Ekzema Bayi: Simptom, Rawatan, Pencegahan

Tahukah anda bahawa kira-kira 90% penghidap ekzema mengalaminya sebelum umur 5 tahun? Artikel ini akan menerangkan tentang ekzema bayi, simptom-simptom utama, punca dan pilihan rawatan baginya.

Apa itu Ekzema Bayi?

Masalah kulit ekzema menyebabkan kulit menjadi merengsa, gatal, bersisik, dan kemerahan. Ia menjejaskan bayi, kanak-kanak, dan orang dewasa. Ia juga lebih kerap berlaku dalam sesetengah keluarga. Ekzema sering muncul semasa anak berumur antara 6 bulan hingga 5 tahun.

Ekzema boleh memburukkan reaksi alergi dengan menjejaskan sistem imun, yang akan melepuhkan kulit serta menghapuskan pelindung kulit terhadap penyakit. Mujurlah ada kaedah pencegahan dan rawatan yang berkesan bagi merawat simptom ringan mahupun simptom teruk, untuk bayi dan anak kecil.

Apakah Jenis-jenis Ekzema Bayi?

Ekzema bayi biasanya berpunca akibat perengsa, faktor persekitaran, genetik, atau alergi. Oleh itu, ia tidak berjangkit dan tidak akan merebak daripada seseorang kepada seseorang yang lain.

Terdapat beberapa jenis ekzema bayi dan kanak-kanak.

  1. Dermatitis atopik

    • Dermatitis atopik adalah sejenis ekzema yang paling biasa dialami semasa bayi atau tahun awal kanak-kanak, tetapi ia boleh berlaku pada sebarang umur.
    • Kanak-kanak dengan sejarah keluarga mengalami dermatitis atopik, asma, atau demam alergi berisiko lebih tinggi untuk mendapat dermatitis atopik.
  2. Dermatitis seboroik

    • Dermatitis seboroik biasanya menjejaskan kawasan badan yang mempunyai banyak kelenjar pengeluar minyak (kelenjar sebum) seperti kulit kepala, hidung, dan belakang badan.
    • Dermatitis seboroik yang sering menyerang kulit kepala anak kecil lebih dikenali sebagai "keruping buaian." Kadang-kadang, ia boleh menyerang muka anak kecil, khususnya di sekeliling mata dan hidung.
    • Bagi kanak-kanak yang lebih tua dan orang dewasa, dermatitis seboroik pada kulit kepala dikenali sebagai kelemumur.
    • Berbeza dengan jenis-jenis ekzema yang lain, dermatitis seboroik tidak dicetuskan oleh alergi.
  3. Ekzema dishidrotik

    • Ekzema dishidrotik berlaku apabila lepuhan kecil terbentuk pada tapak tangan, tapak kaki, dan hujung jari tangan serta jari kaki.
    • Meskipun punca sebenar ekzema dishidrotik tidak diketahui, ia lebih kerap berlaku pada individu yang mempunyai ekzema bentuk lain dan didapati ada perkaitan dengan genetik.
  4. Dermatitis sentuh

    • Dermatitis sentuh berlaku apabila kulit menjadi merengsa atau meradang akibat bersentuhan dengan bahan yang mencetuskan reaksi alergi. Ruam ini mungkin menghasilkan bintil-bintil gatal (gatal-gatal), dan kulit akan menjadi tebal dan bersisik.
    • Terdapat dua jenis:
      • Dermatitis sentuh perengsa menjejaskan kulit dengan serta-merta kerana sel kulit menjadi rosak akibat terdedah kepada bahan perengsa.
      • Dermatitis sentuh alergi menunjukkan reaksi alergi yang lambat akibat terdedah kepada alergen.

Apakah Punca Ekzema Bayi?

Punca ekzema masih belum diketahui sepenuhnya. Bagaimanapun, ia mempunyai komponen genetik yang kuat, dan individu dengan sejarah keluarga mengalami ekzema berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit ini.

Kebanyakan bayi dengan ekzema menunjukkan keabnormalan genetik dalam lapisan kulit paling luar, iaitu epidermis. Epidermis bertindak sebagai pelindung pertama badan terhadap persekitaran dengan menghalang kemasukan perengsa, alergen, dan mikrob selain mengekalkan kelembapan kulit.

