Jantung & Vaskular

PENJAGAAN JANTUNG DI PANTAI HOSPITAL AMPANG

Di Hospital Pantai Ampang, kami menyediakan perkhidmatan rawatan dan penjagaan jantung yang ditangani oleh kumpulan pakar kardiologi, jururawat, juruteknik, dan jururadiografi yang berpengalaman.

Kami memilih untuk mencegah daripada memulih – oleh sebab itu, perkhidmatan kami turut merangkumi penjagaan pencegahan, pengesanan awal, servis diagnostik dan rawatan. Kumpulan pakar kami bersedia 24-jam setiap hari bagi membantu pesakit yang mengalami serangan jantung.

Kami juga berhasrat untuk mendidik orang awam dalam meningkatkan kesedaran mengenai topik-topik penyakit jantung dan faktor-faktor risikonya. Selain menyediakan rawatan yang berkualiti, kami juga ingin membantu anda menjalani kehidupan yang lebih sihat dan cergas. Penjagaan jantung anda adalah fokus utama kami.


FAKTOR-FAKTOR RISIKO SAKIT JANTUNG

Gaya hidup memainkan peranan penting dalam kesihatan kardiovaskular kita. Faktor-faktor risiko seperti sejarah keluarga dan genetik tidak dapat diubah. Namun begitu, ada banyak lagi faktor risiko lain yang boleh dikawal oleh anda. Ini termasuk tekanan darah; merokok; paras kolesterol; diabetes; obesiti; gaya hidup tidak aktif; tekanan; dan diet tidak seimbang.

Semakin banyak faktor risiko anda, semakin tinggi kemungkinan anda mendapat sakit jantung. Ianya belum terlambat untuk memulakan gaya hidup yang lebih sihat untuk jantung anda.


BAGAIMANA MENGENALPASTI SAKIT JANTUNG?

Ujian Darah

Ujian darah akan mengkaji paras kolesterol dan enzim yang dikenali sebagai troponin. Individu dengan jantung yang sihat akan mempunyai paras troponin yang amat rendah dan tidak dapat dikesan. Jika keputusan ujian troponin adalah positif, kemungkinan besar individu tersebut pernah mengalami serangan jantung atau kecederaan jantung.

Elektrokardiogram (ECG)

Ujian ini mengukur dan merakam aktiviti elektrik yang dihasilkan oleh jantung anda. Keputusannya akan menunjukkan jika terdapat sebarang tanda jantung tidak normal.

Ekokardiogram

Gelombang bunyi digunakan untuk menghasilkan imej bergerak bagi jantung anda dan salur darah di sekitarnya. Ini akan membolehkan pakar kardiologi anda memerhatikan tahap fungsi jantung anda. Ia dapat membantu mengenalpasti kerosakan yang dialami daripada serangan jantung; kegagalan jantung; penyakit jantung kongenital; kardiomiopati; endokarditis; dan kecacatan injap jantung.

Ujian Stres

Ujian dilakukan dengan berjalan di atas ‘treadmill’, atau jika anda mempunyai masalah kesihatan, anda akan diberikan ubat untuk menambah stres pada jantung anda. Ujian ini akan memerhatikan tahap fungsi dan keupayaan jantung untuk menangani tekanan ketika sedang aktif.

CT Jantung

Pewarna khas akan disuntik melalui lengan anda untuk menunjukkan salur darah tersumbat pada mesin X-ray. Ini juga dapat membantu doktor anda mengesan sumbatan dan mengukur jumlah kalsium dalam arteri koronari anda. Semakin tinggi jumlah kalsium, semakin tinggi risiko mendapat sakit jantung.


MAKMAL KATETERISASI JANTUNG KAMI

Jika pakar kardiologi anda mengesyaki sesuatu masalah – seperti penyakit arteri koronari atau masalah injap jantung – mereka akan merujuk anda ke makmal kateterisasi jantung untuk menjalani prosedur angiogram koronari atau kateterisasi jantung.

