Apa itu Kanser Testis: Simptom, Diagnosis, Rawatan, Pencegahan

Testis berbentuk bujur dan membentuk sebahagian daripada organ seks dan pembiakan lelaki. Organ-organ ini terkandung dalam kantung kulit yang dikenali sebagai skrotum dan terletak di kedua-dua sisi zakar.

Testis mempunyai dua fungsi utama. Pertama, testis menghasilkan dan menyimpan sperma untuk pembiakan. Kedua, testis juga menghasilkan hormon lelaki seperti testosteron.

Seperti namanya, kanser testis bermula di dalam testis dan biasanya terjadi pada lelaki berumur antara 15 ke 40 tahun. Namun, ramai lelaki yang boleh mendapat kanser testis tidak kira umur mereka. Sebab itulah penting untuk kaum lelaki mengenali simptomnya.


Apa itu kanser testis?

Kanser testis biasanya terjadi apabila tumor malignan yang mengandungi sel-sel kanser, berkembang di dalam tisu testis. Sel-sel ini tumbuh tanpa kawalan dan boleh merebak ke seluruh tubuh badan melalui aliran darah atau sistem limfa.

Sel-sel kanser testis boleh merebak kepada paru-paru, nodus limfa, tulang dan ada kalanya sampai ke otak. Meskipun jarang berlaku, sel-sel kanser ini boleh tumbuh di dalam kedua-dua testis penghidapnya.


Berapa kerapkah kanser testis berlaku?

Kanser testis jarang berlaku berbanding dengan semua jenis kanser yang lain. Kanser testis agak jarang terjadi dan hanya membentuk 1% daripada semua kes kanser lelaki di seluruh dunia. (Sumber: NHS)

Menurut satu kajian, kes kanser testis jarang ditemui dalam kalangan penduduk Asia.


Apakah faktor-faktor risiko bagi kanser testis?

Lelaki yang berisiko mengalami kanser testis termasuk mereka yang:

  • Mempunyai sejarah ahli keluarga lelaki yang menghidapi kanser testis
  • Mengalami kriptorkidisme, atau testis yang tidak turun
  • Mempunyai testis yang tidak berkembang secara normal kerana masalah seperti sindrom Klinefelter
  • Pernah mengalami kanser testis sebelum ini

Apakah simptom bagi kanser testis?

Berikut adalah simptom-simptom yang disebabkan oleh kanser testis:

  • Benjolan di skrotum ataupun testis.
  • Pengumpulan cecair dalam skrotum secara mendadak atau tiba-tiba.
  • Skrotum atau testis menjadi bengkak.
  • Skrotum tiba-tiba berasa berat.
  • Sakit pada skrotum atau testis.
  • Testis mengecut.
  • Sakit di kawasan groin atau bawah abdomen.
  • Rasa nyeri dalam tisu dada.
  • Perbezaan rupa antara kedua-dua belah testis.

Jika anda menjumpai benjolan, kunjungi doktor untuk menolak kemungkinan ketumbuhan berkanser pada peringkat paling awal. Dapatkan nasihat doktor juga jika terdapat kesakitan atau bengkak pada testis atau groin.

Simptom-simptom kanser testis peringkat akhir

Kanser testis yang telah merebak dari tapak asalnya akan menyebabkan simptom seperti:

  • Sakit pinggang
  • Sesak nafas
  • Sakit dada
  • Sakit perut
  • Batuk berdarah

Apakah jenis-jenis kanser testis?

Oleh sebab testis terdiri daripada pelbagai jenis sel, penting untuk doktor mengenal pasti jenis sel yang mula-mula dijangkiti kanser. Maklumat ini diperlukan untuk menentukan rawatan yang sesuai. Dua jenis kanser testis yang utama adalah seminoma dan bukan seminoma.

Seminoma

Seminoma adalah tumor sel germa. Sel germa adalah sel yang menghasilkan sperma lelaki. Seminoma berasal daripada sel germa muda, dan ia merebak dengan lambat. Ia boleh dikategorikan kepada seminoma klasik atau seminoma spermatosit. Seminoma klasik cenderung berlaku pada lelaki dalam lingkungan umur 25 ke 45 tahun, manakala seminoma spermatosit berlaku pada lelaki yang lebih tua.

Bukan seminoma

Jenis bukan seminoma berkembang daripada sel germa matang. Tumor yang boleh terhasil daripada variasi kanser ini adalah koriokarsinoma, karsinoma embrio, kantung yolka, atau teratoma. Kanser ini boleh berkembang pada kadar lebih laju dan biasanya lebih agresif daripada seminoma.

Sesetengah jenis kanser testis menghasilkan tumor seminoma dan bukan seminoma.

Ada juga jenis kanser testis yang lain, seperti tumor sel Leydig, yang berasal daripada sel Leydig yang menghasilkan testosteron, dan tumor sel Sertoli yang berasal daripada sel Sertoli yang menyokong pertumbuhan sperma. Namun, kedua-dua jenis kanser ini tidak berlaku sekerap tumor seminoma dan bukan seminoma.


Apakah peringkat-peringkat kanser testis?

Terdapat empat peringkat kanser testis. Peringkat 0, Peringkat I (IA, IB, IS), Peringkat II (IIA, IIB, IIC), dan Peringkat III (IIIA, IIIB, IIIC).

Peringkat Huraian
0 Sel-sel kanser telah mula berkembang, tetapi belum merebak ke sekitar testis.
Peringkat I (IA, IB, IS) Pada peringkat I, kanser testis akan menyerang saluran darah, limfa, saluran sperma, atau skrotum, dan dikatakan sebagai hanya terkandung di dalam testis.
Peringkat II (IIA, IIB, IIC) Pada peringkat II, kanser telah merebak ke beberapa nodus limfa di dalam badan.
Peringkat III (IIIA, IIIB, IIIC) Pada Peringkat III, kanser telah merebak melepasi nodus limfa dan boleh dijumpai dalam bahagian badan yang lain.