Pelindung ini biasanya lebih lemah dan lebih telap daripada biasa, bagi individu yang menghidap ekzema. Bagi kanak-kanak dengan ekzema, pelindung kulit yang terjejas akan menghilangkan lebih banyak air daripada kulit, dan menjadikannya kering. Pelindung kulit yang lemah juga lebih mudah dimasuki perengsa, alergen, bakteria, dan virus.

Berbeza dengan pemahaman umum, ekzema bayi jarang dikaitkan dengan alergi makanan. Sila berjumpa dengan doktor jika terdapat kebimbangan tentang alergi makanan bagi kanak-kanak yang mengalami ekzema.

Apakah Simptom-simptom Ekzema Bayi?

Kebanyakan pesakit ekzema akan mengalami simptom awal sebelum berumur lima tahun. Simptom-simptom biasa termasuk kegatalan teruk pada kulit, keradangan kulit, kehadiran bintil-bintil kecil, dan kulit mengelupas. Menggaru boleh memburukkan keradangan kulit dan membuatnya semakin gatal, dengan simptom yang bertambah teruk pada waktu malam.

Ekzema mempunyai pelbagai simptom, yang mungkin berbeza untuk setiap orang, dan boleh berkembang lama-kelamaan. Meskipun ekzema biasanya menyerang kawasan badan tertentu, ia boleh menyerang berbilang kawasan bagi kes teruk.

Pesakit ekzema yang kerap menggaru kulit boleh meningkatkan risiko bagi jangkitan kulit. Tanda-tanda jangkitan termasuk bintil-bintil merah yang sakit dan mungkin bernanah.

Anda mungkin perhatikan perkara berikut:

  • Kulit gatal-gatal
  • Kawasan kulit yang kering dan bersisik
  • Kemerahan
  • Kawasan kulit yang kelihatan gelap, ungu atau kelabu
  • Bintil-bintil kecil dan kasar
  • Kesan garu
  • Lepuh yang meleleh dan berkerak

Keradangan dermatitis atopik boleh berkitar secara berterusan selama bertahun-tahun, antara tempoh sembuh dan tempoh berulang. Walaupun satu kawasan kulit mungkin sedang sembuh, keradangan boleh muncul di kawasan lain, dan keradangan yang muncul kembali di lokasi yang sama adalah perkara biasa. Lama-kelamaan, tekstur kulit boleh berubah menjadi tebal, bersisik dan keras. Kulit juga mungkin merekah akibat kekeringan.

Memandangkan ekzema adalah menggatalkan, elakkan bayi anda menggaru kulit kerana kulit boleh terkoyak dan dijangkiti. Pastikan untuk memotong kuku jari tangan bayi anda untuk mengelaknya menggaru. Anda juga boleh gunakan sarung tangan untuk menghalang bayi menggaru secara tidak sengaja semasa tidur.

Bagaimana Ekzema Bayi Didiagnosis?

Memandangkan tiada ujian spesifik untuk mendiagnosis ekzema, diagnosis akan dibuat melalui penilaian sejarah perubatan dan simptom, serta pemeriksaan fizikal yang menyeluruh bagi bayi anda.

Faktor-faktor yang menyumbang kepada diagnosis ekzema termasuk kesan garu yang lama dan berulang, kemunculan simptom, dan sejarah keluarga mengalami alergi spesifik seperti asma, alergi bermusim, dan ekzema.

Doktor mungkin akan menjalankan ujian alergi yang terperinci jika alergi tertentu disyaki.

Bagaimana Ekzema Bayi Dirawat?

Ekzema adalah penyakit kronik di mana terdapat tempoh sembuh dan tempoh meradang, dengan simptom-simptom yang bertambah buruk dari semasa ke semasa. Meskipun ekzema tidak boleh disembuhkan, rawatan yang berkesan boleh mengawal dan menguruskan simptom.

Ingat, ekzema tidak berjangkit; ia tidak boleh merebak daripada seseorang kepada seseorang yang lain melalui sentuhan terus.