Prosedur ini akan membolehkan doktor anda menilai tahap fungsi jantung anda. Pakar kardiologi anda akan memasukkan tiub halus yang fleksibel (dipanggil kateter) ke dalam salur darah melalui lengan atau kaki anda. Kateter kemudiannya akan dipandu ke arah jantung.

Kemudian, pewarna khas akan disuntik ke dalam kateter. Pewarna akan kelihatan di mesin X-ray untuk menunjukkan arteri koronari yang menyempit atau tersumbat. Anda dalam keadaan sedar semasa prosedur ini dijalankan dan ia biasanya mengambil masa kurang daripada satu jam. Setelah selesai, kateter akan dikeluarkan, dan jururawat atau juruteknik akan menekan kawasan tebukan tersebut selama kira-kira 20 minit.

Hospital Pantai Ampang menggunakan teknologi terkini untuk mengurangkan radiasi semasa prosedur dan menghasilkan kualiti imej yang lebih baik. Makmal kateterisasi jantung kami beroperasi 24/7.


PERSEDIAAN SEBELUM UJIAN

Sebelum prosedur kateterisasi jantung dijalankan, anda perlu menjalani beberapa ujian rutin. Ini termasuk elektrokardiogram, ujian darah, dan X-ray dada. Pakar kardiologi anda akan memastikan anda benar-benar bersedia sebelum meneruskan prosedur kateterisasi.


SELEPAS KATETERISASI JANTUNG ANDA

Setelah keputusan ujian diterima, pakar kardiologi anda akan menerangkan keputusan tersebut kepada anda. Jika ada masalah atau perkara yang membimbangkan, doktor anda akan menerangkan semua pilihan rawatan yang ada.

Elakkan mengangkat benda berat dan melakukan sebarang aktiviti ringan selepas beberapa hari berikutnya. Kawasan tebukan mungkin akan kelihatan sedikit lebam atau bengkak, kesan tersebut akan hilang dalam masa beberapa minggu.


APA YANG AKAN BERLAKU JIKA ARTERI MENYEMPIT ATAU TERSUMBAT?

Jika keputusan kateterisasi jantung anda menunjukkan ada arteri koronari yang tersumbat atau menyempit, pakar kardiologi anda mungkin akan menjalankan angioplasti belon atau prosedur sten.

Dalam prosedur angioplasti belon, kateter dengan belon kecil pada hujungnya akan dimasukkan dan dipandu ke kawasan yang tersumbat. Hujung belon kemudiannya akan dikembungkan – untuk memampatkan plak pada dinding dan meluaskan arteri.

Sten adalah peranti jaringan logam yang kecil. Ia diletakkan di dalam arteri koronari untuk mengelaknya daripada tertutup semula. Biasanya, sten akan dimasukkan juga bagi pesakit yang menjalani angioplasti belon.


PEMULIHAN JANTUNG

Jika anda menghidap sakit jantung atau pernah mengalami serangan jantung – doktor anda mungkin akan mencadangkan program pemulihan jantung untuk anda. Program ini merangkumi senaman dan latihan; mendidik tentang cara hidup yang sihat; dan kaunseling untuk mengurangkan tekanan. Ia boleh membantu anda memupuk tabiat yang lebih sihat dan melegakan simptom-simptom seperti sakit dada. Ia bertujuan untuk melancarkan proses pemulihan dan memperbaiki kekuatan serta tahap fungsi jantung anda. Untuk maklumat lanjut, hubungi pakar kardiologi kami.


PERKHIDMATAN KECEMASAN DAN PENJAGAAN JANTUNG 24-JAM

Makmal kateterisasi jantung kami dibuka 24/7, dengan pakar kardiologi, jururawat, juruteknik dan jururadiografi yang sentiasa bersedia untuk mengendalikan kes-kes kecemasan – seperti pesakit serangan jantung akut.


Pengkhukusan Kami

Muat lagi
Loading...
Thank you for your patience