet yang tidak sihat akan meningkatkan risiko kanser pankreas dengan ketara.

Apabila kanser berkembang, pesakit mungkin mengalami komplikasi kanser pankreas seperti:

  • Hilang berat badan
  • Jaundis
  • Kesakitan teruk
  • Usus tersumbat

Bagaimanakah kanser pankreas didiagnosis?

Seperti yang disebut tadi, kanser pankreas sukar dikesan pada peringkat awal. Namun, jika anda disyaki menghidapi kanser pankreas, doktor mungkin melakukan beberapa ujian pengimejan.

Ujian-ujian ini termasuk imbasan CT, MRI dan ultrabunyi endoskop (EUS).

Jika perlu, doktor mungkin melakukan biopsi berdasarkan ultrabunyi endoskop untuk menguji tisu pankreas lebih lanjut.

Ujian darah mungkin dilakukan untuk memeriksa paras antigen karbohidrat (CA) yang tinggi. Ini merupakan protein yang dihasilkan oleh sel pankreas dan mungkin menandakan kehadiran tumor.


Apakah peringkat-peringkat kanser pankreas?

Peringkat kanser pankreas ditentukan oleh tahap penyebaran kanser di dalam organ dan badan. Pemeringkatan kanser boleh membantu doktor menentukan rawatan yang terbaik serta prognosis penyakit.

Biasanya doktor akan menetapkan peringkat kanser berdasarkan faktor-faktor T (tumor), N (nodus), M (metastasis). Berdasarkan faktor-faktor ini, peringkat berikut akan dikenal pasti:

Peringkat Huraian
0 Kanser belum tumbuh di luar tempat asalnya, iaitu duktus
1A Tumor lebih kecil daripada 2cm dan berada di dalam pankreas
1B Tumor melebihi 2cm tetapi masih berada di dalam pankreas
2A Tumor melebihi 4cm dan telah merebak di luar pankreas, tetapi belum mencapai arteri atau nodus limfa berdekatan
2B Tumor telah merebak kepada nodus limfa berdekatan tetapi belum mencapai arteri atau bahagian badan yang lain
3 Tumor telah merebak kepada 4 atau lebih banyak nodus limfa mahupun kepada arteri dan vena berdekatan, tetapi belum mencapai bahagian badan yang lain
4 Tumor telah merebak ke bahagian badan yang lain

Selain itu, kanser boleh berlaku berulang kali jika kanser tumbuh semula setelah rawatan.


Apakah pilihan rawatan bagi kanser pankreas?

Antara pilihan rawatan bagi kanser pankreas termasuk:

  • Pembedahan (pankreatektomi) untuk membuang bahagian pankreas yang berkanser. Nodus limfa yang dijangkiti mungkin juga dibuang semasa pembedahan
  • Prosedur Whipple dilakukan apabila tumor terletak pada kepala pankreas. Prosedur ini akan membuang kepala pankreas, duodenum, pundi hempedu, dan sesetengah nodus limfa
  • Pankreatektomi distal bagi bahagian badan atau ekor pankreas
  • Terapi radiasi
  • Kemoterapi
  • Terapi kemoradiasi
  • Terapi sasaran
  • Imunoterapi

Pelan rawatan biasanya bergantung pada peringkat kanser.

Bermula daripada Peringkat 0 apabila sel abnormal ditemui sepanjang duktus pankreas. Peringkat 4 adalah peringkat paling serius apabila tumor telah menjadi besar, dan kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain.

Selain itu, penjagaan sokongan dan paliatif boleh disediakan dengan:

  • Pengurusan kesakitan
  • Rawatan jaundis
  • Rawatan usus tersumbat
  • Kawalan diabetes
  • Sokongan emosi

Bagaimana cara untuk mencegah kanser pankreas?

Tiada cara yang diketahui boleh mencegah kanser pankreas. Namun, mengubah gaya hidup anda mungkin boleh mengurangkan risikonya. Ini termasuk:

  • Berhenti merokok
  • Minum alkohol secara sederhana
  • Mengekalkan berat badan yang sihat
  • Menghindari diabetes dan mengawal paras gula dalam darah

Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Menerima diagnosis kanser boleh membebankan anda dan memilih rawatan yang sesuai juga boleh menjadi sukar. Pasukan pakar kesihatan yang prihatin dan merangkumi pelbagai disiplin di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.


Rujukan

  1. Faktor prognostik untuk terus hidup bagi pesakit kanser pankreas dari Pusat Perubatan Universiti Malaya, Malaysia, Tersedia di https://jummec.um.edu.my/article/download/11017/7600 [Accessed 25 February 2022]
  2. Kanser Pankreas: Peringkat, Tersedia di https://www.cancer.net/cancer-types/pancreatic-cancer/stages [Accessed 25 February 2022]
  3. Kanser pankreas, Tersedia di https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/15806-pancreatic-cancer [Accessed at: 25 February 2022]
  4. Kanser pankreas, Tersedia di https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pancreatic-cancer/symptoms-causes/syc-20355421 [Accessed at: 26 February 2022]
  5. Kanser pankreas, Tersedia di https://www.medicalnewstoday.com/articles/323423 [Accessed at: 26 February 2022]
Loading...
Thank you for your patience