Menguruskan ekzema, khususnya untuk bayi, memerlukan anda memahami dan mengelakkan pencetus spesifik, mengamalkan rutin mandi dan melembap kulit yang konsisten bagi melindungi dan mengekalkan kelembapan kulit, serta menggunakan ubat preskripsi yang dijual di kaunter (OTC) menurut arahan, untuk menguruskan dan mengurangkan kesan akibat keradangan ekzema.

Berikut adalah beberapa kaedah untuk menguruskan ekzema bayi.

  1. Mandi

    • Semasa mandi, gunakan air suam dan bukan air panas, kerana air panas boleh menghilangkan minyak semula jadi kulit dan membuatnya bertambah kering.
    • Gunakan sabun tanpa haruman yang lembut atau pembersih bukan sabun untuk mencegah kulit menjadi lebih merengsa.
    • Selepas mandi, segera sapukan produk emolien untuk mengekalkan lembapan dan mencegah kulit menjadi kering akibat kehilangan air.
  2. Pelembap

    • Produk emolien membantu menguruskan ekzema dengan melembapkan kulit dan mencegahnya menjadi kering.
    • Produk emolien yang paling berkesan untuk pesakit ekzema adalah krim pekat atau salap yang mengandungi hanya sedikit air. Produk-produk ini paling berkesan apabila segera digunakan selepas mandi.
    • Untuk hasil optimum, produk emolien boleh digunakan sekurang-kurangnya dua kali sehari atau lebih kerap jika perlu.
    • Losen mengandungi lebih banyak air berbanding krim dan salap, dan kurang berkesan untuk melembapkan kulit dan mungkin kurang sesuai untuk pesakit ekzema.
  3. Kortikosteroid topikal

    • Kortikosteroid topikal boleh mengurangkan keradangan dan kegatalan, dan ia biasanya digunakan untuk merawat ekzema.
    • Kortikosteroid tersedia dalam pelbagai bentuk, termasuk salap, penyembur, losen, dan krim.
  4. Elakkan elemen pencetus

    • Mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, lebih baik untuk anda perhatikan elemen pencetus yang menyebabkan ekzema bayi anda dan elakkannya.
    • Pencetus biasa bagi ekzema termasuk:
      • Pencetus badan: Peluh, air liur (khususnya bagi bayi, yang boleh menyebabkan masalah ruam air liur), menggaru (boleh memburukkan simptom).
      • Pencetus persekitaran: Asap tembakau, udara kering, sisik haiwan peliharaan, debunga.
      • Pencetus produk: Pakaian (khususnya pakaian yang diperbuat daripada fabrik tertentu), pencuci kain, pelembut fabrik, syampu, atau sabun (khususnya sabun yang mengandungi haruman), bedak atau pengelap bayi.

Bagaimana Cara untuk Mencegah Ekzema Bayi?

Setakat ini, tiada cara yang muktamad untuk mencegah ekzema. Bagaimanapun, ada beberapa pemerhatian dan cadangan, khususnya untuk bayi dengan sejarah keluarga mengalami ekzema.

Penjagaan kulit yang baik untuk bayi termasuk menggunakan krim pelembap atau salap. Meskipun ia belum disahkan dapat mencegah ekzema, ia dapat membantu menghidratkan kulit.

Memilih produk tiub berbanding produk botol adalah lebih baik. Pencemaran boleh dielakkan kerana anda tidak perlu mencelup jari anda ke dalam produk berulang kali.

Perlu diperhatikan bahawa penyelidikan masih dibuat, dan saranan mungkin berubah apabila lebih banyak maklumat diketahui tentang ekzema dan pencegahannya.

Aturkan Janji Temu di Hospital Pantai

Ekzema bayi adalah masalah biasa yang boleh dirawat dalam kebanyakan kes. Menangani masalah ekzema anak anda pada peringkat awal penting untuk mengelakkan masalah tersebut bertambah teruk dan menjadi sukar untuk dirawat. Intervensi awal dan pengurusan yang betul boleh mengurangkan simptom dengan ketara dan memelihara kesejahteraan bayi.

Pasukan pakar pediatrik yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding dan menyediakan penjagaan serta bantuan yang terbaik. Jika anda perhatikan tanda-tanda ekzema yang membimbangkan pada bayi anda, hubungi kami untuk mengaturkan janji temu pemeriksaan hari ini.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.
Loading...
Thank you for your patience