Rinitis Alergi Kanak-kanak: Simptom, Diagnosis, Rawatan, Pencegahan

Apa Itu Rinitis Alergi Kanak-kanak?

Rinitis alergi adalah keadaan laluan hidung yang meradang akibat terdedah kepada zarah kecil bawaan udara yang dipanggil alergen. Alergen termasuk kulapuk, debunga, habuk, bulu haiwan, gigitan serangga, asap rokok, minyak wangi, dan ekzos kereta.

Badan bertindak balas kepada alergen dengan menghasilkan antibodi alergi Imunoglobulin E (IgE) sebagai mekanisme pertahanan. Reaksi imun ini akan melepaskan bahan kimia seperti histamina ke dalam badan, yang menyebabkan simptom-simptom berkaitan dengan rinitis alergi.

Walaupun rinitis alergi boleh berlaku pada sebarang umur, kebanyakan orang mula-mula mengalami simptomnya semasa kanak-kanak atau remaja.

Terdapat 2 jenis rinitis alergi:

  • Rinitis alergi bermusim
    • Berlaku semasa musim spesifik.
    • Alergen baginya termasuk debunga daripada pokok, rumpai, dan rumput.
  • Rinitis alergi sepanjang masa
    • Berlaku sepanjang tahun.
    • Alergen baginya termasuk tungau debu, sisik haiwan, lipas, kulapuk atau kulat.

Apakah Simptom-simptom Rinitis Alergi Kanak-kanak?

Rinitis alergi mempunyai pelbagai simptom, yang berbeza untuk setiap orang. Istilah "rinitis" khususnya berkaitan dengan simptom hidung, tetapi ramai kanak-kanak turut mengalami simptom yang menjejaskan mata, tekak, dan telinga. Selain itu, tidur mereka mungkin juga terganggu.

Simptom-simptom rinitis alergi kanak-kanak termasuk perkara berikut:

  • Hidung berair dengan mukus yang berair, cair dan jernih.
  • Bersin atau hidung tersumbat.
  • Sesak hidung.
  • Sakit kepala.
  • Gatal pada hidung, tekak, mata dan telinga.
  • Lelehan belakang hidung (rasa mukus meleleh di belakang tekak).

Rinitis alergi sepanjang masa berlaku sepanjang tahun dengan simptom seperti lelehan belakang hidung, sentiasa sesak hidung, dan susah untuk tidur.

Apakah Faktor-faktor Risiko Rinitis Alergi Kanak-kanak?

Kanak-kanak yang mempunyai masalah alergi lain seperti ekzema, alergi makanan dan asma, berisiko lebih tinggi untuk mengalami rinitis alergi.

Kira-kira 80% kanak-kanak yang didiagnosis dengan asma akan turut mengalami rinitis alergi. Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa dengan masalah alergi juga lebih cenderung untuk mendapat alergi.

Bagaimana Rinitis Alergi Kanak-kanak Didiagnosis?

Doktor akan menilaikan sejarah perubatan dan melakukan pemeriksaan fizikal secara menyeluruh untuk mendiagnosis rinitis alergi kanak-kanak. Dalam sesetengah kes, ujian alergi seperti ujian cucuk kulit mungkin diperlukan jika diagnosis tidak jelas.

Bagaimana Rinitis Alergi Kanak-kanak Dirawat?

Pengurusan rinitis alergi melibatkan dua strategi, iaitu mengurangkan pendedahan kepada alergen serta pencetus lain, dan mengambil ubat. Pendekatan bersama ini biasanya berkesan untuk mengawal simptom bagi kebanyakan kanak-kanak.

Rawatan bagi rinitis alergi merangkumi perkara berikut:

Mengenal pasti dan mengelakkan alergen

Alergen boleh dikenal pasti dengan melakukan ujian alergi. Sesetengah orang mungkin boleh mengelak pendedahan kepada alergen dengan mudah, manakala sesetengah yang lain mungkin mendapatinya susah.

Meskipun sukar untuk mengelakkan pendedahan kepada debunga sama sekali, petua-petua berikut boleh membantu:

  • Jika anak anda sensitif kepada rumpai atau pokok spesifik di luar tingkap bilik tidur, cuba alihkan dan gantikannya dengan tanaman kurang alergen.
  • Sentiasa tutup tingkap di rumah dan khususnya semasa berada di dalam kereta. Jika boleh, gunakan pendingin udara edar semula di dalam kereta.

Reaksi alergi kepada haiwan peliharaan biasanya tidak berpunca daripada bulunya, tetapi akibat terdedah kepada kulit mati, air liur, dan urin haiwan itu. Untuk mengurangkan pendedahan, cuba perkara berikut:

  • Basuh tangan serta-merta selepas membelai mana-mana haiwan.
  • Biarkan haiwan peliharaan berada di luar seberapa lama yang boleh; jika haiwan peliharaan mesti berada di dalam rumah, elakkannya masuk ke dalam bilik tidur.
  • Mandikan haiwan peliharaan sekurang-kurangnya sekali setiap dua minggu.
  • Rapikan bulu anjing di luar untuk mengurangkan alergen di dalam rumah.
  • Basuh peralatan tempat tidur dan kain rumah yang telah bersentuhan dengan haiwan peliharaan.

Kulapuk hidup dalam keadaan lembap dan hapak. Untuk mencegah pertumbuhannya, ambil langkah berikut:

  • Pastikan rumah anda kering dan diudarakan dengan baik.
  • Semasa memasak atau menggunakan bilik air/mandi, tutup pintu di dalam untuk mengelakkan penyebaran udara lembap.
  • Gunakan kipas penyari untuk memperbaiki pengudaraan.
  • Elakkan mengering pakaian di dalam rumah atau menyimpan terlalu banyak pakaian dan peralatan tempat tidur dalam almari.
  • Hilangkan lembapan dan wap di rumah dengan segera.

Perubatan

  • Ubat oral antihistamina (ubat alergi)
  • Penyembur hidung
    • Menyampaikan antihistamina atau steroid terus ke dalam laluan hidung.
    • Ia harus digunakan untuk tempoh yang pendek sahaja.
    • Penyembur hidung steroid biasanya tidak dipreskripsikan untuk anak berumur bawah dua tahun.
  • Ubat titis mata
  • Imunoterapi
    • Ini mungkin disarankan untuk kanak-kanak dengan rinitis alergi yang teruk dan tidak bertindak balas kepada pilihan rawatan lain.
    • Ia juga mungkin dicadangkan untuk kanak-kanak dengan alergi dan asma yang sukar untuk dikawal.

Rinitis alergi jarang berlaku pada kanak-kanak berumur bawah 2 tahun kerana mereka kurang terdedah kepada alergen persekitaran. Kanak-kanak yang menunjukkan simptom seperti hidung sentiasa berair dinasihatkan berjumpa dengan doktor untuk mengetahui punca lain yang mungkin baginya.

Aturkan Janji Temu di Hospital Pantai

Biarkan kami membantu anak anda bernafas dengan senang. Jika anak anda kerap bersin atau gatal mata, mungkin tiba waktunya untuk anda berjumpa dengan doktor anak anda. Intervensi awal dan pengurusan yang betul boleh mengurangkan simptom dengan ketara dan memelihara kesejahteraan bayi.

Pasukan pakar pediatrik yang berdedikasi di Hospital Pantai sedia untuk berunding dan menyediakan penjagaan serta bantuan yang terbaik. Jika anda perhatikan tanda-tanda ekzema yang membimbangkan pada bayi anda, hubungi kami untuk mengaturkan janji temu pemeriksaan hari ini.

Hospital Pantai telah diiktiraf oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmennya terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience