Kanser Tekak

Kanser tekak adalah istilah umum yang dipakai untuk menerangkan kanser yang bermula dalam tekak. Tekak terbahagi kepada beberapa bahagian anatomi, iaitu larinks dan farinks, yang boleh dibahagikan pula kepada nasofarinks, orofarinks, dan hipofarinks.

Apakah jenis-jenis kanser tekak?

2 jenis kanser utama adalah: Kanser farinks dan kanser larinks.

  1. Kanser farinks
    1. Kanser nasofarinks: Bahagian atas farinks
    2. Kanser orofarinks: Bahagian tengah farinks
    3. Kanser hipofarinks: Bahagian bawah farinks
  2. Kanser larinks
    1. Kanser supraglotik: Bahagian atas larinks, termasuk epiglotis (tisu rawan yang mencegah makanan daripada memasuki tekak anda)
    2. Kanser glotik: Bahagian larinks dengan pita suara
    3. Kanser subglotik: Bahagian bawah larinks, di bawah pita suara

Apakah simptom bagi kanser tekak?

Simptom bagi kanser tekak bergantung pada jenis kanser tekak. Kebanyakan simptom tidak ketara pada peringkat awal kanser.

Antara simptom biasa bagi kanser tekak termasuk:

  • Nodus limfa bengkak
  • Suara serak
  • Sakit semasa menelan makanan (odinofagia)
  • Kesukaran menelan (disfagia)
  • Gumpalan pada bahagian tekak
  • Sakit tekak kronik
  • Sakit kepala
  • Berdegung dalam telinga
  • Sakit telinga
  • Sakit leher
  • Batuk berdarah
  • Hilang berat badan tanpa sebab

Segera berjumpa doktor jika anda sudah lama mengalami simptom-simptom ini.


Apakah faktor-faktor risiko bagi kanser tekak?

Meskipun punca sebenar kanser tekak masih belum diketahui, faktor-faktor risiko berikut akan menambah risiko anda untuk mengalaminya.

  • Merokok
  • Mengunyah tembakau
  • Tabiat kebersihan mulut yang buruk
  • Obesiti
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan
  • Diet yang kekurangan sayur-sayuran dan buah-buahan
  • Jangkitan Papilomavirus Manusia (HPV)
  • Virus Epstein-Barr (EBV)
  • Ahli keluarga dekat yang ada kanser tekak
  • Kaum lelaki
  • Usia melebihi 65
  • Pekerjaan yang terdedah kepada racun serangga, asbestos, plastik dan wap asid sulfurik

Bagaimanakah kanser tekak didiagnosis?

Diagnosis akan dibuat berdasarkan pelbagai siasatan. Doktor akan bertanya tentang kesihatan umum dan simptom anda, serta menjalankan pemeriksaan fizikal yang menyeluruh. Ujian darah mungkin juga diperlukan.

Antara ujian-ujian diagnosis yang akan dilakukan adalah:

  1. Laringoskopi
    • Doktor akan memasukkan endoskop jauh ke dalam kerongkong untuk melihat bahagian dalam tekak dengan lebih jelas.
  2. Nasendoskopi
    • Ujian ini dilakukan untuk memeriksa larinks anda.
    • Semasa prosedur, tiub kecil yang fleksibel dengan lampu dan kamera video pada hujungnya (endoskop) akan dimasukkan ke belakang tekak anda melalui salah satu lubang hidung anda. Imej yang ditangkap oleh endoskop akan dipaparkan pada monitor.
  3. Biopsi
    • Semasa laringoskopi atau nasendoskopi, sedikit sampel tisu akan dikeluarkan dan dihantar ke makmal untuk diperiksa.
    • Sampel tisu boleh diambil menggunakan jarum dan picagari jika terdapat gumpalan pada leher anda. Prosedur ini dikenali sebagai aspirasi jarum halus.
  4. Kajian pengimejan
    • Kajian pengimejan membantu menentukan tahap penyebaran kanser. Antara ujian-ujian ini termasuk pengimejan resonans magnetik (MRI), tomografi pancaran positron (PET), imbasan tomografi berkomputer (CT), dan gabungan imbasan PET-CT.

Apakah peringkat-peringkat kanser tekak?

Peringkat kanser dapat membantu menentukan tahap penyebaran kanser dan jenis rawatan yang terbaik. Peringkat kanser tekak dikelaskan menurut sistem pemeringkatan Tumor, Nodus, Metastasis (TNM) berdasarkan jenis tumor.

  • T: saiz tumor
  • N: kanser telah merebak ke nodus limfa
  • M: kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain

Ia bermula daripada peringkat 0 ke IV (4), iaitu lebih tinggi peringkatnya, maka lebih jauh kanser telah merebak.


Bagaimanakah kanser tekak dirawat?

Pilihan rawatan untuk kanser tekak bergantung pada jenis kanser, kedudukan dan saiz tumor, serta peringkat kanser. Rawatan utama yang digunakan adalah pembedahan, kemoterapi, radioterapi, dan terapi sasaran.

  1. Pembedahan
  2. Pembedahan dilakukan untuk membuang bahagian yang terjejas. Berikut adalah jenis-jenis pembedahan yang berbeza.

