Penyakit Arteri Koronari


Penyakit Arteri Koronari

Penyakit arteri koronari adalah salah satu sakit jantung yang paling biasa ditemui. Ia berlaku apabila pembuluh darah utama menjadi rosak atau berpenyakit dan tidak boleh lagi mengepam darah, oksigen dan nutrien daripada jantung ke seluruh badan dengan betul.

Mendapan yang mengandungi kolesterol (plak) dalam arteri dan keradangan, selalunya adalah punca bagi penyakit arteri koronari. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit melaporkan bahawa penyakit arteri koronari membunuh lebih daripada 370,000 orang setiap tahun.


Di manakah arteri koronari terletak?

Arteri koronari terletak betul-betul di atas otot jantung. Terdapat empat arteri koronari utama:

  • Arteri koronari kanan
  • Arteri koronari kiri
  • Arteri menurun anterior kiri
  • Arteri sirkumfleks kiri

Apakah punca-punca bagi penyakit arteri koronari?

Pembentukan plak

Penyakit arteri koronari selalunya disebabkan oleh keradangan arteri yang akhirnya membentuk plak arteri.

Kolesterol tinggi

Plak mengandungi kolesterol dan kolesterol tinggi adalah salah satu faktor risiko utama terjadinya sakit jantung. Ini sebabnya makanan kolesterol rendah seperti ikan salmon, tuna, walnut dan badam selalu dirujuk sebagai makanan yang "sihat untuk jantung".

Makanan yang patut dielakkan termasuk produk haiwan yang tinggi lemak tepu seperti daging lembu, krim, daging babi, makanan bergoreng, gula ringkas dan daging proses tinggi lemak.


Apakah gejala bagi penyakit arteri koronari?

Selalunya, kita mungkin tidak akan sedar yang kita mempunyai penyakit arteri koronari. Ini kerana penyakit ini tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Ia mungkin mengambil masa bertahun-tahun hingga berdekad-dekad untuk membentuk plak.

Apabila arteri menyempit disebabkan penyakit arteri koronari, ia tidak mampu membekalkan darah beroksigen yang secukupnya kepada jantung.

Jika anda atau orang yang tersayang mengalami sebarang gejala seperti yang berikut, penting untuk berjumpa doktor:

  • Sakit atau sesak dada. Penyakit arteri koronari selalunya menyebabkan dada merasa sakit, tertekan ataupun sesak. Sesekali, rasa tidak selesa ini akan merebak ke leher, lengan atau belakang.
  • Lemah atau kesejukan pada lengan atau kaki. Kesejukan melampau boleh juga terjadi akibat penyempitan pembuluh darah dalam lengan/kaki.
  • Sesak nafas. Mengalami sesak nafas adalah perkara biasa. Begitu juga dengan keletihan.
  • Serangan jantung. Tanda-tanda utama bagi serangan jantung termasuk sakit dada, sakit bahu atau lengan dan berpeluh. Bagi penyakit arteri koronari yang teruk, serangan jantung mungkin berlaku disebabkan arteri telah tersumbat sepenuhnya. Bagaimanapun, wanita jarang mengalami tanda-tanda tipikal bagi serangan jantung. Serangan jantung juga boleh terjadi tanpa tanda atau gejala yang jelas.

Sindrom koronari akut

Apabila penyakit arteri koronari terjadi kerana bekalan darah kepada jantung tersumbat secara tiba-tiba, ia dikenali sebagai gejala koronari akut. Ini mungkin terjadi tanpa menunjukkan sebarang gejala sebelumnya.

Sindrom koronari akut diklasifikasikan berdasarkan tahap kerosakan dan lamanya waktu kerosakan itu telah berlaku.


Apakah faktor-faktor risiko bagi penyakit arteri koronari?

Faktor-faktor risiko bagi penyakit arteri koronari termasuk:

  • Diet yang tidak sihat. Diet yang kaya dengan lemak tepu, lemak trans, gula dan garam adalah faktor risiko yang tinggi untuk mendapat sakit jantung.
  • Sejarah keluarga. Penyakit arteri koronari mungkin disebabkan oleh genetik jadi, jika keluarga rapat anda ada yang mengalami sakit jantung pada usia muda, kemungkinan anda mendapatnya adalah lebih tinggi. Risikonya juga lebih tinggi jka ibu atau bapa anda ada sejarah sakit jantung.
  • Diabetes. Paras gula dalam darah yang tidak sekata akan merosakkan saraf dan pembuluh darah, dan menyebabkan penyakit arteri koronari.
  • Jantina. Walaupun lelaki berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit arteri koronari, risiko untuk wanita akan bertambah selepas menopaus. Menurut Persatuan Jantung Amerika, kolesterol dan tekanan darah akan naik selepas wanita melalui menopaus.
  • Obesiti. Kajian terkini dalam Jurnal Kardiologi AS mendapati bahawa pesakit dengan berat badan berlebihan dan obes yang berumur antara 40 hingga 59 tahun berisiko lebih tinggi (21% hingga 85% lebih tinggi) untuk mendapat sakit jantung berbanding pesakit dengan berat badan yang sihat.
  • Umur. Proses penuaan menambahkan risiko arteri menjadi rosak. Lelaki berumur lebih daripada 45 tahun dan wanita selepas menopaus mempunyai risiko yang lebih tinggi.
  • Hipertensi. Tekanan darah tinggi yang tidak dirawat boleh menyebabkan penambahan plak dalam arteri. Jika arteri yang membekalkan darah kepada jantung tersumbat, penyakit arteri koronari akan berlaku.

Bagaimanakah penyakit arteri koronari didiagnosis?

Selain daripada pemeriksaan fizikal, pakar kardiologi anda mungkin menyarankan anda untuk melakukan satu atau lebih banyak ujian yang berikut:

  • Ujian elektrokardiograf (EKG)
  • Ujian stres senaman/ ujian treadmill (TMT)
  • Ujian stres farmakologi
  • Ekokardiogram
  • Ujian darah (untuk mengukur kolesterol, trigliserida, protein C-reaktif, glukosa, HbA1c dan sebagainya)
  • Kateterisasi jantung
  • Imbasan kalsium koronari
  • Pengimejan nuklear
  • Angiogram tomografi berkomputer

Apakah pilihan rawatan untuk penyakit arteri koronari?

Pilhan rawatan untuk penyakit arteri koronari termasuk ubat-ubatan serta pembedahan jika perlu.

  • Ubat-ubatan Pakar kardiologi anda akan mengesyorkan pelbagai ubat-ubatan berkaitan dengan jantung seperti ubat untuk menurunkan paras kolesterol, ubat untuk mengurangkan tekanan darah, ubat untuk menguruskan angina serta antikoagulan dan antiplatelet bagi mengurangkan darah beku. Selain itu, penghidap diabetes juga mungkin perlu mengambil ubat untuk mengurangkan paras gula dalam darah.
  • Prosedur dan pembedahanRawatan tanpa pembedahan seperti angioplasti belon dan sten selalu digunakan untuk meluaskan arteri dan memulihkan aliran darah. Biasanya, ini akan dilakukan melalui kateter.
    Selain daripada itu, intervensi pembedahan seperti pembedahan graf pintas arteri koronari (CABG) mungkin perlu dilakukan.

Apakah petua pencegahan untuk penyakit arteri koronari?

Perubahan gaya hidup

Pertimbangkan untuk membuat perubahan berikut:

  • Berhenti merokok atau elakkan daripada terjebak dengan tabiat merokok
  • Mengubah diet untuk menguruskan isu kesihatan seperti kolesterol, tekanan darah dan sebagainya
  • Kurangkan pengambilan alkohol
  • Bersenam dan tambahkan aktiviti fizikal

Ketahui lebih lanjut tentang Perkhidmatan Kardiologi kami di Hospital Pantai yang terdekat

Loading...
Thank you for your patience