Cirit-birit Kanak-kanak: Simptom, Diagnosis, Rawatan, Pencegahan

Cirit-birit boleh menyebabkan penyakit pada kanak-kanak dan harus diawasi pada golongan di bawah umur 5 tahun. Dalam artikel ini, kita akan memahami maksud cirit-birit, punca dan cara merawatnya.

Apakah Cirit-birit?

Cirit-birit dicirikan oleh najis berair dan peningkatan kekerapan pembuangan dan biasa dialami oleh kanak-kanak. Cirit-birit bukan penyakit tersendiri tetapi lebih kepada simptom pelbagai penyakit asas. Walaupun selalunya tidak teruk, penting untuk mengetahui bila rawatan perubatan diperlukan kerana masalah ini boleh menyebabkan dehidrasi dan ketidakseimbangan elektrolit seperti natrium, kalium dan klorida jika tidak dirawat.

Cirit-birit secara umumnya boleh dikelaskan kepada dua kategori berikut:

  • Cirit-birit kronik (jangka panjang): Ditakrifkan oleh pembuangan najis berair sekurang-kurangnya 3 kali sehari selama sekurang-kurangnya 4 minggu, selalunya disertai simptom lain. Puncanya boleh terdiri daripada jangkitan saluran pencernaan, alahan makanan, intoleransi dan pelbagai gangguan sistem pencernaan.
  • Cirit-birit akut (jangka pendek): Gangguan gastrousus yang paling biasa dialami kanak-kanak dan punca utama dehidrasi semasa kecil. Dicirikan oleh serangan mendadak 3 atau lebih najis berair setiap hari. Biasanya berterusan selama 7 hingga 10 hari, dengan tempoh maksimum 14 hari.

Apakah Punca Cirit-birit Kanak-kanak?

Terdapat banyak punca cirit-birit kanak-kanak terjadi. Antaranya:

  • Jangkitan virus
  • Jangkitan bakteria
  • Kesan sampingan antibiotik
  • Jangkitan parasit
  • Cirit-birit selepas jangkitan
  • Cirit-birit tidak spesifik kronik
  • Penyakit seliak
  • Penyakit radang usus
  • Intoleransi laktosa
  • Sindrom usus yang merengsa
  • Alergi makanan

Apakah Simptom Cirit-birit Kanak-kanak?

Selain najis berair, cirit-birit tidak mempunyai simptom yang tetap dan boleh berbeza pada setiap kanak-kanak. Namun, berikut adalah beberapa tanda-tanda lain bersama najis berair:

  • Demam
  • Najis berdarah
  • Tanda-tanda dehidrasi (ditunjukkan oleh bibir kering dan merekah)
  • Sakit abdomen
  • Kembung perut
  • Loya atau muntah
  • Kerengsaan dan meragam bertambah
  • Rasa mengantuk/penurunan tenaga

Bilakah Cirit-birit Dianggap Sebagai Serius?

Apabila mendiagnosis cirit-birit akut, ujian selalunya tidak diperlukan melainkan dehidrasi disyaki. Jika begitu, ujian darah boleh dibuat. Sampel najis diambil terutamanya jika terdapat darah untuk menentukan punca, tetapi keputusan boleh mengambil masa beberapa hari.

Cirit-birit kronik biasanya memerlukan ujian yang meluas, termasuk ujian darah untuk memeriksa anemia, keradangan dan penyakit lain seperti penyakit seliak.

  • Kajian najis juga boleh dijalankan untuk mengenal pasti punca bakteria, virus atau parasit.
  • Ujian pengimejan seperti X-ray bukanlah rutin tetapi boleh digunakan dalam kes tertentu.
  • Prosedur endoskopik, seperti endoskopi atas dan kolonoskopi boleh dilakukan dengan biopsi untuk menilai keradangan dan mendiagnosis penyakit seliak atau penyakit radang usus.
  • Intoleransi laktosa boleh didiagnosis dengan ujian hidrogen nafas laktosa.

Keputusan rawatan adalah berdasarkan punca asas yang dikenal pasti melalui ujian diagnostik.

Bagaimanakah Cirit-birit Kanak-kanak Dirawat dan Diuruskan?

Merawat cirit-birit bergantung pada kesihatan umum, simptom dan umur kanak-kanak.

Garam Rehidrasi Oral (ORS)

Garam Rehidrasi Oral (ORS) berkesan untuk dehidrasi ringan pada kanak-kanak dan boleh dibeli di farmasi. Garam ORS ini lebih disukai berbanding minuman lain seperti jus atau minuman sukan yang boleh memburukkan cirit-birit. Kes-kes yang teruk dengan muntah dan dehidrasi mungkin memerlukan kemasukan ke wad untuk diberi cecair intravena.

