10 Senaman Otak Yang Berkesan untuk Pemulihan Strok

Strok terjadi apabila saluran darah yang membawa oksigen ke otak tersumbat atau pecah. Bahagian otak yang terjejas tidak mendapat darah (atau oksigen) yang mencukupi, lalu merosakkan sel otak.

Penyakit ini boleh menyebabkan kematian atau ketakupayaan fizikal dan mental, dan pada tahun 2019, strok telah menjejaskan 101.5 juta orang di seluruh dunia. Bagaimanapun, pemandiri strok masih boleh terus menjalani kehidupan sepenuhnya.

Artikel ini menyediakan sepuluh senaman otak yang berkesan untuk membantu merangsang otak selepas strok terjadi.


Apakah tanda dan gejala bagi strok?

  • Susah untuk bercakap dan memahami percakapan secara tiba-tiba. Sebutan mangsa strok menjadi tidak jelas dan mereka mungkin rasa keliru.
  • Kebas secara tiba-tiba di lengan, kaki atau muka. Lumpuh atau lemah pada sebelah bahagian badan adalah perkara biasa. Mangsa strok mungkin mengalami kehilangan imbangan, kekurangan koordinasi dan kesukaran untuk berjalan. Sebelah mulut mereka juga mungkin mengendur.
  • Masalah melihat secara tiba-tiba. Penglihatan mangsa strok mungkin menjadi gelap atau kabur. Masalah penglihatan boleh terjadi pada satu atau kedua-dua mata.
  • Sakit kepala yang teruk dan secara tiba-tiba. Sakit kepala yang tidak dapat dijelaskan ini mungkin diiringi oleh pening atau muntah-muntah.

Bolehkah aktiviti otak dikembalikan selepas strok?

Ya, berita baiknya adalah sel otak boleh tumbuh semula dan oleh itu, pemandiri strok boleh mengembalikan aktiviti otak mereka. Bagaimanapun, pelan penjagaan selepas strok yang menyeluruh adalah penting untuk memastikan ini berlaku. Senaman otak patut dimasukkan dalam pelan ini untuk merangsang otak supaya sembuh.


Apakah senaman otak untuk pemulihan strok?

Berikut adalah sepuluh senaman kognitif untuk pemulihan strok:

Old men playing puzzle

1. Permainan papan

Permainan papan memerlukan pesakit strok untuk fokus, menumpukan perhatian dan menggunakan kemahiran ingatan mereka. Mereka juga perlu menggunakan kemahiran kognitif seperti menyelesaikan masalah, menyimpan maklumat, memproses maklumat, serta membuat pertimbangan deduktif dan pengaturan semasa bermain permainan papan.

Permainan ini turut memberi peluang kepada pesakit untuk bersosial. Ini boleh mengurangkan stres, keresahan dan kebosanan agar keadaan emosi pesakit strok menjadi lebih baik sambil mereka sembuh.

Cuba permainan papan seperti "Connect Four", Dam, "Rumikub", "Set", Mahjong dan "Spot It".

2. Pemadanan kad

Pemadanan kad adalah latihan otak yang membantu pesakit strok untuk mengingati dan mengimbas dengan mencabar mereka untuk mengingati kedudukan kad yang berbeza. Anda hanya perlukan satu set kad untuk permainan ingatan visual ini.

Mula-mula, letakkan set kad di atas meja dengan muka memandang bawah dan jarakkan kad-kad. Dedahkan dua kad pada setiap masa untuk mencari pasangan yang sepadan. Ambil giliran untuk bermain jika ada lebih daripada satu pemain.

3. Permainan visual/ memproses ruang

Pesakit strok mungkin menghadapi masalah visual/memproses ruang. Oleh itu, senaman visual/memproses ruang yang melatih pesakit untuk mengenal pasti perbezaan visual dan membezakan kedudukannya dalam sesuatu ruang boleh memberi kesan positif pada daya kognitif.

Cuba aplikasi "What's the Difference". Applikasi ini membantu anda mengenal pasti perbezaan antara dua gambar yang hampir sama.

4. Susun suai gambar

Teka-teki adalah salah satu senaman terbaik untuk pemulihan strok. Ia meningkatkan ingatan jangka pendek, kemahiran mengecam bentuk dan menggalakkan koordinasi tangan dan mata, yang mana kesemuanya boleh terjejas selepas strok. Ia juga boleh meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah dan menguatkan sambungan antara sel-sel otak.

Contohnya, kemahiran untuk berfikir secara kritis yang diperlukan untuk mencari kepingan teka-teki yang sesuai dan betul.

5. Memasak

Memasak mungkin tidak nampak seperti satu senaman otak. Bagaimanapun, mempelajari resipi baharu dan menyediakan sesuatu masakan boleh membantu pesakit strok menggunakan kelima-lima deria (sentuh, bau, rasa, penglihatan dan bunyi) untuk merangsang otak dan memperbaiki daya ingatan.