    • Reseksi endoskopik: Pakar bedah akan memasukkan tiub dengan kamera dan lampu yang dikenali sebagai endoskop untuk membuang tumor.
    • Faringektomi: Pembedahan untuk membuang sebahagian atau seluruh farinks.
    • Laringektomi: Laringektomi merangkumi dua jenis:
      • Laringektomi separa: Bahagian larinks yang terjejas akan dibuang. Anda masih boleh bercakap memandangkan sebahagian larinks masih ada, tetapi suara anda mungkin menjadi serak selepas pembedahan
      • Laringektomi total: Seluruh larinks dibuang, termasuk nodus limfa yang berdekatan, jika kanser telah merebak. Lubang kekal yang dipanggil stoma akan dibuat pada leher anda untuk membantu anda bernafas selepas pembedahan. Memandangkan pita suara anda telah dibuang, anda tidak akan dapat bercakap seperti biasa selepas prosedur. Bagaimanapun, ada beberapa cara untuk membantu anda belajar bercakap semula.
  3. Radioterapi
  4. Radioterapi menggunakan radiasi bertenaga tinggi untuk mengecutkan tumor dan mematikan sel-sel kanser. Rawatan ini digunakan untuk melegakan simptom yang berkaitan dengan kanser peringkat lanjut.

  5. Kemoterapi
  6. Kemoterapi adalah rawatan kanser yang menggunakan ubat-ubatan poten untuk mematikan sel kanser. Kemoterapi boleh dilakukan sebelum pembedahan untuk mengecutkan tumor dan melambatkan penyebaran kanser. Ia boleh digabungkan dengan radioterapi.

  7. Terapi sasaran
  8. Terapi sasaran merangkumi ubat-ubatan yang diberikan untuk menyekat perkembangan kanser tekak peringkat lanjut. Cetuximab adalah contoh ubat kanser terapi sasaran.

  9. Imunoterapi
  10. Prosedur ini menggunakan ubat-ubatan khusus untuk mendorong sistem imun semula jadi badan supaya melawan sel-sel kanser. Ubat-ubatan yang digunakan untuk tujuan ini dikenali sebagai perencat titik semak. Rawatan ini biasanya disediakan bagi mereka yang menghidapi kanser tekak peringkat lanjutan.


Apakah prognosis bagi kanser tekak?

Prognosis bagi kanser tekak bergantung pada peringkat dan keterukan kanser itu. Pesakit kanser tekak peringkat awal mempunyai prognosis yang lebih baik berbanding pesakit peringkat lanjut.

Kadar hidup 5 tahun bagi kanser larinks peringkat awal adalah setinggi 90%, berbanding 30% jika didiagnosis lewat.


Bagaimana cara untuk mencegah kanser tekak?

Berikut adalah cadangan petua perubatan dan perubahan gaya hidup bagi mengurangkan risiko kanser tekak:

  • Berhenti merokok.
  • Berhenti mengunyah sebarang bentuk tembakau.
  • Hadkan pengambilan alkohol.
  • Lindungi diri anda daripada HPV. Bincang dengan doktor anda tentang vaksin HPV.
  • Amalkan diet yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan
throat cancer 2

Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Pengesanan awal kanser tekak akan memudahkannya dirawat dengan rawatan yang berkesan dan sesuai. Pasukan ahli onkologi yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia memberikan rundingan dan menyediakan pesakit dengan penjagaan dan bantuan terbaik dalam menyaring, mendiagnosis dan merawat kanser.

Hubungi kami untuk membuat janji temu hari ini jika anda mempunyai sebarang faktor risiko dan simptom di atas, atau apa-apa kebimbangan atau soalan tentang rawatan kanser.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.


Rujukan

  1. Anthony Koroulaki, Manuj Agarwal (11 Ogos 2021) Kanser Larinks. Tersedia di https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK526076/ [Accessed 10 March 2022]
  2. Mohammad Adeel, pengarang koresponden Muhammad Faisal, Asma Rashid, Sadaf Usman, Usman Khaleeq, Taskheer Abbas, Abdul Rehman, Kashif Malik, Raza Hussain dan Arif Jamshed (10 Jun 2018) Meninjau Rawatan Kanser Larinks di Pusat Onkologi Penjagaan Tertier di Negara Membangun. Tersedia di https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC6070066/ [Accessed 10 March 2022]
  3. Patrick Sheahan (5 April 2014) Pengurusan Kanser Larinks Peringkat Lanjut. Tersedia di https://www.rmmj.org.il/issues/21/Articles/389 [Accessed 10 March 2022]
  4. Kanser tekak, Tersedia di https://www.cancer.org.au/cancer-information/types-of-cancer/throat-cancer [Assessed on 6 March 2022]
  5. Randa Obid, Magi Redlich, Chafeek Tomeh (3 Februari 2019) Rawatan Kanser Larinks. Tersedia di https://www.sciencedirect.com/science/article/abs/pii/S1042369918300840?via%3Dihub [Accessed 10 March 2022]
  6. Artikel WHO tentang onkologi mulut. Tersedia di https://www.who.int/oral_health/PEP%20WHO%20ORAL%20CANCER%20PREVENTION.pdf [Assessed on 6 March 2022]
  7. Penyelidikan Kanser UK. Kanser tekak. Tersedia di https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/head-neck-cancer/throat. [Assessed on 20 June 2022]
Loading...
Thank you for your patience