Berapa cepatkah kanser testis merebak?

Kanser testis biasanya didiagnosis sebaik sahaja benjolan atau perubahan abnormal didapati pada testis lelaki. Antara cara-cara yang mungkin digunakan oleh doktor untuk mendiagnosis individu dengan kanser testis:


Bagaimanakah kanser testis didiagnosis?

Kanser testis biasanya didiagnosis sebaik sahaja benjolan atau perubahan abnormal didapati pada testis lelaki. Antara cara-cara yang mungkin digunakan oleh doktor untuk mendiagnosis individu dengan kanser testis:

  • Pemeriksaan fizikal
  • Ultrabunyi
  • Ujian penanda tumor serum
  • Orkiektomi inguinal
  • Biopsi
  • Imbasan CT
  • X-ray
  • Ujian darah
  • Imbasan pengimejan
  • Imbasan MRI
  • Imbasan PET
  • Imbasan tulang
  • Histologi

Apakah pilihan rawatan bagi kanser testis?

Rawatan yang disarankan oleh doktor terutamanya bergantung pada jenis dan peringkat kanser pesakit.

  • Orkiektomi inguinal radikal - rawatan bagi semua individu yang didiagnosis dengan kanser testis. Dalam proses ini, testis akan dibuang daripada skrotum melalui insisi di bahagian atas pubis, untuk membuang tumor.
  • Diseksi nodus limfa retroperitoneum (RPLND) - pembedahan untuk membuang nodus limfa dan saluran darah besar di bahagian belakang abdomen.
  • Pembedahan laparoskopik - untuk membuang nodus limfa yang dijangkiti kanser testis.
  • Terapi radiasi - dos X-ray yang tinggi digunakan untuk mematikan sel-sel kanser.
  • Kemoterapi - ubat-ubatan seperti cisplatin, bleomycin, dan etopside digunakan untuk mematikan sel-sel kanser.

Apakah kadar hidup bagi kanser testis?

c Kanser testis memang boleh dirawat. Ia masih boleh dirawat walaupun sel berkanser telah merebak daripada testis ke bahagian tubuh yang lain.

Dalam 95% kes, kanser ini telah terbukti boleh dirawat dengan berjaya. (Sumber: Klinik Cleveland & NHS)

Bagi kadar hidup 5 tahun, 99% pesakit akan hidup jika kanser adalah setempat, 96% akan hidup jika kanser merebak berdekatan, dan 73% akan hidup jika kanser merebak jauh. (Sumber: ACS ) Kadar hidup ini adalah sekadar generalisasi dan tidak boleh meramalkan kesudahan untuk seseorang individu. Bincang dengan doktor anda tentang bagaimana statistik ini boleh dikaitkan dengan pesakit kanser testis.


Bagaimana cara untuk mencegah kanser testis?

Tiada cara yang 100% boleh mencegah kanser testis. Anda disyorkan untuk memeriksa testis sendiri sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Pemeriksaan testis sendiri

Masa terbaik untuk memeriksa testis sendiri adalah selepas mandi kerana skrotum akan berada dalam keadaan kendur, untuk memudahkan anda mengesan apa-apa keabnormalan.

Mulakan dengan memeriksa setiap testis menggunakan kedua-dua tangan dan jari-jari. Gulungkan testis menggunakan ibu jari dan jari-jari lain. Periksa untuk sebarang benjolan, yang mungkin pelbagai saiz. Sebarang benjolan atau ketulan adalah tidak normal dan harus diperiksa oleh doktor.

Di atas dan di belakang testis, terdapat satu struktur berupa tali. Struktur itu adalah epididimis dan tidak harus dikelirukan sebagai benjolan.


Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Menerima diagnosis kanser boleh membebankan anda dan memilih rawatan yang sesuai juga boleh menjadi sukar. Namun, kanser testis memang boleh dirawat, dan bilangan individu yang berjaya disembuhkan adalah tinggi. Pengesanan awal, diagnosis dan rawatan pada peringkat awal adalah penting untuk mendapatkan prognosis yang berjaya.

Pasukan pakar kesihatan yang prihatin dan merangkumi pelbagai disiplin di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Rujukan

  1. Persatuan Kanser Amerika. (n.d.). "Kanser Testis" Tersedia di https://www.cancer.org/cancer/testicular-cancer.html. [Accessed 22 Feb 2022]
  2. Kanser Net. (11 Mac 2021). "Panduan Kanser Testis." Tersedia di https://www.cancer.net/cancer-types/testicular-cancer/introduction. [Accessed 22 Feb 2022]
  3. Klinik Cleveland. (9 Apr. 2019). "Kanser Testis" Tersedia di https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/12183-testicular-cancer#:~:text=Testicular%20cancer%20is%20a%20disease,The%20disease%20usually%20is%20cura. [Accessed 22 Feb 2022]
  4. Klinik Mayo. (24 Apr. 2020). "Kanser Testis" Tersedia di https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/testicular-cancer-care/symptoms-causes/syc-20352986. [Accessed 22 Feb 2022]
  5. Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS). (n.d.). "Kanser Testis" Tersedia di https://www.nhs.uk/conditions/testicular-cancer. [Accessed 22 Feb 2022]
  6. Yayasan Penjagaan Urologi. (n.d.). "Kanser Testis" Tersedia di https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/t/testicular-cancer. [Accessed 22 Feb 2022]
Loading...
Thank you for your patience