Memasak juga akan membantu fungsi motor yang mungkin terjejas disebabkan strok, dan membantu menghilangkan kebosanan. Oleh itu, cuba galakkan orang tersayang yang terkena strok untuk memasak beberapa resipi baharu setiap minggu.

6. Mendengar muzik

Muzik boleh memberi kesan positif pada sikap dan pandangan. Anda mungkin terkejut melihat kebolehan pesakit strok untuk fokus dan memberi perhatian semasa mendengar muzik atau lagu. Menyanyi bersama boleh membantu pesakit strok yang mempunyai kesukaran bercakap.

Anda juga boleh menggalakkan pesakit untuk menari. Ini akan meningkatkan daya koordinasi, kekuatan dan keseimbangan mereka.

7. Melukis dan mengecat

Seni adalah aktiviti yang seronok dilakukan untuk mengisi masa, tetapi ia mempunyai banyak faedah bagi mereka yang sedang pulih daripada strok. Melukis, mewarna dan mengecat akan merangsang kreativiti, dan memperbaiki koordinasi tangan dan mata serta kemahiran motor. Ia juga boleh melegakan tekanan dan kebosanan yang mungkin dialami oleh pesakit strok.

8. Aplikasi latihan otak

Aplikasi latihan otak adalah amat berguna untuk pemandiri strok. Ia menyediakan akses segera kepada pelbagai latihan kognitif termasuk permainan terapeutik yang boleh memperbaiki daya kognitif. Anda hanya perlukan telefon pintar, tablet atau komputer riba untuk memuat turun aplikasi ini.

Aplikasi latihan otak yang boleh anda cuba:

  • "Lumosity"
  • "Aura"
  • "Constant Therapy"
  • "Thinking Time Pro"

9. Membuat buku skrap

Membuat buku skrap adalah satu aktiviti menghiburkan yang boleh meningkatkan daya kreativiti, koordinasi tangan dan mata, koordinasi otot serta ketangkasan tangan. Ia merangsang kedua-dua belah otak untuk mendorongnya supaya memperbaharui secara sendiri. Ini akan menambahkan kemampuan fungsi otak yang lain bagi pesakit.

Membuat buku skrap juga adalah cara yang menyeronokkan untuk pemandiri strok mengekspresi diri mereka semasa dalam pemulihan. Aktiviti ini boleh membantu mereka memproses fikiran dan emosi, untuk melegakan stres dan menenangkan perasaan.

10. Belit-belit akal

Belit-belit akal yang mencabar boleh meningkatkan keupayaan pemandiri strok untuk berfikir secara analitik, membuat pertimbangan dan menyelesaikan masalah. Cuba main carian perkataan, teka-teki Sudoku dan teka silang kata.


Berapa lama waktunya untuk pemulihan strok?

Masa untuk pulih bagi pesakit strok berbeza dan bergantung kepada faktor-faktor seperti:

  • Di bahagian otak manakah strok itu terjadi?
  • Fungsi otak manakah yang telah rosak akibat strok?
  • Berapa pantaskah pendarahan atau darah beku telah dihentikan?
  • Umur pesakit dan keadaan kesihatan beliau sebelum berlakunya strok.
  • Kualiti pelan pemulihan strok dan rehabilitasi selepas strok

Sesetengah orang akan pulih secara spontan dalam masa beberapa minggu, di mana pergerakan dan pertuturan kembali dengan sendirinya. Yang lain akan mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun dan memerlukan terapi pertuturan, terapi fizikal dan terapi kerja.

Lebih pantas seseorang menerima rawatan, terapi dan rehabilitasi untuk strok, lebih baik peluang mereka untuk pulih.

Jika anda atau ahli keluarga anda sedang cuba untuk pulih daripada strok, cuba senaman otak di atas. Senaman ini perlu diakukan berulang-kali jadi, jangan berputus asa.


Buat tempahan janji temu di Hospital Pantai

Jika anda atau orang yang tersayang perlukan bantuan untuk memulihkan strok, hubungi kami untuk membuat janji temu dengan pakar Neurologi di Hospital Pantai yang terdekat.

di Hospital Pantai yang terdekat.


Rujukan

1. Persatuan Jantung Amerika (27 Jan 2021) "2021 Lembaran Fakta Kemas Kini Statistik Penyakit Jantung & Strok oleh kajian Global Burden of Disease", Tersedia di https://www.heart.org/-/media/PHD-Files-2/Science-News/2/2021-Heart-and-Stroke-Stat-Update/2021_Stat_Update_factsheet_Global_Burden_of_Disease.p [Accessed 17 Feb 2022]

2. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (28 Ogos 2020) "Tanda dan Gejala Strok", Tersedia di https://www.cdc.gov/stroke/signs_symptoms.htm [Accessed 16 Feb 2022]

3. Klinik Mayo (20 Jan 2022) "Strok", Tersedia di https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/stroke/symptoms-causes/syc-20350113 [Accessed 16 Feb 2022]

Loading...
Thank you for your patience