Teruskan diet biasa

Penting untuk menyambung semula diet biasa kanak-kanak secepat mungkin, termasuk penyusuan susu ibu untuk bayi dan susu formula biasa atau pepejal untuk kanak-kanak yang lebih dewasa. Susu boleh dielakkan pada mulanya dan diet tawar terdiri daripada makanan seperti pisang, sos epal, nasi dan roti bakar boleh diperkenalkan.

Ubat-ubatan

Antibiotik mungkin diberikan untuk jangkitan bakteria atau parasit tertentu, walaupun selalunya tidak mengubah tempoh atau keterukan cirit-birit. Probiotik boleh membantu mengurangkan simptom dengan memulihkan keseimbangan bakteria usus. Namun, ubat untuk melambatkan pergerakan usus secara amnya tidak disyorkan untuk cirit-birit akut tetapi boleh dipertimbangkan untuk kes kronik.

Bagaimanakah Cara Mencegah Cirit-birit Kanak-kanak?

Kebersihan tangan yang baik

Ajar anak anda kepentingan menjaga kebersihan di rumah atau sekolah. Galakkan mencuci tangan secara kerap dan menyeluruh dengan sabun dan air, terutamanya sebelum makan dan selepas menggunakan bilik air untuk mencegah penularan jangkitan dalam keluarga.

Vaksinasi

Anda juga boleh berbincang dengan doktor untuk mendapatkan vaksin rotavirus untuk anak-anak yang membantu mencegah cirit-birit.

Air bersih

Sediakan air minuman yang selamat dan bersih serta pastikan makanan disediakan, dimasak dan disimpan dengan betul untuk mengelakkan pencemaran. Elakkan memberi air yang tidak dirawat atau makanan yang tidak dimasak, terutamanya semasa melancong ke kawasan yang mempunyai sanitasi yang buruk.

Menyusu

Menggalakkan dan menyokong penyusuan susu ibu kerana susu ibu membekalkan nutrien dan antibodi penting yang membantu melindungi bayi daripada jangkitan, termasuk cirit-birit.

Sanitasi yang betul

Kekalkan persekitaran tempat tinggal yang bersih, kerap membersihkan dan membasmi kuman permukaan, tandas dan kawasan menukar lampin. Pembuangan lampin dan najis dengan betul amat penting untuk mencegah penyebaran jangkitan.

Galakkan pemakanan sihat

Galakkan diet seimbang yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan protein tanpa lemak untuk menyokong kesihatan keseluruhan dan menguatkan sistem imun.

Hadkan pendedahan kepada bahan cemar

Kurangkan pendedahan kepada sumber jangkitan yang berpotensi, seperti sumber air yang tidak dirawat, makanan yang tercemar dan sentuhan dengan individu yang mengalami cirit-birit atau jangkitan gastrousus.

Waspada semasa melancong

Jika anda melancong bersama anak-anak, pastikan anda mengikut kaedah keselamatan perjalanan yang betul seperti:

  • Jangan gunakan ais yang diperbuat daripada air paip.
  • Elakkan daging atau ikan yang tidak dimasak.
  • Elakkan makan makanan daripada trak makanan.
  • Elakkan susu yang tidak dipasteur.
  • Jangan makan sayur dan buah mentah yang belum dibasuh.
  • Elakkan makan secara berlebihan.

Bilakah Anda Perlu Membawa Anak Anda ke Hospital?

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kebanyakan kes cirit-birit boleh reda dengan sendirinya dan bukan masalah perubatan yang serius. Walau bagaimanapun, anda perlu menghubungi doktor dengan segera jika anda mendapati simptom berikut pada anak anda:

  • Najis berdarah
  • Muntah yang kerap
  • Muntah cecair berwarna hijau berdarah atau kuning
  • Mulut kering dan melekit dengan bibir merekah
  • Hilang berat badan
  • Demam panas
  • Dahaga yang melampau
  • Tiada air mata ketika menangis
  • Bahagian lembut tenggelam pada kepala bayi
  • Kurang membuang air kecil
  • Cirit-birit yang tidak reda dalam 2 hingga 3 hari.

Atur Janji Temu di Hospital Pantai

Cirit-birit adalah masalah biasa bagi bayi dan kanak-kanak. Masalah ini biasanya reda dalam beberapa hari dan tidak memerlukan rawatan perubatan. Namun, jika simptom anak anda bertambah teruk, dapatkan nasihat doktor.

Hubungi kami untuk mengatur janji temu hari ini jika anda sedar tanda-tanda cirit-birit anak anda atau lawati kami di Jabatan Penjagaan Pediatrik Hospital Pantai yang terdekat dengan anda.

Hospital Pantai telah diakreditasi oleh Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH) atas komitmen terhadap keselamatan pesakit dan kualiti perkhidmatan.

Loading...
Thank you for your patience